Siapa di sini yang melayan siri TV TERMINATOR: THE SARAH CONNOR CHRONICLES? Haha, bagi yang kaki download, mesti dah lama dah dia tengok sampai tamat kesemua sembilan episod untuk musim pertama siri. Tapi bagi yang "tradisionalis" (macam aku), maka bolehlah melayannya di stesen TV yang paling aku tak suka, iaitu 8TV.
Intro sikit pasal siri ni. Siri ni merupakan siri spin-off daripada siri filem TERMINATOR. Bukan setakat filem saja, ianya suatu francais: ada novel, permainan video dan komik. Heh, Superman dan RoboCop (komiknya RoboCop vs. Terminator boleh dimuat turun di sini) pun masing-masing pernah berlawan dengan Terminator tau? Sekarang, giliran "siri TV" la pulak untuk ada "produk" Terminator ni.
Alkisah Terminator ni panjanglah ceritanya, tapi siri ini merupakan kesinambungan kisahnya: Sarah Connor berusaha untuk melindungi anaknya, John Connor, daripada dibunuh oleh "Terminator" (lebih tepat lagi, versi/model yang dilakonkan oleh Arnold Schwarzenegger) yang dihantar oleh kepintaran buatan (AI) yang bernama "Skynet" dari masa akan datang, kerana pada zaman itu, John Connor akan mengetuai umat manusia menentang "penjajahan" Skynet ke atas seluruh bumi.
Disebabkan Skynet gagal menghapuskan gerakan penentang ini pada zaman itu, maka dia menghantar Terminator ke zaman silam untuk membunuh ibunya sebelum sempat dapat melahirkan John (diceritakan dalam filem pertama, THE TERMINATOR). Untuk menghalang pembunuhan itu, John Connor menghantar Kyle Reese untuk melindungi Sarah.
Yang pelik campur lawak campur tak logiknya ialah, rupa-rupanya, Kyle inilah "bapa" John Connor, yang dilahirkan oleh Sarah selepas berzina dengannya. Hoho, bagaimanakah seorang lelaki dari masa akan datang, yang berjuang bersama seorang lelaki yang merupakan rakan karibnya yang merupakan "anak haram"nya sendiri yang dilahirkan berpuluh tahun sebelum itu? Oh ya, lagi satu, Kyle ni lahir pada tahun 2002, 17 tahun lebih muda daripada anaknya (John la) yang lahir pada tahun 1985. Lagi satu, secara kronologinya, dia lahir pada tahun 2002 tapi mati pada tahun 1984 (tahun peristiwa dalam filem pertama)! Pecah kepala kita kalau nak fikir bagi logik kan?!
Berbalik kepada siri TV ini, dari segi urutan jalan ceritanya, ianya adalah kesinambungan atau sekuel kepada filem keduanya iaitu TERMINATOR 2: JUDGMENT DAY. Tapi siri ini secara langsung telah "mengabaikan" peristiwa daripada filem ketiganya iaitu TERMINATOR 3: RISE OF THE MACHINES, sebab ada beberapa perubahan kepada jalan cerita (peminat komik akan menggelarkan "proses" ini sebagai "retcon") yang sekaligus menidakkan "fakta" yang dipaparkan atau yang dah established dalam filem ketiga. Dengan kata lain, filem ketiga itu "tidak berlaku" atau "tidak wujud", dan siri TV inilah "filem ketiga"nya.
Premis cerita bagi versi siri TV ini ialah, pada tahun 1999, setelah beberapa tahun hidup bersembunyi, Sarah dan John (yang pada ketika itu sudahpun berumur 14 tahun kot) telah bertemu dengan sebuah model Terminator yang unik (dalam bentuk gadis manusia) yang memperkenalkan dirinya sebagai Cameron Phillips. Uniknya model ini ialah, selain daripada kita sebagai penonton masih belum diberitahu dia ini dari model jenis apa, Terminator ini juga berkeupayaan menunjukkan emosi seperti manusia biasa (kalau Terminator lain tu, semua muka serius ja). Model ini dihantar oleh John dari masa hadapan untuk melindungi John masa sekarang dan ibunya (mudah sungguh la kalau kita boleh mengembara masa ni, heh!). Ternyata usaha mereka (ketika dalam filem kedua dulu) menghapuskan segala data dan pelan untuk membina Skynet telah gagal kerana pada masa hadapan, Skynet itu tetap juga wujud kerana telah dibina oleh orang lain pula.
Bersama-sama menghalang usaha satu lagi Terminator jahat yang dihantar untuk menghapuskan John, mereka bertiga bertindak mengembara masa ke tahun 2007 untuk mencari siapakah pula individu yang menggerakkan projek pembinaan Skynet kerana dikatakan individu itu berada pada zaman itu. Lucu pula mengenangkan mereka terpaksa membiasakan diri dengan teknologi pada zaman kita sekarang, maklumlah, mereka tu dari tahun 1999, teknologi tak sama beb! Zaman sekarang ada telefon bimbit berkamera. Ketika mereka merentas zaman, hanya badan mereka saja yang dibawa, segala pakaian dan peralatan lain tak ada. Akibatnya, mereka muncul pada tahun 2007 (di tengah jalan raya pulak tu!) dalam keadaan berbogel dan ada sorang mamat tu berjaya merakamkan "aksi" mereka. Heh, ni mesti nak bubuh dalam Youtube tu!
Berjayakah mereka mencari dan seterusnya menghalang Skynet daripada tercipta sepertimana Skynet berusaha menghalang John Connor daripada terus hidup sehingga dia dewasa nanti? Atau apakah peristiwa yang digelar sebagai "Judgment Day" iaitu hari di mana mesin "pimpinan" Skynet akan bangkit dan menghapuskan semua manusia itu tetap akan berlaku juga? Jeng jeng jeng...
...
Haha, dah habis dah "intro" ringkas (tapi panjang!) mengenai siri TERMINATOR ni secara keseluruhannya. Mari aku fokuskan pasal apa aku kata episod kedua yang aku tengok di 8TV pada 7 Julai 2008 jam 10:30 malam itu sebagai suatu propaganda peristiwa 9/11.
Seperti yang aku kata tadi, Sarah dan John telah melangkaui masa dari tahun 1999 terus ke tahun 2007. Maknanya segala peristiwa yang berlaku antara tahun itu, mestilah mereka tak tahu kan? Begitu jugalah dengan peristiwa 9/11 tu pun, kan ianya berlaku pada tahun 2001?
Dalam satu babak di mana Sarah berjumpa dengan seseorang untuk meminta agar diberikan kepada mereka "identiti baru" (yang palsu), orang itu meminta dengan harga yang agak tinggi, alasannya ialah tahap sekuriti di Amerika Syarikat makin meningkat setelah peristiwa 9/11. Sarah yang tak pernah dengar pasal peristiwa ini, tertanya-tanya apakah ia. Lalu diceritakanlah kepadanya peristiwa itu.
Sarah terkedu mendengar, dan dia bermonolog sendirian, mengaitkan dengan peristiwa "Judgment Day" yang bakal berlaku kalau dia dan John gagal menghalang kebangkitan Skynet. Dia kata (lebih kurang la bunyinya), "3000 orang mati dalam peristiwa 9/11 itu pun dah cukup menyedihkan, bagaimana pula kalau 3 billion orang? (merujuk kepada angka kematian jika "Judgment Day" berlaku)". Dia juga berkata, seandainya dia berada dalam tahun 2001, mesti dia ingat peristiwa "Judgment Day" itu dah berlaku, dan ini bermakna dia dan John telah gagal. Kesimpulannya di sini ialah, baginya, peristiwa 9/11 itu tersangatlah dahsyat (baca: kejam sungguh la pihak yang buat itu).
Di sinilah bahagian yang aku tak puas hati. Kita semua pun tahu kan apakah signifikannya peristiwa 9/11 kepada kita? Semua orang jadi sensitif dengan peristiwa itu. Kesannya juga kena pada kita. Peristiwa ini menjadi titik permulaan dan alasan kepada pencerobohan di negara Afghanistan dan Iraq. Kita boleh berteori konspirasi mengenai siapakah dalang di sebalik peristiwa itu, tapi, as far as they (hampir seluruh dunia la kot) are concerned, yang buat tu siapa? Ya, kita semua tahu siapa yang menjadi "kambing hitam" dalam kes ni, kan? Perkataan "teroris" sekarang ni dah jadi sinonim dengan siapa? Jawab sendiri la no?
Maka, aku rasa sangat "lawak" dengan orang putih ni. Depa mau jugak selit benda ni dalam cerita mereka, biarpun sedikit saja. Sarah Connor telah memberikan aku tanggapan bahawa dia menganggap "teroris" yang buat peristiwa 9/11 itu hampir sama jahatnya dengan Skynet.
Apa yang buat aku rasa "lucu" dengan orang putih ini ialah, erm, biar aku pecahkan kepada tiga bahagian "lawak" seperti berikut:
LAWAK PERTAMA: Kenapakah, bila mereka buat sesuatu cereka, mereka perlu selitkan peristiwa sebenar dalam kronologi cerita mereka? Untuk bagi nampak realistik? Kenapa mereka tak "rekakan" saja peristiwa fiksyen sebagai analogi bagi peristiwa sebenar? Kenapa mesti ambil peristiwa sebenar? Tidakkah ada pihak yang sensitif dengan peristiwa ini (maksud aku, keluarga mangsa la)? Tapi, itu soal moral dan etika yang subjektif, makanya, nak didebatkan pun, memang takkan habis punya, hehe.
LAWAK KEDUA: Mereka suka menampilkan benda-benda "khayalan" ini sebagai kononnya musuh bagi umat manusia. Kalau tak makhluk asing, makhluk jembalang/setan dari "neraka". Kalau bukan kedua-dua itu, maka mesinlah pula musuh utama manusia (macam dalam filem Terminator tu la!). Kalau bukan kesemua ini, manusia sendiri pun boleh menjadi musuh utama bagi umat manusia juga. Dan ini membawa kepada...
LAWAK KETIGA: Mereka memiliki "memori selektif". Mereka suka mengungkit-ungkit peristiwa-peristiwa tertentu, sehingga dijadikan sebagai "propaganda" di dalam drama, filem dan komik mereka, tetapi pada masa yang sama, mereka menafikan kewujudan peristiwa-peristiwa tertentu yang lain. Contoh paling mudah, selain daripada peristiwa 9/11 yang kini sudah menjadi "modal" baru bagi mereka, ialah peristiwa "Holocaust".
Wah, kalau dululah kan, apa-apa saja cereka pun, mesti diselitkan mengenai kezaliman puak Nazi ini terhadap Yahudi (adakalanya disebut sebagai "terhadap seluruh umat manusia", heh!). Tu tak masuk lagi putar belit sejarah mereka mengenai perang Vietnam! Sekarang ni, peristiwa 9/11 la pulak menjadi "tambahan baru" untuk modal cerita mereka ini. Buktinya, filem IRON MAN baru-baru ini. Sepatutnya, di dalam komik, sejarah hidup Iron Man bermula di dalam perang Vietnam. Tapi, mungkin sebab peristiwa tu dah tak relevan, maka di dalam filemnya, ianya sudah diubah ke Afghanistan la pulak!
Tapi pada masa yang sama, mereka boleh pula mengabaikan peristiwa kezaliman mereka terhadap Iraq dan Afghanistan. Dan yang paling TAK PERNAH disentuh ialah keganasan rejim Zionis kepada rakyat Palestin. Ya, kejahatan puak Zionis ni memang TAK PERNAH dipaparkan dalam mana-mana karya di Hollywood, baik filem, drama TV, mahupun komik.
Kalau diceritakan kezaliman negara lain (tak kiralah negara betul ataupun negara "palsu" yang merupakan analogi bagi sesuatu negara sebenar), biasanya negara yang berfahaman SELAIN fahaman kapitalisme dan demokrasi ala Amerika Syarikat yang terletak di sekitar negara Eropah tertentu, Afrika, Asia Barat, Asia dan Amerika Latin. Tapi keganasan terhadap Palestin? TAK PERNAH ADA!
Rasanya memang ada "larangan tak bertulis" kot mengenai benda ini di sana. Pembikin cereka mereka dilarang keras daripada mempersoalkan "ketuanan Yahudi" di muka bumi ini. Barangkali la kot. Kalaupun nak sentuh pasal Yahudi ni, yang boleh dikupas ialah, mesti kena ada cerita bersimpati dengan Yahudi yang telah dizalimi dalam peristiwa Holocaust.
Ya, itulah dia "musuh manusiawi" di kalangan manusia, iaitu sesiapa saja yang tak sefahaman dengan mereka di Barat itu. Lebih tepat lagi, sesiapa yang menentang "ketuanan Yahudi" (oh boy, aku suka dengan istilah ni!).
Begitulah keadaannya. Maka, bagaimanakah pula dengan sensitiviti kita? Kita ni main hantam layan saja segala macam hiburan, filem, lagu daripada mereka. Tapi kengkadang tak perasan (buat-buat, atau memang tak peduli?) unsur-unsur sebegini yang diselitkan.
Aku pun sembang ja, tapi layan jugak adakalanya! Tapi aku memilih la sikit. Kalau setakat sentuh sikit saja dan bukan sebagai tema utama jalan ceritanya, boleh la aku consider. Tapi, kalau yang mana yang terang-terang bercanggah dengan prinsip aku, memang aku tolak terus la. Contohnya, aku teringin nak layan siri NCIS di 8TV, tapi memandangkan dalam siri tu ada sorang watak yang betul-betul merupakan ejen Mossad. Ceh, maknanya, "musuh-musuh" utama bagi protagonis dalam siri ni, tak lain tak bukan, mestilah orang Islam jugak antaranya. Jadi, secara prinsipnya, memang aku tak boleh terima diri aku menonton siri ini (sekali-sekala "ter" jugak, aduh!), dan aku tak tahulah betapa tak sensitifnya sesiapa yang boleh enjoy menonton siri ini. Dan betapa tak gunanya 8TV kerana menayangkannya, heh!
Berakhirlah sudah coretan aku untuk entri ini.
...
Oh ya, belum habis lagi sebenarnya! Aku nak selit sikit di sini.
Berbalik kepada siri Terminator: filem keempat berjudul TERMINATOR SALVATION sedang dalam pembikinan dan bakal ditayangkan pada 22 Mei 2009 nanti! Filem ini akan memfokuskan kepada babak-babak pertama perang antara manusia dengan mesin. Kali ini watak John Connor akan dipegang oleh hero daripada filem BATMAN BEGINS dan THE DARK KNIGHT! Ya, Christian Bale akan bertukar daripada "Batman" menjadi John Connor!
Dalam filem ini juga, John Connor (yang pastinya sudah dewasa pada zaman di mana peristiwa dalam filem ini berlaku) bakal bertemu dengan seorang remaja yang bernama Kyle Reese. Ya, remaja ini bakal menjadi BAPA kepada John pada masa akan datang, atau lebih tepat lagi, pada masa silam... arrghhh, sakit otak aku memikirkannya! :P
Tentang Makanan yang Disediakan oleh Bukan Ahli Syahadah
-
Pertanyaan : Assalamualaikum. Nak minta sedikit pencerahan atau pendapat
tentang makanan dan minuman yang disediakan oleh orang bukan Islam dari
sudut...
Seminggu yang lalu
salam...boleh tlg tak bg babak2 yg ada propaganda dalam filem the kingdom n transformes..tq
BalasPadamSalam.
BalasPadamHoho, maaf, saya tak ada keinginan langsung pun nak tengok filem THE KINGDOM itu (tak minat filem yang memang asal kejadiannya ialah nak menghina orang Islam), hohoho! Tapi semua orang pasti dah tahu kat mana propagandanya filem itu.
Adapun filem TRANSFORMERS tetap ada propagandanya, tapi ianya hanya sampingan dan tak menjejaskan keseronokan menonton filem itu. Orang yang menonton filem ni biasanya memang dah minat dengan siri ini (animasi, komik dan permainannya), jadi mereka biasanya tak pedulikan sangat kalaupun ada propagandanya. ;)