Sepulangnya (ada ka perkataan ni? :P) aku dari solat Jumaat petang tadi, aku yang baru nak makan tengah hari, telah menghidupkan TV yang terletak di dapur. Sambil menghadap makanan, aku telah membuka stesen TV2. Kebetulan pada waktu itu, tengah ditayangkan sebuah drama Melayu yang mula ditayangkan pada 2:30 petang (aku buka beberapa minit selepas itu). Yang menarik perhatian aku terhadap drama ini ialah gandingan dua pelakon utamanya, iaitu Allahyarham Shukery Hashim dan Allahyarham Ismail Din. Wah, sememangnya kedua-dua mereka ni merupakan pelakon kegemaran aku, dan memandangkan mereka berdua digandingkan, maka aku pun mengagak ini pastinya drama komedi.
Selesai makan, aku pun menghadap pulalah ke stesen TV, tapi tidaklah pula menontonnya dengan serius, sebab sambil membaca akhbar. Rupanya tajuk drama itu ialah AKU MASIH POPULAR, dan memandangkan interaksi antara kedua pelakon dalam babak pertama yang aku tengok ketika aku tengah makan tadi, aku dapat mengagak ini mengisahkan golongan 'has-been' atau secara mudah cakapnya, golongan yang dahulunya terkenal tapi sekarang sudah makin menurun populariti mereka.
Memang benar, drama ini mengisahkan seorang Pengarah (lakonan Shukery Hashim, tapi aku lupa nama wataknya, dengan ini aku akan merujuk wataknya sebagai "Sang Pengarah", dan "sang-sang" yang lain untuk watak-watak lain yang aku akan sebut kemudian nanti) yang sudah 10 tahun tidak bekerja kerana tiada projek yang membabitkan penglibatannya. Sang Pengarah ini telah dijemput dan ditawarkan oleh Sang Penerbit (lakonan Ismail Din) untuk mengarahkan sebuah filem bertemakan cinta. Dalam pada itu, Sang Penerbit juga telah memilih seorang Sang Model yang jelita (lakonan Yasmin Suraya, seorang pelakon yang dah lama aku tak nampak kat TV, dan aku pernah terkeliru antara beliau dengan selebriti yang bernama Yasmin Hani, huhuhu...) untuk dijadikan pelakon utama (heroin) filem berkenaan.
Rupa-rupanya Sang Penerbit ini ada hubungan dengan Sang Model yang belum pernah berlakon ini, jadi demi mencapai cita-citanya untuk menjadi pelakon, maka Sang Penerbit telah memilih Sang Pengarah ini kerana meyakini kemampuan beliau mengangkat seseorang yang tiada pengalaman dalam lakonan dan menjadikannya pelakon yang berbakat. Kisahnya boleh diagak, pengarah lama dengan egonya dan pandangannya sementara model yang baru nak berlakon pula dengan kerenahnya yang tak suka disuruh-suruh membuat babak-babak romantis yang difikirkan sebagai ketinggalan, maka timbullah konflik antara pengarah dan pelakon ini.
Masalah pertama ialah Sang Model telah mempengaruhi Sang Penerbit supaya menyuruh Sang Pengarah mengubahsuai skrip filem itu agar memenuhi citarasa Sang Model, sementara Sang Pengarah pula merasa tercabar kerana dipersoalkan kredibilitinya oleh Sang Model yang masih mentah itu. Sementara itu, masalah Sang Pengarah jadi makin rumit kerana isterinya, Sang Primadona (lakonan Azizah Mahzan), juga seorang 'has-been', sentiasa mengganggu suaminya itu agar mengambilnya berlakon dalam filem berkenaan. Dalam celah-celah itu, terdapatlah beberapa rencah-rencah biasa dalam drama kita, cinta bersegi-segi antara Sang Model dengan, bukan dua, tapi tiga lelaki iaitu Penerbit, Pengarah, dan teman lelakinya iaitu Imran (haha, yang ini aku ingat nama watak tapi tak kenal pulak siapa pelakonnya!).
Apapun, aku sebenarnya nak utarakan satu perkara yang tersangat lawak dan tak logik yang aku temui dalam drama ini. Bukan setakat babak di mana Sang Pengarah kena ubahsuai skrip (bahkan dia juga digambarkan sebagai yang menulis skrip itu, jadi ini bermakna tiada watak penulis skrip dalam cerita ni), tapi ada satu kecacatan utama dalam sepanjang drama ini. Nak tahu apa dia?
Ya, sebagai sebuah filem yang kononnya bertemakan cinta, nampak sangatlah bahawa cerita ini LANGSUNG tidak memaparkan watak pelakon lelaki sebagai hero untuk digandingkan dengan watak yang sepatutnya dilakonkan oleh Sang Model. Bahkan, jangan kata muka pelakon-pelakon lain, satu krew pun tak kelihatan, padahal terdapat beberapa babak di mana kononnya berlaku penggambaran (atau mungkin babak tu cuma menggambarkan Sang Model tengah menjalani sesi raptai bersama Sang Pengarah, tapi takkan la pulak kot).
Iya tuan-tuan dan puan-puan, secara asasnya, menurut drama ini, filem cinta itu hanya dilakonkan oleh seorang sahaja pelakon iaitu Sang Model itu! Wahkahkah, habis tu, dengan siapa sepatutnya watak lakonan Sang Model tu kena bercinta? Hehehe, inikah dia filem yang, menurut dialog yang diutarakan oleh Sang Penerbit, filem yang dia tak mahu rugi juta-juta ringgit? Amboi mak, jimat sungguh dia ya? Upah seorang pengarah dan seorang pelakon saja, "besar" sungguh produksi filem beliau ni kan?
Heheh, aku tak pastilah ini salah penulis skrip drama atau pengarah atau penerbit, tapi aku rasa ini suatu drama yang betul-betul di luar ruang lingkup logik yang boleh dipaparkan dalam sesebuah drama komedi. Takkanlah punyalah nak 'highlight' kisah cinta antara Sang Model dengan Penerbit dan Pengarah, sampai terlupa aspek-aspek "remeh" seperti perlunya digambarkan kepada kita bahawa wujudnya sebuah krew, atau setidaknya pun, bagilah ada watak yang memegang peranan sebagai hero dalam filem mereka tu. Sebab yang aku perhati, kalau babak perbincangan mengenai filem, asyik-asyik watak mereka bertiga ni sahaja!
Tak tahulah kot-kot ada cerita macam ini dalam dimensi keempat! Yang pasti, penerbit drama ini (yang sebenar, yang menerbitkan drama ini untuk siaran TV ni) pun tahu bahawa sesebuah drama TV yang berbajet rendah pun takkan boleh "hidup" kalau cuma ada pengarah dan seorang pelakon wanita, tambah-tambah lagi la kalau nak buat cerita cinta! Heh, pengalaman "membuat filem" menerusi permainan komputer THE MOVIES (laman sesawangnya) susah juga, nak kena urus studio, set, kebersihan set, pelakon, pengarah, penulis skrip, kebajikan mereka kena jaga, bukan setakat pakai seorang pengarah merangkap penulis skrip dan seorang pelakon saja tau, pelakon ekstra pun kena ada!
P/S: Ada sesiapa pernah main tak game yang aku sebut tu? Seronok tau, ala-ala THE SIMS tapi melibatkan studio filem dan pekerja-pekerjanya (termasuk tukang sapu sampahnya sekali). Menarik jugak, boleh la berlatih dan "belajar" (kononnya la) cara-cara pembikinan filem, antaranya kena upah penulis skrip menulis skrip dalam genre-genre tertentu, dah siap skrip kena raptai dulu, lepas tu baru masuk set dan mula penggambaran. Kita boleh rombak sebagaimana yang kita suka. Ramai pemain game ni yang buat filem pendek dan muat naik ke Youtube, cubalah cari di sana, dan cubalah main game ini... ;-)
Tentang Makanan yang Disediakan oleh Bukan Ahli Syahadah
-
Pertanyaan : Assalamualaikum. Nak minta sedikit pencerahan atau pendapat
tentang makanan dan minuman yang disediakan oleh orang bukan Islam dari
sudut...
Seminggu yang lalu
hohoho memang sangat-sangat tidak logik. tapi apa ada hal? penonton bukan kesah itu semua. janji lawak dan boleh buat orang gelak-gelak.
BalasPadamerr adakah blog ini masih bernyawa wahai encik saladinconvoy? lalalalalalala...