Selasa, 15 Oktober 2013

Salam Aidil Adha 1434 Hijriah

Hari Raya kembali lagi. Hari Raya Aidil Adha atau juga dipanggil Hari Raya Korban atau dalam masyarakat kita, kita sebut "Hari Raya Haji" sebab berbetulan dengan orang melaksanakan ibadah Haji pada ketika ini. Tapi ada seorang Tuan Guru (Allahyarham Syeikh Zakaria Haji Ahmad Wan Besar) pernah berseloroh di corong radio Kedah FM ketika segmen kuliah beliau suatu ketika dulu, "kalau Hari Raya tu Hari Raya Haji, maknanya orang yang pi haji saja la yang boleh raya. Pak-pak lebai atau orang biasa tak boleh raya la. Maka istilah yang lebih tepat ialah Hari Raya Korban".

Sememangnya perkataan "Adha" tu pun membawa maksud "korban" (udhiyah, haiwan untuk dikorbankan). Nama lain ialah Hari Nahar. Dan sememangnya hari berkenaan adalah sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim A.S. diperintahkan oleh Allah untuk melakukan "korban" ke atas anaknya Nabi Ismail A.S. dan dipersetujui oleh baginda berdua. Menunjukkan betapa besarnya pengorbanan yang sanggup dan sedia dilakukan untuk Allah.

Dan sempena besarnya peristiwa dan besarnya erti korban itulah hari ini dikenali juga sebagai 'Eidul Akbar: Hari Raya Besar, lebih besar daripada Hari Raya Puasa. Buktinya, Hari Raya Puasa cuma disambut sehari sebab hanya sehari kita bertakbir Raya untuknya (tapi masyarakat kita menyambutnya sampai sebulan!), sementara Hari Raya Korban boleh bertakbir Raya sampai hari keempat. Bahkan pada sembilan hari awal Zulhijjah pun kita dah "menyambutnya" dengan pelbagai kelebihan pahala sekiranya kita beramal pada hari tersebut (dan ini untuk yang TIDAK pergi menunaikan Haji), antaranya ialah boleh menunaikan puasa sunat dari 1 Zulhijjah hinggalah ke hari kesembilan iaitu Hari Arafah. Dan dikatakan dalam hadis, "malam terbaik ialah 10 malam terakhir Ramadhan, dan hari (siang) yang terbaik ialah sepuluh hari pertama Zulhijjah, termasuklah pada 10 Zulhijjah itu sendiri iaitu Hari Raya Korban yang boleh dilakukan ibadah korban padanya. Bahkan disambung lagi pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah iaitu Hari Tasyriq yang mana kita turut diharamkan berpuasa padanya selain pada 10 Zulhijjah, dan masih boleh melaksanakan ibadah korban, dan masih boleh bertakbir Muqayyad setiap kali lepas solat, sehinggalah pada akhirnya iaitu pada Solat Asar 13 Zulhijjah.

Secara jujurnya, kita "berhari raya" selama 13 hari, jika dihitung empat hari raya itu dengan sembilan hari awal Zulhijjah! Memang benarlah ini Hari Raya Besar. Maka marilah kita sama-sama menghayati erti sebenar Hari Raya Korban ini dan menyambutnya dengan penuh sambutan dan keinsafan. Selamat Hari Raya Aidil Adha, taqabalallahu minna wa minkum. B-)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang