Khamis, 18 September 2014

Artikel FB: "UPSR TIDAK MEMBERI MAKNA APA-APA"

Mutakhir ini heboh isu kebocoran kertas UPSR yang dilaporkan, dan berlaku segala macam kesan sampingan daripada kejadian itu. Maka ingin aku kongsikan "artikel" yang ditulis orang yang diposkan ke dalam status FB individu-individu tertentu.

Aku rasa amat rugi kalau mereka tiada blog sendiri untuk arkibkan artikel mereka ini, sebab artikel sebegini, sefaham aku la, takkan naik dalam carian enjin pencari macam Google. Lepas tu artikel mereka ini akan "tenggelam" daripada timeline mereka setelah beberapa kali mereka kemaskini status mereka, maka aku terpanggil untuk berkongsi salah satu daripada artikel yang aku jumpa di FB. Aku copy-paste tanpa ubah satu huruf pun, dan aku sertakan juga pautan asal ke posting asal mereka di profil FB masing-masing.

Ini merupakan tulisan seorang guru bernama Nor Azizuddin Abdul Manan (pautan asal) bertarikh 12 September 2014, jam 11:26 malam.

UPSR TIDAK MEMBERI MAKNA APA-APA

1. Kepada calon2 UPSR yang sudah merancang untuk mengikuti kedua ibubapa mengerjakan ibadah haji dan dijangka berangkat sebelum tarikh 30 September 2014 (tarikh peperiksaan ulangan subjek Sains dan B.Inggeris), nasihat saya, ikutilah kedua ibubapa anda mengerjakan ibadah haji, jangan bertangguh lagi. Begitu juga kepada kepada calon UPSR yang mengikuti lawatan sambil belajar ke luar negara samada anjuran sekolah, NGO's atau mana-mana tajaan syarikat atau secara persendirian, pergilah mengikuti lawatan tersebut, itu juga merupakan sesi pembelajaran berterusan. Kepada keluarga calon2 UPSR yang sudah merancang untuk melancong samada dalam dan luar negara, pergilah melancong, bawalah anak-anak melancong, senang hatikan, bergembiralah sambil merafakkan rasa syukur dengan keamanan yang dinikmati.

2. Usah dipedulikan dengan peperiksaan ulangan UPSR itu,
bukan salah calon2 UPSR, tidak ada satu catatan kesalahan yang calon2 UPSR lakukan, bahkan calon2 berhak untuk memilih samada mahu menduduki atau tidak menduduki peperiksaaan ulangan yang dibuat bukan atas faktor kesalahan calon2 UPSR.

3. Harus diingatkan UPSR hanya pengujian selama 6 tahun calon2 mengikuti sesi PdP di sekolah rendah, masakan mungkin calon2 masih tidak tahu membaca, menulis, mengira,menaakul dan mentafsir sesuatu disiplin ilmu di peringkat sekolah rendah walhal calon2 UPSR sudah mengikuti lebih daripada 12 kali peperiksaan (Pertengahan Tahun dan Akhir Tahun dari tahun 1 sampai tahun 6) belum masuk campur tolak bahagi darab dengan ujian-ujian bulanan (disebut juga Ujian Prestasi) sepanjang 6 tahun pengajian di sekolah rendah, masih tidak cukup lagikah BILANGAN 'A' yang diperolehi ?. Mahu berapa 'A' lagi ? 100 ? 200 ? 1000 A?.

4. Samada calon2 UPSR memperolehi 5A, 7A, 4A, 3A,1A, 5E, 7E sekalipun semuanya layak untuk memasuki ke tingkatan satu dimana-mana sekolah menengah kelolaan Kerajaan Persekutuan (KPM), tidak ada yang terkecuali, cuma untung nasib jika dapat 'A's dari atas sampai ke bawah mungkin mudah memasuki mana-mana Sekolah Berasrama Penuh (SBP), MRSM, SMKA dan lain-lain Sekolah Kawalan JPN terpilih. Jika ibubapa berduit lebih bolehlah mendaftarkan anak-anak mereka dimana-mana sekolah menengah swasta, sekolah persendirian, sekolah antarabangsa, Ikut selera masing-masing.

5. UPSR, apa yang ada pada sekeping Sijil yang tak sampai pun sebesar saiz kertas A4, adakah dengan 5A, 7A sudah layak untuk memasuki program Perubatan, Kejuruteraan, Pergigian, Perakaunan dan lain-lain lagi ?. Tidak ada apa-apa signifikan pun. Allah.

6. Untuk apa mahu menangisi atas apa yang berlaku, senangkan hati, bertenang, usah gundah gulana. Saya rasa bersyukur jika papan-papan kenyataan yang memaparkan Graf Turun Naik Subjek2 UPSR dibiarkan kosong. Biarlah papan kenyataan sebesar pintu jamban (barangkali) itu diisi dengan nota-nota, hasil kerja murid, aktiviti-aktiviti bergambar murid dan guru, sekolah serta PIBG. Ada apa dengan ranking ?, Gaji guru masih sama sahaja, Guru Besar tetap bergred DG32, 34 dan 41. Mungkin saiz badan GB sahaja yang berubah, dari kecil kepada besar, atau besar menjadi kecil. Tak lebih tak kurang, perangai guru, murid dan staff, masih macam biasa. Gegak gempita suara guru mengajar, hilai tawa, sedu sedan tangis murid, semua masih sama. Saya rindu ragam sekolah macam dulu-dulu. Era 80-an, 90-an.

7. Saya tidak tahu pedajjal mana yang merancang "benda pelik-pelik" dalam sistem pendidikan Malaysia. Tak cukup kertas, dibuatnya online, tak cukup online dibuatnya "offline", belum habis "offline" akhirnya berpatah balik kepada kaedah bertulis. Haramjadah apakah ini ?.

8. Ingat wahai calon2 UPSR, penentu masa depan anda ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), itulah jambatan samada anda akan melangkah ke peringkat yang lebih tinggi atau berhenti sebelum kaki melangkah lebih jauh. Selepas tamatnya pengajian di sekolah rendah, pergilah kemana-mana sekolah menengah sekalipun, jika ada kemahuan untuk berjaya, disitulah kejayaan anda akan tercipta. Ingat, sejak awal tahun 2002 sehingga tahun 2013, pelajar terbaik SPM peringkat Kebangsaan kebanyakkan datang dari sekolah yang "biasa-biasa" saja. Ambillah contoh Nik Nur Madihah dan Siti Fatimah Mokhtar, kecemerlangan mereka dari sekolah menengah agama (Maahad Al Muhammadi Lil Banat), Azali Azlan datang sekolah menengah agama (SMKA Yan), Nur Amalina dari sekolah menengah harian biasa, jadi, apa yang perlu dirisaukan jika tidak memperolehi 5A dalam UPSR sekali pun ?.

9. Yang GILA dan MENGGILA sekarang ialah golongan "pengejar ranking" yang banyak menyusahkan orang lain, sanggup mencabuli amanah asalkan "ranking" menjadi keutamaan. Mata hati sudah gelap untuk merasai betapa panasnya api neraka. Golongan "atasan" apa lagi yang mereka tahu ?. Entah-entah bau kapur tulis pun sudah mereka lupa, maklumlah hanya kenal pen dakwat "Chayaq". Meeting sana-sini, bilik berhawa dingin, guru dan murid dibiarkan kepanasan dalam "microwave" pelan pendidikan entah apa-apa. Peduli apa, asalkan Pelan itu dipuja puji orang kulit putih, hitam legam, mata sepet, inilah Pelan Pendidikan terbaik Seantario dunia. Dijajanya pelan sampai ke Eropah, cecah ke Korea, titik di Singapura. Megah dan bangga kononnya. Walhal "bocor" sana sini, muka mahu diletak mana ?. Oh, muka kita setebal Tembok Besar China rupa-rupanya.

10. Akhirnya, apa perasaan anda wahai calon2 UPSR ?, sudah berasa lega atau masih gundah gulana memikirkan perkara yang tidak sepatutnya difikirkan. Elok difikirkan apa yang perlu dilakukan semasa di peringkat menengah nanti bak kata pepatah "Panjang langkah koyak pesak seluar, tinggi loncat tembuk ubun-ubun". Buat sehabis baik, SPM disitulah penentu langkah anda seterusnya bukannya UPSR.

Salam ikhlas,
Nor Azizuddin Bin Abdul Manan
Hamba Abdi DGA32 [entah bila akan dapat DG42].

* Artikel diatas adalah pandangan peribadi penulis semata-mata, tidak ada kena-mengena samada yang masih hidup atau sudah mampus dimamah bumi.

Link : http://www.astroawani.com/news/show/luluh-hati-anak-saya-tidak-dapat-ke-as-dek-kebocoran-kertas-upsr-ibu-43788

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang