Rabu, 19 Mac 2008

Lonely Soldier Boy: MOSPEADA!

DO YOU REMEMBER THAT OLD LUL-LABYE?!


Hoho, bagi peminat band-band tempatan, terutamanya band-band baru yang kemunculannya entah dari mana datangnya, secara tiba-tiba sahaja muncul di arena seni tanah air ini, muncul secara mainstream pulak tu, dengan genre muzik yang pelik-pelik, maka pastinya pernah mendengar tajuk lagu seperti yang aku tulis kat tajuk entri ini, serta "ayat" yang aku quote kat atas tu (ya, aku tahu ejaan "lullaby" tu salah). Yep, lagu daripada band HUJAN kan?

Tapi bagi orang tertentu, macam aku contohnya, maka bila membaca tajuk lagu itu, dan kemudiannya setelah mendengarkan sendiri lagu nyanyian mereka itu, maka tidak boleh tidak, memori lampau mengimbau kembali, mengingatkan aku kepada asal-usul yang asalnya bagi lagu berkenaan. Apakah asal-usul yang sebenar bagi lagu berkenaan?

Yeah, bagi yang dapat menekanya, tahniah diucapkan! Andalah "kanak-kanak 80an" yang peka dengan apa yang anda tonton di TV, heheheh! Bagi yang tak tahu, mungkin anda terlalu muda, atau mungkin juga terlalu tua daripada jangka umur itu, atau mungkin anda jenis yang tidak kisah atau peduli.

Maka biarlah aku memberikan jawapannya. Ini ialah lagu yang SAMA (atau hampir sama, atau sekurang-kurangnya iramanya SAMA, serta beberapa bahagian lirik tertentunya SAMA) dengan satu lagu yang sebenarnya dinyanyikan dalam bahasa yang ternyata jauh berbeza daripada bahasa kita.

Mempersembahkan GENESIS CLIMBER MOSPEADA (laman sesawang rasminya di sini), atau dalam bahasa asalnya ialah 機甲創世記モスピーダ (transliterasinya ialah Kikō Sōseiki Mosupīda) atau secara langsung terjemahannya ialah Armored Genesis Mospeada.



Bagi yang terkeliru (macam aku sendiri pada satu ketika dulu) mungkin membayangkan bahawa ini juga cerita yang sama yang diberi judul ROBOTECH (laman sesawang rasmi di sini). Ya, itu pun benar juga.

ROBOTECH ialah tajuk yang digunakan untuk memasarkan siri anime ini di Amerika Syarikat. Menjadi suatu amalan yang biasa pada suatu ketika dulu, untuk sesuatu penerbitan di Amerika Syarikat, tatkala mereka mengimpot sesuatu siri anime dari Jepun (iyalah, dari mana lagi kan?) ke Amerika Syarikat, mereka akan pilih judul-judul dari genre-genre yang mereka rasa mereka boleh "buat duit". Dan bilamana mereka berbuat demikian, mereka akan menghakmilikkan siri itu, seolah-olah merekalah yang menerbitkannya, dan memang produksi Jepun pun jual seratus-peratus kepada mereka. Kalau tak salah, istilahnya ialah "anime licensing".

Jadi, apabila mereka berhak melakukan apa saja, maka berlakulah apa yang disebut di kalangan peminat anime sebagai "Americanized anime", sama ada ditapis agar sesuai untuk tontonan kanak-kanak di Amerika Syarikat (sebab biasanya di Jepun, anime mereka tiada tapisan, boleh jadi apa saja babak yang "pelik-pelik" boleh ditayangkan di situ tetapi tidak dapat diterima oleh masyarakat di Amerika Syarikat untuk dipertontonkan kepada kanak-kanak mereka), ataupun ianya diberikan sifat tempatan (atau Amerika) di mana watak-watak yang mempunyai nama-nama Jepun, akan diberikan nama-nama Amerika.

Biasanya TAJUK asal akan diubah. Adakalanya sampai ke peringkat mengubah jalan cerita asal (seperti kes novel AYAT-AYAT CINTA ke filemnya, sepertimana yang dikompelinkan oleh peminatnya, hehe!). Dan adakalanya mereka akan menggabungkan beberapa siri yang sebenarnya LANGSUNG TIADA KAITAN dan dihimpunkan dalam satu siri yang kononnya berkaitan. Biasanya yang dihimpunkan itu ialah siri-siri anime yang diterbitkan oleh produksi dari Jepun yang sama. Jadi apabila produksi Amerika Syarikat "membeli" siri-siri ini, mereka mempunyai hak penuh ke atas siri ini bertindak menggabungkannya agar menjadi suatu francais yang lebih besar (dan senang nak dipasarkan kot?). Hubungkait antara kesemua cerita itu akan mereka lakukan menerusi dialog yang diubahsuai agar kelihatan bahawa kedua-dua (atau lebih) siri ini ialah sebahagian daripada suatu cerita yang lebih besar.

Maka itulah dia ROBOTECH, hasil gabungan daripada tiga siri anime (bergenre mecha) yang berbeza, iaitu THE SUPER DIMENSION FORTRESS MACROSS (panjang gila babas tajuknya! Panggil ja MACROSS), THE SUPER DIMENSION CAVALRY SOUTHERN CROSS (gila betul, yang ini lagi panjang tajuknya! Ada "THE" pulak kat depan tu yang tak tahan tu!), dan siri MOSPEADA yang aku sebut kat atas tadi tu.

Tapi ini dulu la, sebab sekarang ni produksi/pengedar Amerika Syarikat dah tak buat macam itu... sangat. Mereka sedar peminat sekarang ni dah pandai, dah ada yang buat "Fansub" dan kemudiannya edar di Internet, jadi akan rugi besarlah pengedar di Amerika Syarikat sebab penonton tak menonton hasil edaran mereka. Jadi ada di kalangan mereka yang mengekalkan judul, nama watak serta jalan cerita, sementara masih ada juga yang mengubah judul, nama watak, serta "menapis" jalan cerita yang mungkin tak sesuai ditonton oleh kanak-kanak (penapisan rancangan kanak-kanak di Amerika Syarikat sangat ketat rupa-rupanya), jadi versi Amerika biasanya agak "jinak" berbanding versi asal.

Berbalik pada ROBOTECH, aku yakin, selain ROBOTECH dan MOSPEADA, pasti yang sezaman dengan aku akan teringat judul MACROSS ni. Ala, anime robot besar yang boleh transform jadi jet, jet berkaki robot dan akhirnya robot tu! Haa, memang antara kegilaan jugak siri ni pada zaman tu. Cakap pasal transform ni, tahukah anda bahawa sebenarnya ada kaitan antara siri MACROSS dengan siri TRANSFORMERS, terutamanya pada siri permainannya? Haa, nantilah, lain kali saja aku cerita, hehe...

Oraait la, sekarang kita berbalik pula pada siri MOSPEADA ni (amboi jauh sungguh aku melencong!), masihkah anda ingat ini siri anime mengenai apa? Haha, yang aku ingat sikit-sikit ialah berkenaan sekumpulan pejuang yang naik motosikal yang kemudiannya bertukar menjadi sut perang apabila mereka "bergabung" dengan motosikal tersebut.

Kali terakhir aku tengok ialah pada bulan Ramadhan 4-5 tahun lepas (pelik kan, TV3 tayang anime ni petang Ramadhan, sebelum berbuka? Hehehe!). Bila tengok semula tu, dengan terjemahan ke Bahasa Melayu yang mungkin "hilang dalam terjemahannya", maka fahamlah aku sikit-sikit mengenai jalan cerita bagi siri bercorak sains fiksyen angkasa ni. Rupanya ada kisah pasal planet Marikh ka apa entah, tak ingat la aku. Mujurlah ada Encik WIKIPEDIA sebagai pembantu! Rujuklah di situ kalau nak tahu alkisahnya dengan lengkap.

Cuma yang aku boleh kata, anime ini (sepertimana kebanyakkan anime lain pun) memaparkan tema yang berat, agak berat, sangat berat untuk dihadam oleh kanak-kanak yang menontonnya. Tapi tak mengapa, sebab kanak-kanak akan terhibur dengan aksi-aksi yang dipaparkan, dan tak akan peduli dengan apapun "tema" yang diutarakan. Tema yang "berat" ini biasanya ditujukan pada penonton yang lebih dewasa. Maka inilah dia tarikan bagi anime yang membuatkannya boleh ditonton oleh orang dewasa tanpa rasa segan dan malu.

Oh, sebelum terlupa, lagu tema bagi siri MOSPEADA ini berjudul 失われた伝説(ゆめ)を求めて (Ushinawareta Yume O Motomete) atau kalau aku terjemah terus ke Bahasa Melayu berbunyi "Mencari Lagenda yang Hilang" ("In Search Of Lost Legends"), namun di kalangan peminat, terutamanya yang bukan dari Jepun, seperti aku, lagu ini lebih dikenali sebagai "Lonely Soldier Boy", sebab hanya itu "ayat" yang diulang-ulang, yang boleh kita fahami daripada keseluruhan lirik lagu ini, heheh!

Nama penyanyinya ialah Andy. Aku pun tak tahu mamat ni orang Putih atau orang Jepun, tapi kalau dia orang Putih, maka fasih benar Bahasa Jepunnya, dan kalau dia orang Jepun, maka tak hairanlah tak fasih sungguh bunyi Bahasa Inggerisnya (ketika menyebut "lonely soldier boy"... oh ya, dan juga perkataan "moonlight", dan paling tak dapat dilupakan, "do you remember that old LUL-LABYE!"...).

Tapi yang pasti, anime klasik tahun 80an ini memang best. Memang klasik. Tengok saja intro kat bawah tu, dengar lagu temanya yang sungguh berbunyi macam muzik rock Jepun era 80an. Dengan suara serak sang penyanyinya. Oh ya, baru teringat lagi, cuba perhatikan watak "bapuk" yang kelihatan dalam intro (atau kat gambar di atas nun), yang berambut ungu tu. Kalau dalam siri ni, dialah yang menyanyikan lagu ni, dalam episod terakhir.

Hehe, kat Jepun, seseorang yang kelihatan "bapuk" itu, bukanlah "bapuk" dalam ertikata sebenar, jauh sekali kalau mereka itu "gay". Biarpun berhias seperti perempuan, mereka ini sebenarnya sangat "jantan". Suara pun mereka kekalkan kejantanan mereka (tak dipondankan). Dan, perempuan di sana sangat menggilakan lelaki di sini. Aku jugak kenal, wanita rakyat Malaysia, yang minat "everything Japan", turut meminati artis Jepun (biasanya penyanyi lagu-lagu rock) sebegini. Dan bagi dia, dan sepertimana juga (mungkin) bagi budaya Jepun, lelaki yang "gay" ialah lelaki yang mempunyai otot sasa yang berketul-ketul. Hoho, sapa yang cekap bab-bab Jepun ni tolong perbetulkan kalau aku salah ya? Tapi kalau benar, maka memang pelik sungguh dunia ini, heheh...

Maka aku sudahi entri dengan "mengepilkan" video intro bagi anime MOSPEADA ni (cuba cari perkataan "LUL-LABYE" di situ!). Kat ruangan komen di Youtube untuk video ini, ada orang sebut pasal versi nyanyian kumpulan HUJAN tu. Kalau rajin cubalah cari versi penuh lagu ni (tajuk lagu dan nama penyanyi dah dinyatakan), dengar, dan bandingkan, versi mana anda lebih suka, heheh...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang