Hahaha, buat pertama kalinya dalam sejarah hidup aku, aku berpeluang bertemu dengan bukan satu, bukan dua, tapi TIGA individu yang hebat, dalam jangka masa yang tidak sampaipun sehari suntuk. Mereka semuanya hebat. Terkenal dengan keilmuan mereka.
Dua daripada tiga individu ini, mereka berkecimpung dalam bidang politik. Terkenal di seluruh Malaysia. Memang hebat. Memang istimewa. Tanya saja sesiapapun, pasti kenal mereka berdua ini.
Okaylah, secara teknikalnya, aku tidak BERTEMU dengan mereka berdua ni. Cuma sekadar berada secara langsung di dalam majlis yang mereka hadiri.
Individu yang ketiga ini pula, lebih memilih untuk tidak memihak kepada mana-mana "lambang" politik. Punya pengaruh yang banyak. Memang hebat. Namun kalau ditanya pada rakyat Malaysia, pastinya tak ramai yang kenal individu ini. Maka ini menambahkan lagi keistimewaan beliau. Apalagi beliau bukanlah orang dari "sini". Dan tambah istimewanya ialah, aku BERTEMU dengan individu ini secara bersemuka, tak macam yang lagi dua orang tu!
... Intro yang sedikit menyimpang ...
20 Mac 2008, sekitar jam 9 malam
Kami naik motosikal saja. Nak keluar bertiga, maka kenalah bawa dua motosikal. Maka bermotosikallah kami ke destinasi. Seperti diduga, memang kerja gila kalau kami ke situ naik kereta. Jalan raya sesak. Penuh dengan kereta. Di tepi jalan, malah di pembahagi jalan pun, ada kereta yang diparkir. Nasib baik kami tak gila, hahah!
Di simpang empat, jalan menuju ke Jalan Suka Menanti ditutup pihak polis. Punyalah ramai! Kesian memikirkan ada yang mungkin terkandas, tak dapat balik ke rumah pada waktu itu jika perlu melalui jalan itu.
Akhirnya kami pun tiba ke destinasi. Stadium Sultan Abdul Halim. Ada majlis ceramah sempena Maulidur Rasul, anjuran Kerajaan Negeri Kedah (yang baru!). Buat julung kalinya majlis seumpama ini dapat direalisasikan secara "rasmi".
Sebetulnya majlis ceramah ini ditunjangi oleh tiga tokoh. Yang pertama disampaikan oleh Menteri Besar Kedah yang baru. Tapi kami sampai di situ pada jam 10 malam lebih (sebelum tiba ke situ, kami singgah ke tempat lain dulu). Waktu itu, sudah sampai giliran untuk pengucap seterusnya, iaitu mantan Menteri Besar Terengganu (1999 hingga 2004). Haha, inilah dia individu "agamawan politik" yang pertama daripada tiga orang tu!
Sempat jugalah mendengar ceramahnya mengenai Maulidur Rasul. Tapi sebetulnya aku jadi tak dengar sangat dengan apa yang diucapkan, sebab aku telah "diganggu" oleh pemandangan aku kepada benda lain. Aku tengok lautan manusia di kawasan itu. Memang mustahil nak menghampiri tempat beliau berucap. Dengar dari jauh pun jadilah. Tapi itulah, bila dengar dari jauh, ianya akan menjadi "dengar-dengar ayam" (peribahasa ciptaanku!).
Memang majlis sebegini, kalau dianjurkan oleh pihak (parti) yang mewakili individu-individu ini, biasanya akan mendapat sambutan yang sangat luar biasa. Orang akan datang dari serata pelusuk tanah air untuk menyaksikan dan mendengar apa yang hendak diucapkan. Yang aku sempat tanya, kalau orang Kedah, ada yang datang dari sejauh Pantai Merdeka, datang ke Alor Setar semata-mata nak menghadiri majlis anjuran mereka ini.
Berkesankah majlis sebegini? Entahlah, bagi aku, secara peribadi, kalau majlis ini majlis ilmu yang bermanfaat, aku rasa ilmu yang masuk tu sikit saja. Sebab ramai orang, berasak, rasa tak selesa, jadi kita tak boleh tumpukan perhatian. Lagipun, kalau ditanya, agak-agak berapa orang yang pergi ke situ kerana individu yang akan memberikan ceramah itu, dan bukannya pengisiannya? Aku sendiri pun ke situ kerana nak tengok individu itu, bukannya kerana nak dengar isi ceramah itu sangat, heh!
Selesai ucapannya, tibalah giliran individu "agamawan politik kedua pula. Hmm... sebetulnya beliau ini, kalau dalam ranking, dia ini sepatutnya yang "pertama" la, yang teratas, tapi aku sebut "kedua" berdasarkan turutan siapa yang aku "jumpa" dulu. Untuk pengetahuan, kerana individu inilah orang datang dari merata ceruk tempat dan membanjiri tempat ini, untuk melihat dan mendengar beliau.
Siapa beliau ini? Haa, beliaulah Menteri Besar negeri "Serambi Mekah" Malaysia! Memandangkan dulu aku tak ambil tahu sangat, maka aku tak pasti, tapi aku rasa ini sememangnya kali pertama beliau datang ke negeri aku ini secara RASMI.
Aku yakin ramai orang negeri aku yang teringin sangat-sangat nak mendengar kata-katanya. Aku pun ada jugak keinginan tu, tapi malangnya, aku tengok jam dah menunjukkan hampir 11:30 malam. Tengok di atas, langit macam nak hujan. Aku jugak tengok, ramai jugak yang mula meninggalkan majlis. Aih, awat depa pun lari balik awai? Takmau dengaq ka?
Atas sebab tertentu (takut hujan, takut jam dengan mereka yang turut berebut nak balik), maka kami terpaksa meninggalkan majlis tanpa sempat mendengar ceramah yang disampaikan oleh beliau ini. Sempat dengar intro sikit saja. Kira orait la tu.
... Fast forward ...
21 Mac 2008, waktu Solat Jumaat
Entah kenapa tergerak hati nak ajak ahli keluarga aku yang lain supaya pergi bersolat Jumaat di Masjid Al-Bukhary.
Memang saban minggu, destinasi masjid yang ditujui tidak tetap, bergantung kepada keadaan. Kalau kehujanan atau dalam keadaan yang agak sibuk, ke masjid yang berhampiran saja. Kalau ada kelapangan, ke masjid yang sedikit jauh. Dan Masjid Al-Bukhary boleh dikatakan masjid yang sedikit jauh dari rumah aku.
Seperti biasa, dua buah motosikal digunakan. Tak perlu bawa kereta. Waktu nak Solat Jumaat, kesesakan adalah sesuatu yang biasa, jadi jalan selamat ialah dengan tidak membawa kereta.
Namun, hari itu, kesesakan di jalan menuju Masjid Al-Bukhary mengalami kesesakan luar biasa. Aku melihat kereta-kereta yang ada di situ. Berdasarkan nombor plat, ternyata ada yang datang dari jauh.
Kenapa? Siapa pula yang datang ke masjid ini sehinggakan ramai orang yang datang sini, aku berpura-pura bertanya, sebab aku rasa macam aku sudah tahu jawapannya.
Walau bagaimanapun, telahan aku sedikit tersasar, sebab aku sangka individu istimewa yang datang ke masjid ini, yang telah berjaya memancing ratusan orang untuk solat di sini, ialah individu yang aku jumpa di Menara Zakat beberapa jam sebelum itu. Rupanya bukan dia.
Rupanya, individu yang hadir, menjadi khatib, sekaligus mengimamkan Solat Jumaat di sini, tiada lain dan tak bukan, "individu tokoh agamawan politik kedua" yang aku tak sempat mendengar ceramahnya di stadium pada semalamnya itu. Menteri Besar dari negeri "Serambi Mekah" rupanya.
Ini merupakan peluang aku untuk mendengarkan khutbahnya secara live. Ini kali pertama dan mungkin juga kali terakhir, jadi aku bersyukur kerana diberi kesempatan ini.
Seperti yang aku jangka, beliau "menyampaikan khutbah", dan bukannya "membaca khutbah", sesuatu yang jarang aku temui dalam khutbah Jumaat. Dan tajuknya ada sedikit menyentuh mengenai Maulidur Rasul.
Maka di sini, aku sedikit terkesima mendengar apa yang beliau katakan. Mengenai menyambut Maulidur Rasul. Sebenarnya aku memang sudah menduga akan hal ini, berdasarkan cakap-cakap orang mengenai beliau, dan ternyata ianya terzahir pada khutbahnya yang aku dengar pada hari ini.
Beliau tidak menentang amalan menyambut hari kelahiran Baginda SAW. Tapi ada satu kata-kata beliau yang tidak dapat aku setuju.
Beliau kata, hari kelahiran Nabi SAW ni, kalau nak dibandingkan dengan hari Baginda SAW mendapat wahyu, iaitu pada hari Nuzul Al-Quran (17 Ramadhan), hari yang ini lebih patut disambut meriah, sebab hari itu bermulalah tugas Baginda SAW selaku Nabi dan Rasul, dan bermula pada hari itulah barulah Baginda SAW mempunyai hubungkait yang signifikan dengan kita orang Islam. Atau lebih kurang begitulah kata-kata beliau.
Selingan: Teringat pula, mazhab Syi`ah meraikan peristiwa lengkapnya Islam, malah dirayakan (sebab ianya menggunakan istilah `Eid) seperti merayakan `Eidul Fitri dan `Eidul Adha. Mereka "merayakan" peristiwa ini sebab mereka menganggap ianya signifikan dengan orang Islam, menurut pandangan mereka.
Beliau berkata, hari kelahiran Nabi SAW (maafkan aku kalau aku mungkin tersalah petik, tapi lebih kurang beginilah kata-kata beliau) tidak begitu bererti sebab Baginda SAW belum mempunyai kaitan dengan kita, sehinggalah Baginda SAW bermula mendapat wahyu barulah Baginda SAW mempunyai kaitan dengan kita.
Memang ada benarnya kata-kata beliau ini, tapi aku berpendapat bahawa aku tetap tak dapat terima kata-kata bahawa Baginda SAW ketika baru dilahirkan tidak mempunyai kaitan dengan kita. Seolah macam mengatakan bahawa kelahiran Baginda SAW tiada atau belum mempunyai signifikan, sehinggalah 40 tahun kemudian iaitu setelah Baginda SAW dilantik, barulah beliau ada signifikan dengan kita.
Namun siapalah aku kalau nak dibandingkan dengan keluasan ilmu beliau. Cukup sekadar tak setuju secara "gitu-gitu" saja sudahlah. Sebagai jalan selamat, aku ikut sajalah kata-kata majoriti `ulama' lain mengenai sambutan Maulid.
Habis khutbah, maka tibalah saat beliau mengimami Solat Jumaat. Entah kenapa, sama ada sound system rosak/bermasalah (belum terjadi sepanjang aku dok solat di sini), atau beliau tak pakai mikrofon kecil di bajunya, waktu sujud bagi rakaat pertama terasa sangat panjang. Dan tetiba aku mendengar beliau membaca Fatihah untuk rakaat kedua. Ouh, bila masa pula beliau bangun? Maka kalutlah kami di saf-saf belakang (sebab ramai sangat manusia, yang lambat sampai sikit solatnya di belakang, dan kalau tak dengar dengan jelas bacaan imam, maka kami akan bermasalah seperti ini) menyudahkan rakaat pertama, haha!
... Beberapa jam sebelum itu ...
21 Mac 2008, sekitar jam 9 pagi
Macam selalu, aku selalu terlambat ke situ. Menara Zakat. Bermula jam 9 pagi, tapi biasanya aku akan sampai ke situ pada jam 9:30 pagi, hahah!
Aku sendiri tak pasti apakah nama rasmi bagi acara ini, tapi setelah pernah diajak oleh seorang rakan, maka akhirnya aku pun jadi "terturut serta". Boleh dikatakan macam kuliah atau kelas. Adakalanya mengaji Tafsir Al-Quran, adakalanya mengaji Hadis, adakalanya mengaji Sirah. Anjuran PAKSI Kedah. Ada jadualnya, tapi aku tengok seolah macam mereka tidak begitu mengikut jadual. Aku pun hantam sajalah. Apa saja yang diajar, aku terima saja.
Pagi itu, aku hampir terlambat lagi, macam biasa. Tapi entah kenapa, aku rasa macam aku sampai awal sedikit daripada sepatutnya. Aku ambil tempat duduk yang masih kosong. Majlis dah mula, jadi aku ambil sedikit masa untuk catch-up apa yang diperkatakan oleh individu yang sedang bercakap. Oh, rupanya kelas belum bermula. Individu itu sedang memberi taklimat mengenai sesuatu.
Aku melihat beberapa orang yang sampai lebih lewat daripada aku. Sambil tersenyum mengenangkan ada yang lebih lewat. Aku ternampak ada beberapa anak-anak muda, sekolah pondok barangkali, membimbit sebuah beg yang di atasnya tertulis nama seorang individu yang aku kagumi. Individu yang berasal dari negara seberang. Wah, bertuahnya mereka pernah menghadiri majlis ilmu yang diajarkan oleh individu ini.
Habis taklimat oleh individu yang sedang bercakap tadi, maka dia mempersilakan guru/ustaz yang akan mengajar untuk kelas hari ini. Aku yang berada bersama orang lelaki yang duduk di luar dewan sementara dalam dewan pula dipenuhi wanita (ini kebiasaan perangai lelaki Melayu bila menghadiri sesuatu majlis ilmu, heh!) memang tak perasan langsung bahawa ada tetamu istimewa yang akan mengajar pada hari ini.
Sehinggalah nama itu disebut, aku jadi tersentak. Biar betul, nama yang disebut itu sebijik macam nama tokoh terkenal, yang aku minat, yang namanya tertera pada beg budak-budak tadi tu!
Nama sama kot, aku menenangkan hati aku yang sudah mula teruja membayangkan apakah mungkin tokoh itu yang ada di sini.
Setelah dijemput, dari kejauhan dan sedikit terlindung oleh pintu kaca yang memisahkan dalam dan luar dewan, aku cuba melihat siapakah tokoh yang mengambil tempat di hadapan mikrofon untuk memulakan kuliah.
Dan terlihatlah aku akan serban yang dipakainya. Memang aku kenal benar dengan stail serban itu. Dan dalam keadaan sedikit tak jelas, dapat aku cam wajah yang memakai serban itu. Memang tak salah lagi.
Aku tak sangka, aku tak pernah bermimpi bahawa aku akan berada dalam majlis ilmu yang disampaikan oleh (wait for it...) SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI!!! (laman blog ini bukannya blog rasmi beliau, tetapi dibangunkan oleh Ustaz Alexanderwathern)
Memang aku betul-betul tak sangka! Akhirnya aku dapat berada dalam satu majlis dengan tokoh agama tersohor dari Indonesia ini. Aku tak sangka bahawa beliau sekarang sedang dalam program menziarahi Malaysia. Aku tak sangka beliau pada hari ini, berada di Alor Setar, dan aku tak sangka beliau dijemput untuk mengajar di Menara Zakat. Aku berasa sangat bersyukur kerana antara banyak-banyak pagi Jumaat yang ada kalanya aku terlepas daripada menghadiri kuliah ini kerana tertidur semula lepas Subuh, Jumaat ini aku dapat menghadirkan diri ke sini.
Beliau memulakan kuliah dengan menyentuh sedikit mengenai pilihanraya umum yang baru saja berlalu. Beliau kelihatan seperti gembira, melalui cara beliau berseloroh, dengan situasi "tsunami" yang berlaku di sini.
Selain melahirkan rasa hairan dengan pengguguran seorang menteri wanita daripada senarai kabinet, beliau juga, secara spesifiknya, nampak gembira kerana Perlis kini mempunyai Menteri Besar baru. Mungkin tak ramai yang sedar atau tahu, tapi Menteri Besar yang lama itu, serta muftinya yang muda itu, telah banyak menyakitkan hati tokoh-tokoh `ulama' tertentu, melalui bukan saja kata-kata, malah sampai ke peringkat menghalang tokoh ini daripada menziarahi negeri itu.
Syeikh Nuruddin sendiri pernah difitnah oleh mereka ini. Maka tidaklah menghairankan sangat kalau beliau secara bergurau tapi sinis, berkata bahawa mantan Menteri Besar itu seharusnya mengadakan kenduri kesyukuran kerana telah dilepaskan daripada beban untuk menjadi pemimpin.
Ya, itulah tajuk sebenar yang ingin disampaikan. Mengenai pemimpin dan kepimpinan. Dikaitkan kepimpinan umat Islam pada zaman Khilafah dahulu (beliau banyak mengambil Khalifah `Umar ibn `Abdul `Aziz sebagai contoh) dan dikaitkan dengan kepimpinan negara kita.
Ternyata beliau sangat arif dengan hal-ehwal negara kita. Malah beliau tahu nama taman-taman perumahan di sekitar Alor Setar ini seperti Taman "Mahabbah" (sebenarnya Taman Muhibbah) dan Taman Uda, memandangkan beliau kerap dijemput ke masjid-masjid yang berada di sekitar situ.
Selama ini aku yang agak baru mengenali dan mengagumi beliau, hanya mendengar ceramahnya melalui video di Youtube, namun hari ini aku dapat tengok live. Bangga seh! Nada beliau yang sangat memikat hati aku mendengar ceramahnya, diselang-seli dengan jenaka, dalam pelat Jawa yang mudah difahami. Adakalanya beliau menggunakan istilah-istilah dari loghat Utara untuk menambahkan rencah ceramahnya, hehe!
Habis majlis, sekitar jam 11 pagi, aku sengaja tunggu sementara orang lain berpusu-pusu keluar. Manalah tahu, aku dapat berjabat tangan dengan beliau. Boleh juga berkat.
Tak sangka, impian aku menjadi kenyataan. Beliau keluar dan berada betul-betul berhampiran kerusi tempat aku duduk. Aku bangun dan terus menghulurkan tangan, bersalam serta mencium tangan beliau (adab antara anak murid dengan tok guru, biarpun ini kali pertama dan mungkin kali terakhir aku "berguru" dengan beliau).
Bagi aku, dapat berjabat pun dah cukup dah, tapi beliau sempat pula berbual dengan aku, sementara "berbaris" bersama dengan orang lain untuk menuruni tangga (kelas ini diadakan di tingkat satu). Beliau bertanyakan asal aku serta apakah aku belajar di (Kolej Universiti) Insaniah. Hoho, mujur aku yang tersipu-sipu menahan malu itu, tidak terpancar sangat wajah orang tengah malu tu.
Di luar, aku melihat beliau dijemput oleh sebuah keluarga di dalam kereta Naza Ria. Aku rasa cemburu melihat keluarga itu diberi penghormatan menjadi pengiring beliau.
Dengan keadaan cuba nak cover aku mencuba dan berjaya mengambil beberapa keping gambar beliau, secara sembunyi-sembunyi, untuk dijadikan bukti. Namun foto yang aku ambil menggunakan henfon aku tu sangat tak berkualiti, sebab diambil secara curi-curi, malu punya pasal, haha!
Seketika kemudian, datang seorang Muslimah, berpurdah, sambil mendukung seorang bayi, menuju ke kereta itu. Syeikh Nuruddin yang sudah berada di dalam, di bahagian penumpang hadapan, membuka pintu dan menyambut bayi itu serta memeluk dan menciumnya. Aku mengagak bahawa kalau bayi itu anak beliau, maknanya wanita berpurdah itu pasti isterinya! Heh, boleh main agak saja la.
Biarpun berpurdah, tapi boleh terlihat juga, melalui matanya yang kelihatan, bahawa wanita itu pastinya sangat cantik. Kalau benar dia itu isterinya Syeikh Nuruddin, maka, entah kenapa, aku tumpang gembira.
Dan tetiba aku jadi teringat pada novel AYAT-AYAT CINTA. Wanita berpurdah itu aku terbayangkan beliau itu seolah watak yang bernama Aisha, sementara Syeikh Nuruddin pula adalah Fahrinya. Dan seperti watak Fahri, Syeikh Nuruddin juga pernah menuntut di Al-Azhar. Malah beliau mendapat jolokan "Al-Azhar Kedua" di kalangan anak-anak muridnya kerana keilmuannya (pastinya ini lebih hebat daripada watak Fahri yang fictitious itu).
Kenderaan itu akhirnya pergi meninggalkan Menara Zakat Alor Setar, dan meninggalkan aku sendirian, mengenangkan apakah aku dapat berpeluang untuk bertemu lagi dengan beliau.
Secara jujurnya, aku lebih meminati beliau berbanding dua tokoh yang aku cerita kat atas tu. Pertama, tak macam dua individu yang terkenal di seluruh Malaysia, beliau ini hanya orang tertentu saja yang kenal, membuatkan meminati beliau ini sesuatu yang lebih eksklusif, haha!
Kedua, beliau ini tidak mengasosiasikan diri dengan mana-mana parti politik. Biarpun jelas pihak mana yang beliau sokong, namun ketidak terikatan beliau dengan parti politik memberikan kebebasan kepada beliau untuk berdakwah kepada sesiapa saja yang sudi. Beliau yang pernah ditawarkan jawatan dalam partai politik apa entah di sana, berkata bahawa kalau beliau memakai "baju" (parti politik) tertentu, pastinya akan pihak tertentu yang memakai "baju" yang berlainan yang akan memandang sinis akan beliau dan tidak akan sekali-kali mendengar apa saja yang beliau katakan.
Aku setuju. Bagi yang nak melibatkan diri dan berjuang dalam politik, maka itu hak dia, tapi bagi mereka yang memiliki ilmu, maka aku rasa adalah lebih afdhal kalau mereka mengelakkan diri daripada terikat atau mengasosiasikan diri mereka dengan mana-mana "parti", supaya ruang lingkup dakwah mereka lebih meluas, tanpa ada pihak berasa "tersisih", "disisihkan" atau sengaja "menyisihkan" diri daripada golongan pendakwah sebegini kerana berbeza fahaman politik.
Apahal pun, aku mendoakan agar Syeikh Nuruddin terus istiqamah dalam usaha beliau berdakwah, menegakkan syiar Islam, mempertahankan aqidah Ahlul-Sunnah Wal-Jama`ah daripada diserang anasir-anasir luar. Aku juga berharap bahawa suatu hari nanti aku boleh bertemu lagi dengan beliau...
Tentang Makanan yang Disediakan oleh Bukan Ahli Syahadah
-
Pertanyaan : Assalamualaikum. Nak minta sedikit pencerahan atau pendapat
tentang makanan dan minuman yang disediakan oleh orang bukan Islam dari
sudut...
6 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen ja. Tak kisah punya...