Isnin, 14 September 2015

Pokémon GO, game Pokémon untuk orang dewasa?

(Sejarah) 19 tahun yang lalu (tahun 1996), game Pokémon mula bertapak di Jepun dan kemudiannya di Amerika Syarikat dan menjadi fenomena di seluruh dunia. Sungguhpun muncul kemudian daripada Digimon, tapi Pokémon lebih mendapat perhatian. Kedua-duanya merupakan francais yang berbeza, cuma sama pada nama "Mon" di belakangnya, dibuat di Jepun dan berkonsepkan memelihara "raksasa" atau "makhluk" khayalan yang digunakan untuk bertarung. Tapi itu kita cerita lain kalilah.

Aku sendiri hanya kenal Pokémon pada sekitar tahun 1998/1999, melalui buah mulut orang mengenai ianya ialah agenda Yahudi serta "Pokemon (atau sebetulnya mereka merujuk kepada salah seekor spesis Pokémon yang ada iaitu Pikachu) ialah babi". Zaman itu penggunaan Internet kurang meluas, terhad kepada e-mel dan melayari laman sesawang biasa (tiada laman media sosial). Aku diperkenalkan kepada game Pokémon Yellow oleh kawan aku yang memberikan aku meminjam CD yang berisi ROM dan emulator untuk game ini yang sepatutnya dimainkan pada konsol mudah alih Game Boy (zaman itu tak ada PSP atau iPhone atau Android atau Tablet atau iPad). Setelah bermainnya, aku sedar bahawa memang terdapat Pokémon yang berasaskan babi, tapi bukan Pikachu Pokémonnya itu.

Zaman itu, nak menzahirkan bahawa aku peminat Pokémon adalah sesuatu yang "memalukan".
Almaklumlah, aku dah sekolah menengah, di negeri Kedah (lain la kalau di KL, lebih open-minded kot, agaknyalah) pulak tu. Tak cool sangat meminati benda macam ini, macam budak-budak, kata orang lain. Aku pun tak ada akses dan tak mampu untuk bermain Pokémon Trading Card Game, permainan orang kaya-kaya yang tinggal di KL (agaknyalah), tapi pernah la beli dua-tiga booster pack yang mengandungi kad-kad Pokémon ini di kedai STR di Star Parade, Alor Setar.

Namun, ternyata francais Pokémon ini masih bertahan, masih mengeluarkan game-game terkini di konsol portable keluaran Nintendo, dan siri animenya masih menampilkan heronya berusia belasan tahun, sungguhpun sepatutnya dia itu sebaya dengan aku pada awal kemunculannya, masih tak tua-tua.

Dan yang paling terkini, mungkin sempena ulang tahun ke-20 francais ini pada tahun 2016 (dah tua rupa-rupanya aku ni), akan keluar pula game Pokémon terbaharu dengan konsep yang sama tapi sedikit berbeza, iaitu Pokémon GO. Sama dari segi masih kena "catch 'em all", tapi berbeza sebab ianya dimainkan pada peranti Android dan iOS. Dan ianya melibatkan "dunia sebenar" dan teknologi "augmented reality" di mana kita kononnya akan menangkap dan bertarung dengan Pokémon di dunia realiti.

Memang sejak kemunculan telefon pintar, ramai peminat-peminat Pokémon yang dah "dewasa" yang inginkan Nintendo mengeluarkan game untuk platform ini tapi kecewa sebab "dasar tertutup" Nintendo hanya mengeluarkan game untuk platform Nintendo sahaja. Tapi era sekarang ini, konsol utama Nintendo pun kurang menyengat berbanding platform gaming yang lain, mungkin antara sebab mereka sekarang dah berubah fikiran.

Ya, kalau ditonton pada teaser trailer Pokémon GO ini, nampak sangat ianya meraikan peminat dewasa (ada seorang saja watak kanak-kanak dalam iklan ini, itupun dia menemani ayahnya menangkap Pokémon, hahah!), dan kelihatan pada watak-watak Pokémon yang ada dalam iklan ni cuma daripada generasi pertama dahulu (zaman aku la tu). Paling menarik, kita mungkin boleh menangkap Pokémon itu hanya di belakang rumah kita, dalam pasar raya, sekolah, bilik darjah, tandas, wah, menarik! Lepas ini kita bolehlah berasa cool dan tidak malu-malu lagi menjadi Pokémon Trainer.

Dibangunkan oleh Niantics Labs yang membangunkan game Ingress (aku pun baru saja download game ini, baru nak rasa macam mana gameplaynya), Pokémon GO akan menggunakan lokasi sebenar iaitu lokasi pemain berdasarkan GPS pada peranti pemain untuk mengesan kedudukan kita seterusnya membolehkan kita "menangkap" Pokémon yang berada pada lokasi sekeliling kita. Kita kenalah banyak bergerak atau berjalan ke lokasi tertentu untuk menangkap Pokémon (tak adalah nanti kita duduk statik saja waktu main game). Aspek sosial yang merupakan intipati game Pokémon dari dulu pun rasanya akan lebih dikembangkan. Terdapat aksesori tambahan yang akan dijual untuk meningkatkan keseronokan bermain (konon-kononnya bertindak sebagai Poké Ball untuk menangkap Pokémon), tapi ianya cuma aksesori tambahan sahaja, tak diperlukan oleh orang yang kedekut dan nak main free. Oh, aku rasa game ini akan menggunakan format free-to-play dengan in-app purchases seperti kebanyakan game sosial media zaman ini.

Apapun, sementara menantikan keluarnya game ini pada tahun 2016, terpaksalah aku melayan dulu game Ingress atau mencari dan memuat turun ROM-ROM game Pokémon yang lama-lama untuk dimainkan menerusi emulator pada komputer aku. Sementara itu, layankan trailer di bawah ini:




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang