Ahad, 15 Jun 2008

Anwar Ibrahim kalah dengan Otai Game!

[Dikemaskini pada 10:50 pagi, 16 Jun 2008]

Nama Anwar Ibrahim memberikan reaksi yang berbeza-beza kepada individu-individu yang berbeza-beza. Biasanya ianya bergantung kepada pendirian atau fahaman politik bagi individu tersebut.

Bagi peminat/pengkagum, malah penyokong setia beliau, nama beliau disertakan dengan suatu perasaan yang menyanjung dan segunung harapan kepada beliau. Bagi yang neutral, nama beliau turut juga ditunggu, rasa ingin tahu apa pula yang beliau akan lakukan. Bagi yang tak suka kepada beliau, sebut saja namanya, akan timbul perasaan marah dan pada masa yang sama, ada juga yang gerun dengan namanya itu.

Maka, kita boleh kata beliau ini manusia yang paling berpengaruh di Malaysia. Di negara seberang kita juga, beliau dikagumi. Malah ada kenalan aku di situ yang "irihati" mengenangkan beliau ni rakyat negara kita, hah! Dunia juga kenal beliau. Media pun rajin juga menyebut namanya.

Namun berpengaruhkah beliau di seluruh dunia? Ya, memang beliau antara 100 individu yang disenaraikan oleh majalah TIME sebagai antara yang paling berpengaruh di dunia. Rakyat Malaysia yang pertama dan satu-satunya tersenarai pulak tu! Namun, apakah beliau nombor satu? Kalaupun tidak, agak-agak beliau berada di tangga yang ke berapa?

Ahha, dengan menggunakan undian daripada orang ramai (bukan AFUNDI atau sebarang undian SMS yang lain!), ternyata beliau tidak mendapat tempat pertama! Sepuluh yang pertama pun bukan, dua puluh, malah lima puluh yang pertama pun bukan juga! Menurut senarai di laman sesawang majalah TIME, beliau cuma mampu menduduki tangga yang ke-93 (sembilan puluh tiga) dalam seratus yang teratas. Heh, hairan, pertama kali aku tengok senarai 'Top 100' yang menampilkan sampai 207 nama, lebih 107 daripada yang sepatutnya!

Maka, siapa pula yang mengungguli "carta" itu?

Orang itu ialah SHIGERU MIYAMOTO! Dengan tema 'Top 100', atau lebih tepat lagi TIME 100 untuk tahun 2008 iaitu "Individu yang paling Berpengaruh di Dunia (World's Most Influential People)", beliau telah dinobatkan sebagai individu yang paling berpengaruh di dunia. Boleh baca profil ringkas beliau selaku finalis 2008 yang disediakan oleh laman sesawang TIME di sini.

Beliau juga turut tersenarai dalam TIME 100 tahun 2007, dengan tajuk tema yang sedikit berbeza iaitu "Individu yang Membentuk Dunia (The People Who Shape Our World)". Pada ketika itu, penyanyi Korea, ("nama saya") Rain mengungguli carta pada tahun itu (sementara pada tahun 2008 pula, dia dapat tempat ketiga). Shigeru Miyamoto cuma menduduki tempat kesembilan. Profil ringkas beliau selaku finalis tahun 2007 boleh dilihat di sini, dan artikel khas mengenai beliau kerana pertama kali disenaraikan pada tahun itu, boleh dibaca di sini.

Ahaks, pada saat dan ketika ini, anda pasti sudah menyedari entri ini bukannya untuk aku menceritakan perihal Anwar Ibrahim!

Amboi, sembang punya sembang, terlupa pula nak bagitahu siapa dia Shigeru Miyamoto ni, heh! Ya, yang pasti, beliau ni BUKAN ahli politik. Aku tak pastilah apa yang aku rasa ni betul atau tak, tapi aku nampak kecenderungan orang kita ni untuk mengagungkan ahli politik, terutamanya ahli politik yang lantang mengkritik kerajaan, sekaligus meletakkan tokoh-tokoh sebegini sebagai mereka yang paling banyak mempengaruhi kita. Sampai tenggelam habis tokoh-tokoh dalam bidang-bidang lain, yang adakalanya lebih banyak menyumbang kepada rakyat jelata, daripada tokoh-tokoh politik yang hanya menyumbangkan "air liur" mereka sahaja, haha!

Tapi, mungkin juga disebabkan situasi politik di negara kita yang menyebabkan minda kita terasuh dan "terbasuh" untuk mempunyai kecenderungan sebegitu. Kalau bukan ahli politik, maka artis pula yang mempunyai pengaruh di negara kita.

Berbeza pula dengan pandangan manusia-manusia lain di dunia ini (kalau benarlah majalah TIME menerima undian daripada sesiapa saja di seluruh dunia), tokoh-tokoh yang berpengaruh yang tersenarai itu mempunyai kepelbagaian. Ada hiburan, ada ilmuan (heheh, aci tanya orang kita, siapa tokoh ilmuan di Malaysia yang kita minati? Mesti akan jawab nama-nama ilmuan atau ulama yang turut menceburi bidang politik. Yep, AHLI POLITIK lagi!) dan pastinya ada juga ahli politik. Tapi lebih bervariasi la. Menariknya, dalam senarai TIME 100 untuk tahun 2008, BEKAS ahli politik yang tersenarai di tempat teratas (iaitu kesembilan) ialah Al Gore, dan beliau kini seorang pejuang alam sekitar (yah, alam sekitar, sesuatu yang JARANG diperjuangkan oleh ahli politik kita untuk dijadikan kempen...).

Maka, siapa dia yang mengungguli carta pada tahun ini, tanya aku sekali lagi. Beliau bukan ahli politik, dan bukan juga artis. Beliau ialah seorang "perekabentuk permainan video" (video game designer). Yeah, bidang beliau ialah "permainan video" (video games) Bagi kaki gamers atau kaki games macam aku (belum sampai status gamer lagi...), nama beliau memang tidak asing lagi, dan cukup sinonim dengan Nintendo, syarikat permainan video gergasi dari Jepun. Heh, bagi sesiapa yang perasan sebagai gamer tapi tak kenal Shigeru Miyamoto, maka silalah gugurkan gelaran itu daripada diri anda, haha! Malulah sikit beb!


Shigeru Miyamoto

Menurut En.Wikipedia.org, Shigeru Miyamoto ni adakalanya digelar "Bapa Permainan Video (Era) Moden" (terjemahan kasar bagi "father of modern video gaming"). Nama beliau sangat sinonim dengan nama syarikat Nintendo. Kalau sebut "Nintendo", mesti terbayang namanya. Beliau sangat terkenal dengan rekabentuk games yang mudah, nak kawal pun senang, jalan cerita yang mudah tapi menarik, sangat kreatif lagi imaginatif. Dan, yang paling penting, kesemua permainan video karya beliau adalah dari jenis mesra keluarga (family friendly).

Ada banyak permainan-permainan video yang dicipta dan direka oleh Miyamoto-san ini, dan kesemuanya adalah untuk konsol-konsol permainan keluaran Nintendo (semestinyalah!) seperti Famicom, Super Famicom, Game Boy, Nintendo 64, Nintendo Gamecube, dan yang terkini, Wii dan Nintendo DS.

Antara siri-siri permainan video yang sangat sinonim dengan beliau ialah siri DONKEY KONG, LEGEND OF ZELDA, dan yang paling dikenali dan diminati ramai iaitu siri SUPER MARIO BROS. yang menampilkan watak Mario, maskot rasmi Nintendo.


Mario, tukang paip yang boleh melompat tinggi dan mengeluarkan bebola api dari tangannya!

Ada sedikit kisah lucu pasal penciptaan watak Mario ni. Ketika muncul buat pertama kali dalam siri permainan DONKEY KONG (watak itu dikenali sebagai "Jumpman" pada ketika itu, sebab dalam game itu watak Mario perlu banyak "melompat" untuk mengelak daripada perangkap, dan merupakan salah satu kelebihan watak Mario iaitu dapat melompat dengan tinggi), kekuatan perkakasan yang terhad untuk merekabentuk dan menganimasikan watak Mario ini menyebabkan penampilan fizikal watak itu kelihatan seperti seorang lelaki pendek yang bermisai, memakai topi serta baju kemeja merah serta seluar jean biru. Dan akhirnya bentuk sedemikian yang kekal sehingga hari ini!


Donkey Kong: "Aku bukan keldai! Aku GORILLA! GARRR!!!"

Di samping Mario (dan adiknya Luigi serta "kerabat-kerabat" mereka dari siri game Mario), turut dikenali (dan terkenal) sebagai hasil ciptaan Shigeru Miyamoto ialah watak Donkey Kong (gorilla yang bernama "keldai"!) dan pasangan Link dan Zelda.


Link ... (arr, aku tak dapat fikirkan caption yang sesuai untuk watak ini!)

Satu lagi siri game ciptaan Shigeru Miyamoto yang sangat terkenal ialah PIKMIN untuk konsol Nintendo Gamecube, tapi aku tak tahulah apa istimewanya game ini. Tak pernah main sebab tak ada duit nak beli Gamecube (berapa kerat orang Malaysia yang beli konsol ini ha? Berbanding dengan yang entah berapa juta ramainya yang reti beli Playstation jer!).


Biar benar? Mario vs. Sonic the Hedgehog?

Bagaimana berpengaruhnya Shigeru Miyamoto ini? Wah, sekiranya anda tak main game, mungkin anda tak tahu betapa berpengaruhnya beliau ini! Tapi, yang aku pasti, pencipta siri game POKÉMON iaitu Satoshi Tajiri sangat mengagumi beliau, dan sebagai tanda penghormatan terhadap pengaruh Shigeru ke atasnya, menamakan watak yang menjadi rival kepada hero siri POKÉMON itu sebagai "Shigeru" (nama versi Jepun bagi watak Gary Oak), sementara nama hero itu sendiri pula ialah "Satoshi" (nama versi Jepun bagi watak Ash Ketchum)


Wah, dari game SUPER SMASH BROS. BRAWL rupanya! Eh, ini dengan Solid Snake (siri METAL GEAR) pun dia lawan jugak?

Selain itu, ada dua perkara yang (menurut En.Wikipedia jugak, namun ianya tak dipastikan kesahihannya) membuatkan aku kagum dengan dia, iaitu "kezuhudan" beliau. Sungguhpun bertanggungjawab dengan kejayaan francais-francais game yang jutaan dolar, beliau bertegas mahu pendapatan (gaji) yang biasa-biasa saja (tak mewah, hmm... tak macam orang politik kita!). Beliau juga dikatakan lebih suka berbasikal ke tempat kerjanya. Hei, ini sangat releven dengan kita, memandangkan harga minyak kita kan sudah melambung tinggi naiknya! Apahal pun, kalau ini benar, ini merupakan antara beberapa contoh daripada "dasar pandang ke Timur" yang HARUS kita contohi!


Mario dan Sonic lagi! Dalam "Sukan Olimpik 2008 di Beijing" la pulak!

Bagi aku pulak, "pengaruh" beliau terhadap aku ialah, beliau, atau lebih tepat lagi, permainan-permainan video beliau (sebab pada zaman itu aku tak kenal atau tak peduli lagi tokoh di sebalik pembikinan sesebuah video games) yang telah memperkenalkan aku ke dunia permainan video dan komputer ini. Konsol permainan pertama yang aku beli ialah Famicom, yang merupakan antara benda yang menjadi kegilaan pada tahun 90an dulu (zaman aku sekolah rendah). Siapa sezaman dengan aku pasti ingat!

Di sekolah, selalu jugak kita curi-curi bawak "tape game" masing-masing untuk ditukar-tukar. Biarpun pada zaman tu jugak dah muncul konsol-konsol permainan yang baru dan lebih canggih (Super Famicom lah, Sega Mega Drive lah), namun "tape game" sebegini masih menjadi "pojaan hati" kita! Almaklumlah, Famicom ni masih boleh dinikmati oleh golongan berpendapatan sederhana (yang biasanya majoriti), sementara konsol yang terkemudian yang canggih sikit dari segi grafiknya itu, hanya layak untuk golongan kaya saja. Dan berkekalan sehinggalah munculnya Sony Playstation yang mengambil alih peranan itu pada tahun-tahun berikutnya (ketika aku dah bersekolah menengah.

Akhir kata, bagi sesiapa yang rasa macam nak tahu lebih pasal watak SUPER MARIO ni, silakan ke laman sesawang "The Mushroom Kingdom". Dan sebagai penutup, aku tinggalkan entri ini dengan video himpunan trailer bagi salah satu game terkini yang diterbitkan oleh Shigeru Miyamoto: SUPER SMASH BROS. BRAWL.



Oh ya, untuk "versi kemaskini" ini, aku letak pula video yang memaparkan watak Sonic Hedgehog (sejarah watak game ini boleh dibaca di sini dalam game SUPER SMASH BROS. BRAWL. Layankan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang