Rabu, 25 Jun 2008

Poster filem Dragonball!

KAME HAME HA!!!

Ini antara jeritan yang sangat popular pada sekitar 90an dulu apabila komiknya buat pertama kalinya diterjemahkan ke versi Bahasa Malaysia, dikenali dengan tajuk MUTIARA NAGA (bukan "MUTIARA HAAATIIII... wowowowooo..." tu ya!). Kontroversi pun ada, yang aku ingat ialah pada babak yang melibatkan seluar dalam wanita tu... eww! Oh, perlu ditegaskan, aku ni bukannya penggemar siri komik tu sangat ya? Aku tahu pasal kontroversi tu pun menerusi akhbar dan majalah ilmiah (cewah!), bukannya menerusi komik itu sendiri!

Lepas itu, pada awal 2000an pula, muncullah secara RASMInya siri animasinya (alihsuara Bahasa Melayu semestinya) di kaca TV kita (RTM2/TV2 pada setiap hari Sabtu dan Ahad jam 9:30 pagi, dibawakan khas oleh APOLLO!). Pun begitu juga, aku tak layan sangat jugak pun, hanya tertonton seketika apabila aku sedang menunggukan siaran siri DIGIMON ADVENTURE yang lebih aku gemari (jam 10 pagi setiap hari Ahad). Tapi aku terperasan la, nama watak utama tu disebut dengan nama yang tak betul (Suzikon?) dan nama kuasa aura pemusnah pun tak betul jugak (Kue Pau Heng Kong? Kuih PAU?), mungkin gara-gara pengalihbahasa ini malas nak belajar Bahasa Jepun, maka diambil jalan mudah dengan menterjemahkan daripada versi Bahasa Cina (agaknya la).

Ya, itulah dia, siri francais (manga dan juga anime) terkenal, yang boleh dikatakan telah meletakkan animasi Jepun di mata dunia pada era itu, dan digilai oleh peminatnya di merata dunia (dunia Barat dan kita pun dijangkitinya), iaitu siri DRAGON BALL.

Tapi, aku bukanlah nak cakap pasal siri komik atau animasinya (termasuk filem animasi) beserta siri permainan videonya yang berlambak tu. Aku nak tunjukkan poster filem... filem versi live-action yang RASMI punya beb! Aku kata "rasmi" sebab sebelum ini dah banyak kali dah cerita ini diangkat secara "haram" ke layar perak (curi idea dan nama serta jalan cerita, tapi langsung tak ada kebenaran dari pihak yang memegang hak cipta iaitu penciptanya, Akira Toriyama).

Mau tengok bagaimana rupa posternya, sekaligus rupa pelakon-pelakon yang membintangi filem ini? Jeng jeng jeng...

Ya, inilah dia posternya!

Poster Dragonball

Aku terbaca pasal berita mengenai poster ini daripada laman sesawang Superhero Hype! (turut memaparkan berita mengenai poster filem G.I. JOE), yang seterusnya memaut pula ke sini (tempat asal di mana aku "cilok" gambar poster ini, heheh!). Yep, memang senget sikit poster ni, maklumlah, orang itu ambil sendiri foto tu.

Filem ini dinamakan sebagai DRAGONBALL. Yeah, kedua-dua perkataan itu digabungkan, tak dipisahkan sepertimana kebiasaan. Wokeh, mari kita tentukan watak-watak yang ada di poster tu dan siapa pelakonnya, wokeh?

Watak yang paling di hadapan itu (sedang memegang sebiji Dragon Ball tu) tak lain tak bukan ialah hero bagi siri ini iaitu Goku (profil), dilakonkan oleh Justin Chatwin. Watak hero anime yang paling terkenal dan boleh dikatakan paling kuat. Peminat fanatiknya ada yang sampai, bukan saja membandingkan watak ini dengan Superman, malah siap buat perbincangan "serius" mengenai siapa yang boleh menang andainya kedua-dua watak ini bertarung!

Ahem, berbalik kepada filem ini, memandangkan ianya adalah diadaptasi daripada kisah ketika Goku masih budak ketika baru bermula nak mencari Dragon Ball tu, maka aku rasa untuk versi filem ini, wataknya "dituakan" sikit supaya berumur remaja, tapi tetap masih belum dewasa.

Melihat kepada fesyen rambut versi yang nampak "real" ini (mesti la tak boleh nak ikut sebijik macam dalam komik/kartun tu kan?), kelihatannya si Goku ini lebih mirip kepada watak "hero" yang lain. Siapa ya? Hmm...

Oh ya, macam Super Inggo (yang tengah ditayangkan di TV9 setiap Jumaat jam 7 malam tu) rupanya, wakakaka!

Sementara itu, awek yang berada betul-betul di belakang Goku (kanan Goku, iaitu di sebelah kiri poster) dalam poster tu ialah Chichi (profil). Dalam filem ini, dia dilakonkan oleh Jamie Chung. Sepertimana dalam komiknya, dia akan berperanan sebagai "awek" Goku juga dalam filem ini.

Di sebelah kiri Goku pula, kelihatan Chow Yun-Fat kan? Ahha, beliau ni la yang memegang watak Master Roshi (profil), "tok guru" bagi Goku, yang, kalau dalam komik, dialah yang mengajarkan teknik "Kamehameha" tu pada Goku.

Heheh, aku tak tau apa yang kalian fikirkan, tapi aku rasa Chow Yun-Fat ni terlampau "handsome" nak berlakon jadi watak Master Roshi yang tua dan miang-miang keladi tu. Tak sesuai gitu! Tapi ini merupakan suatu "upgrade" bagi penampilan wajah watak itu, kira okay la tu.

Awek yang berada betul-betul di atas kepala Goku tu, yang pakai baju ungu dan pegang pistol tu, ialah watak Bulma (profil) lakonan Emmy Rossum. Dia inilah watak yang bersama-sama mengembara dengan Goku untuk mencari Dragon Ball.

Oh yeah, kelihatannya dialah watak yang paling "cun" sekali dalam versi filem ini. Walau bagaimanapun, seperti watak lain dalam filem ini, dia jugak kelihatan sedikit berbeza daripada versi komiknya. Paling ketara, warna rambutnya tak biru seperti dalam komik. Tapi tak mengapa, janji dia cun, ngeheheh!

Sementara itu, gambar wanita berbaju merah, yang paling belakang itu, ialah watak yang bernama Mai lakonan Eriko Tamura (pernah berlakon dalam siri HEROES). Maaf, tak ada gambar versi animasi untuk ditunjukkan. Aku pun sebetulnya tak perasan pun kewujudan watak ni, sebab peranan dia dalam komik tu kecik sangat dan aku pun bukannya layan sangat komik dan animasi dia.

Tapi sebetulnya watak Mai ni sepatutnya ialah konco bagi watak Raja Pilaf. Tapi dalam versi komik ni, peranan dia bertukar kepada konco kepada watak Piccolo.

Yep, musuh utama bagi Goku untuk filem ini ialah Piccolo, atau lebih tepat lagi dalam komik dikenali sebagai Piccolo Daimao (Raja Piccolo). Dalam komik, ada dua watak Piccolo, dan yang jadi musuh Goku adalah watak yang versi "tua" dan "jahat". Dan satu lagi versi ialah "anaknya", yang dilahirkan (ditetaskan?) semula daripada "telur" (selepas kematian si "ayah" tu) sebagai satu lagi watak yang dikenali sebagai Piccolo (profil). Piccolo yang kedua ini pula merupakan kawan baik Goku.

Dalam versi filem ini, boleh dikatakan yang muncul ialah watak yang versi "ayah" yang "jahat" itu la. Tak pastilah bagaimana kesudahan watak ini nanti, apakah akan mati hidup semula atau dia bertukar jadi insaf ka apa ka, hohoh! Watak Piccolo dalam filem ini dilakonkan oleh James Marsters, yang sebelum ini dikenali sebagai watak Spike dalam BUFFY: THE VAMPIRE SLAYER dan yang terkini sebagai Profesor Milton Fine/BrainIAC dalam SMALLVILLE (yang lawaknya, sebelum ini, aktor Tom Welling yang berlakon sebagai Clark Kent dalam siri tu pernah dikhabar-anginkan sebagai bakal memegang watak Goku!).

Oh, hampir terlupa pula nak bagitahu, pada poster di atas tu, kita boleh lihat sedikit saja imbasan wajah Piccolo. Di bahagian paling atas, berlatar belakangkan warna biru itu, kalau anda perhati betul-betul, anda akan nampak sepasang mata, milik Piccolo! Haha, setakat ini, hanya itu saja yang "wajah" Piccolo yang didedahkan kepada umum.

Biarpun aku tak berapa minat dengan siri DRAGON BALL ini, pembikinan filem ini sedikit sebanyak berjaya menarik kembali minat aku. Tapi, aku agak skeptik dengan filem ini. Dalam banyak-banyak komik, atas faktor-faktor tertentu, aku rasa inilah dia tajuk yang paling SUSAH untuk diadaptasikan ke filem dengan baik. Memang ada rasa "teruja" bila dapat tau ada yang sanggup buat filem ni, dan rasa "ingin tahu" pun meluap juga nak tengok bagaimana produk akhirnya. Tapi bila aku dapat tau bahawa produsernya ialah Stephen Chow (Stephen Chow beb! Yang buat filem SHAOLIN SOCCER, KUNG FU HUSTLE dan CJ7 tu!), aku jadi teruja campur risau.

Teruja sebab filem-filem dia memang gila-gila punya best. Risau sebab filemnya semua bercorak komedi, jadi aku khuatir corak apa yang dia nak pakai untuk DRAGONBALL ni. Apakah nak komedi tak serius atau komedi tapi serius atau serius tapi komedi?

Dan kerisauan aku bertambah mengenangkan banyak juga filem Hollywood yang diangkat daripada karya yang berasal dari Jepun yang jadi hampeh atau tak dapat diterima oleh peminat aslinya, antaranya seperti FIST OF THE NORTH STAR, STREET FIGHTER, GODZILLA (sehinggakan filem versi Jepun yang terkemudiannya menamakan "Godzilla" versi Amerika ini sebagai Zilla sebab ianya langsung tak mempunyai ciri-ciri yang ada pada Godzilla yang asal) dan yang terkini SPEED RACER, maka aku rasa filem ini MUNGKIN akan menerima nasib yang sama jugak.

Tapi tak kisah la kan? Aku rasa kita patut "layan" saja trend filem Hollywood sekarang yang sedang menggila membikin semula filem dengan mengadaptasi siri-siri animasi 80an/90an (boleh dikatakan termasuklah DRAGON BALL) sejak kejayaan luar biasa filem TRANSFORMERS. Malah sekarang ni mereka pun dengan beraninya sedang membikin filem G.I. JOE pula (macam yang aku dah ceritakan sikit di atas tadi).

Sebelum terlupa, ingin aku bagitahu sikit info pasal filem DRAGONBALL ni. Dikatakan ianya akan dibuat secara trilogi (biasa la nih), dan ianya akan diberi sedikit unsur "realisme", di mana tak akan ada watak-watak yang berbentuk binatang dalam filem ini. Walau bagaimanapun, jangan risau, Piccolo tetap akan berwarna hijau dalam filem ni! Kecanggihan kesan efek filem ini pastinya akan ditunggu dan dinilai oleh semua peminat, memandangkan siri komik dan animasinya tu penuh dengan efek khas aura dan kuasa pemusnah masing-masing.

Cuma, tak dapat dipastikan apakah Goku akan ada serangan "Kamehameha"nya dalam filem ini. Dan yang paling utama persoalannya ialah, apakah Goku dan watak-watak lain dalam filem ini akan menjeritkan nama serangan mereka ketika bertarung? Hehehe, benda ni mungkin nampak biasa dalam siri animasi Jepun atau dalam Bahasa Jepun itu sendiri, tapi ianya tersangatlah janggal kalau kita nak bayangkan jeritan-jeritan sedemikian dalam filem berbahasa Inggeris, secara live-action pulak tu!

Apahal pun, sama-samalah kita nantikan apabila filem DRAGONBALL ini siap sepenuhnya dan ditayangkan pada 10 April 2009 nanti (lambat lagi tu!), setelah tiga kali bertukar tarikh. Tarikh tayangan yang pertama yang mereka rancang ialah pada 15 Ogos 2008, iaitu TAK SAMPAI DUA BULAN LAGI DARI SEKARANG! Apa punya gila depa ni. Mula penggambaran pada 3 Disember 2007, lepas itu ada hati nak tayang dalam masa tak sampai setahun daripada tarikh pembikinan dia. Sempat ka? Aku yang tak pernah buat filem ni pun dah nampak betapa tak realistiknya cita-cita depa tu, dan akhirnya terbukti bahawa mereka menunda sehingga ke tahun depan!

8 ulasan:

  1. Menantikan Naruto filem betul :)

    BalasPadam
  2. Alahai, mesti Tuan dhuat masuk dan komen tatkala saya sedang membetulkan paparan gambar dalam entri ni. Sekarang dah betul dah, maka segala kesulitan yang amat dikesali ini, harap dimaafi, hehe...

    ...

    NARUTO filem betul? Haa.. itu saya rasa kena tunggu lagi 15-20 tahun baru boleh tercapai, sesuai la dengan tempoh yang ditempuhi oleh "sifu" bagi pelukis Naruto itu, iaitu pelukis DRAGON BALL. Takkan nak lawan sifu lak kan? Hehe..

    Kot mana pun, atas beberapa alasan, saya rasa agak mustahil nak memfilem-betulkan Naruto:

    1) Mana nak cari budak Jepun yang bermata biru dan berambut kuning secara semula jadi?

    2) Naruto ni mengkhusus ceritanya kepada budaya dan orang Jepun (tak macam DRAGON BALL di mana kisahnya bercampur aduk unsur fantasi dan sains fiksyen, dengan aliennya, mitosnya), jadi sangat payah la nak diHollywoodkan. Nak dibuat filem Jepun mungkin boleh, tapi kita dah ada mentaliti di mana filem Hollywood, secara default, adalah lebih hebat. Nak dibuat cara hebat, mesti kena buat di Hollywood, barulah lebih gempak! Okaylah, hujah nombor 2 ini sangat lemah, silakan membangkangnya, heheh...

    3) Mana nak cari pelakon kanak² Jepun yang fasih berbahasa Inggeris (kalau nak dibuat filem Hollywood la).

    4) Buat filem pakai kanak² ni agak susah sebenarnya. Apatah lagi kalau nak dibuat francais trilogi. Sebab mereka membesar dengan pesat, tahun ini mereka besar sebegini, tahun depan dah berubah benar fizikalnya. Cuba tengok pelakon² HARRY POTTER sebagai contoh, heheh! Tak terkejar filem² tu dengan umur pelakon²nya!

    5) Ada ka orang berminat nak tengok filem yang wiranya kanak²? Haha, okaylah, ini saja saya tembak saja. Ada kot, kan?

    6) Merujuk kepada kenyataan nombor 4, saya nampak lebih afdhal menggunakan pelakon dewasa sebagai teraju utama. Macam yang dibuat untuk filem DRAGONBALL ni, di mana umur Goku dinaikkan kepada usia remaja biarpun "saga" yang diadaptasikan itu, sepatutnya Goku masih lagi kanak² kalau di dalam komiknya. Tapi, apakah mungkin peminat menerima filem yang menampilkan Naruto yang di"dewasa"kan umurnya? Kalau terima, okay la kot. Kan ada kisah Naruto dah remaja kan? Ambil terus dari situ la kan?

    7) Saya sudah tiada alasan. Jauh di sudut hati, saya nampak Naruto pun boleh difilem-betulkan jugak. Macam mana depa nak buat tu, terserah pada kebijaksanaan sang pengarah la, kan? Tapi saya juga teringin nak melihat siri kartun saya yang lain pun difilem-betulkan juga. Tapi tak mengapa, tak semua benda yang kita nak, kita boleh capai, kekeke!

    Kesimpulannya, biarpun saya tak minat Naruto, tapi saya akan berminat nak mengikuti perkembangan dan seterusnya menontonnya, SEANDAINYA memang akan ada filem-betulnya nanti.

    Sekian, terima kasih. :D

    BalasPadam
  3. Ok ok kita nantikan macross :) katanya si pelakon spiderman akan menjadi 'Hikaru' aka Rick

    BalasPadam
  4. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  5. Assalamu'alaikum...

    Alamak, nampaknya dalam siri animasi, kita bercanggah pendapat. Saya pernah suka manga dan anime Dragon Ball. Dan ada satu tambahan atau mungkin pembetulan tentang siri anime Dragon Ball ini.

    Mula ditayang di Malaysia melalui saluran Metrovision. Saluran Metrovision ni, hanya berlegar di sekitar Selangor saja. Tetapi, tersesat juga ke Slim River tempat saya menuntut ilmu kecivilengeneeran di sebuah Sekolah di sana. Sekolah Menengah Teknik Slim River namanya. Waktu itu ialah pada tahun 1998/1999. Setiap petang Jumaat, maka ramailah para belia remaja yang memenuhi bilik TV. Saya pada mulanya tidak terpengaruh dengan TV di sekolah, sehinggalah ke tingkatan 5, barulah saya mula terpengaruh. Maka, setiap kali jam menunjukkan 5 petang, saya pun menjadi sebahagian dari bilik TV sekolah. Ah!! nampaknya saya terreview kisah sekolah pula.

    Saya hanya meminati siri Dragon Ball yang asal. Bila dah sampai ke tahap GT dan ntah apa lagi karut, maka tidaklah saya ambil peduli lagi tentangnya. Namun demikian, versi asal, kalau dimainkan di TV mungkin saya akan mengulangtontonnya juga.

    Kebanyakan manga yang dianimekan, saya lebih meminati versi manga. Ini kerana jalan ceritanya lebih tulen dan kuat. Kebanyakan versi anime terdapat tokok tambah yang menjadikan jalan ceritanya lemah.

    Sebagai contoh, naruto. Anime dalam siri-siri selepas pemergian sasuke (dalam versi manga terus lompat naruto dah besar panjang selepas berguru dengan Jiraiya dalam verci anime pula ditokok tambah dengan junk stories) Penuh dengan cerita yang melemahkan keseluruhan jalan cerita. Ada satu episod, Sakura boleh angkat kayu yang berat sambil tertulis di bahagian bawah, Sakura telah berguru dengan Tsunade, sedangkan tsunade tidak pernah mengajar sakura ilmu tahap tinggi (ilmu kuat??) sebelum menguji Sakura yang mana kisah ini berlahu lebih kemudian dari kisah dia angkat kayu berat itu tadi.

    Contoh lain, ialah anime Full Metal Alchemist. Yang ini, memang saya boo pada versi animenya. Menghabiskan 20 jam dari hidup saya begitu sahaja. banyak persoalan yang ditimbulkan pada episod-episod awal siri anime yang tidak berjawab bahkan berlaku juga konflik dalam jalan cerita, di mana jalan cerita menjadi tak seimbang. Kalau anda ada menonton FMA anime, maka anda patut dapat melihat kejanggalan jalan ceritanya.

    Kesimpulannya, saya merasakan manga bukanlah satu cerita yang boleh diupgradekan dengan mudah. Sedangkan mengupgrade manga kepada anime pun menjadikan jalan cerita kelihatan hampeh, apatah lagi mengliveactionkannya. Ini telah terbukti dengan beberapa siri/filem live action yang telah diterbitkan.

    Persoalan: Kenapa pengliveactionnan "komik" terutamanya keluaran marvel nampak amat berkesan berbanding pengliveactionnan manga?? Adakah ini satu konspirasi menjatuhkan Jepun?? Adakah Holiwood sengaja menjadikan filem yang diadaptasikan dari manga tidak sebagus filem yang diadaptasikan dari komik keluaran mereka??

    alamak, terlebih sudah!!
    Lebih baik saya mengundur diri sebelum saya dihalau oleh Encik Saladin kerana membuat komen yang panjang mengalahkan entri asal.


    catatan buat DBP:
    Komen ini dibuat oleh Mohd Rizalman yang bernamapenakan Aiyrie. Sebarang penyalahgunaan bahasa dalam komen ini adalah tanggungjawab saya. Jangan diblok blog Encik Saladin kerana beliau tidak bersalah.

    Catatan buat pembaca budiman terutama adik-adik yang belum tamat SPM:
    Bahasa dalam komen saya kali ini adalah tidak sesuai untuk diadaptasikan kedalam karangan untuk menjawap soalan penulisan. Terdapat beberapa perkataan yang tidak pernah wujud dalam masa-mana kamus Bahasa Melayu yang saya gunakan. Oleh itu, berhati-hatilah dalam mengambil pelajaran.

    BalasPadam
  6. Tenkiu atas infonya Tuan Ahmad. Hohoh, rupanya si "Spider-Man" itu juga merupakan produser bagi produksi filem ROBOTECH tu. Dahsyat! =)

    BalasPadam
  7. Tenkiu En. aiyrie. Terlupa pulak pasal stesen TV Metrovision tu. Tapi saya "difahamkan" siaran DRAGON BALL di situ bukanlah dalam Bahasa Melayu kan? Dan, lagi satu, satu Malaysia boleh menonton siri tu secara RASMInya menerusi RTM2 yang semestinya mempunyai liputan yang lebih meluas, hehhe...

    ...

    Minat DRAGON BALL yang "asal"? Hahah, sentimen anda itu turut dikongsi oleh kebanyakkan peminat DB di seluruh dunia.

    Lebih tulen dan kuat? Oho, lebih tulen tu semestinya sebab ianya adalah "penangan" sang penulis itu sendiri, sementara versi adaptasi tu biasanya dah ada "campurtangan" pihak lain yang akan mengkompromikan jalan ceritanya, yang biasanya akan membawa lebih banyak kepada keburukan (ehem ehem *FILEMAYATAYATCINTA* ehem ehem!).

    Lebih kuat? Itu subjektif kot, terpulang pada pilihan individu. Ada ketikanya, kelihatan versi adaptasi itu lebih baik daripada versi asal! Pun, benda ni tetap sesuatu yang subjektif.

    ...

    Hehehe, mujur kes kelemahan adaptasi manga ke anime ni hanya wujud dalam... MANGA DAN ANIME (baca: dari Jepun) sahaja (komik Barat dan adaptasinya ke siri animasi adalah suatu KES dan KISAH yang tersangat berbeza!).

    Contoh pertama anda itu sangat tepat. Saya memang tak tengok Naruto, tapi, sepertimana anime yang popular yang diadaptasi daripada manga yang popular (dan masih ongoing), masalah ini memang AKAN TIMBUL. Benda sama berlaku pada DB dulu.

    Apakah benda ini? Ianya dipanggil filler episodes.

    Perlu difahami, siri komiknya masih berterusan. Sementara itu, versi animenya takkan ada masalah mengadaptasi babak² awal komiknya.

    Tapi, akan sampai satu peringkat di mana siri animasinya akan menghampiri plot yang berada dalam komik. Dan ada ketikanya, dalam komiknya itu, plot berkenaan masih belum selesai, dan menyukarkan pihak produksi animasinya untuk mengadaptasikan kisah itu kerana ianya masih BELUM SELESAI.

    Kenapa jadi macam itu? Sebab penerbitan siri komiknya itu, di dalam majalah tertentu, hanya seminggu atau sebulan sekali, dan setiap isu itu, hanya beberapa mukasurat saja kisahnya. Jangan ingat sekali mereka terbitkan komik itu adalah dalam bentuk satu buku tebal yang kita beli dalam RM4.30 tu pulak ya? Itu setelah dihimpunkan beberapa bab kecil di dalam satu buku, barulah dijual pula dalam bentuk "koleksi" camtu.

    Bayangkan, dalam satu bab, ada beberapa mukasurat sahaja, berapa minit yang boleh diterjemahkan ke dalam bentuk skrin (animasi)? Jadi, disebabkan itu, produksi animasi perlu tunggu sesuatu kisah/plot itu betul² tamat dan ada konklusi, barulah ianya boleh diadaptasikan ke bentuk animasi.

    Tapi, tunggu punya tunggu pun, akan tiba masa di mana animasinya tetap akan dapat catch-up dengan komiknya, yang sedang berada dalam satu plot/kisah yang masih belum tamat. Produksi animasinya tak dapat nak adaptasi lagi kisah ini, sedangkan mereka perlu juga menerbitkan episod baru untuk tayangan. Saya tak tahu kenapa mereka tak haltkan saja produksi untuk seketika, tapi memang mereka tak pakai sistem tayangan bermusim (season) macam siri TV Amerika kot.

    Jadi, demi kesinambungan tayangan siri animasinya, maka perlulah pihak produksi "menciptakan" jalan cerita baru untuk diisi sebagai filler antara kisah dari komik yang sudah tamat dengan kisah baru yang masih belum diadaptasi sebab masih belum tamat dalam komiknya. Sebab itulah digelar "filler episodes" tu.

    Kisah² filler ini biasanya bermasalah, sebab ianya bukanlah cetusan rasmi lagi asli daripada penulis/pelukis asal komiknya. Akibatnya, akan berlaku ketidakkonsistenan dalam perkembangan sesuatu watak, sepertimana yang anda cakap pasal watak Sasuke dan Sakura tu.

    Namun, begitulah hakikat yang peminat perlu telan. Memandangkan siri komiknya itu, sudahlah popular, malah masih belum tamat pula tu, jadi produksi animasinya pun nak buat duit jugak dengan populariti siri itu, jadi mereka akan terus menerbitkan siri animasi adaptasi daripada komik berkenaan, sehinggalah komiknya itu tamat secara rasmi suatu ketika nanti. Dan, jika popularitinya masih hangat, pihak produksi yang memiliki lesen untuk menerbitkan kisah daripada komik berkenaan, akan terus menyambung ceritanya sendiri, menerusi filem OVA, atau, macam dalam kes DB, disambung dengan siri DBGT.

    ...

    Berbeza pula dengan FULLMETAL ALCHEMIST, saya ada sikit perbezaan pandangan dengan anda. Oh, nak bagitau di sini, saya juga tak minat sangat dengan siri ni, jadi anda boleh saja takmau setuju langsung dengan kata² saya ni, hehhe...

    Biarpun anda mengboo siri itu dan menganggap ianya membuang masa anda, saya pula menanggapinya dari sudut yang berbeza pula. Saya menganggap tindakan yang dibuat oleh pihak produksi yang mengadaptasi siri komik FMA itu ke bentuk animasi, sebagai sesuatu yang bijaksana!

    Kenapa? Kerana, sebab yang hampir sama sepertimana siri komik Jepun yang lain. Macam kes Naruto di atas tu. Komik FMA ini masih berterusan sehingga ke hari ini, betul kan? Maka, saya ulangi lagi, adaptasi anime bagi siri FMA ini sesuatu yang bijaksana!

    Saya rasa, mungkin nak mengelak daripada masalah adaptasi manga-anime yang lainlah yang membuatkan mereka ambil jalan yang berbeza untuk adaptasi FMA ini. Mereka mungkin tak mahu isi animasinya itu dengan episod² filler yang akhirnya akan disumpah-seranah oleh peminat komiknya juga nanti. Oleh yang demikian, mereka ambil keputusan untuk "berpisah" daripada plot komiknya, dan mengambil jalan cerita yang original (kononnya la). Dan versi animenya itu ada penamatnya sendiri, dan sudahpun tamat setelah 52 episod (bilangan episod tipikal bagi siri anime yang dah ada target penamatnya).

    Ohoo, rasanya saya dah salah faham pasal apa anda tak suka siri animenya. Saya rasa anda tak suka sebab ceritanya lebih hampeh daripada versi komiknya? Hehe, kalau begitu, anda boleh terus memilih untuk berpegang pada kisah daripada komiknya.

    Namun, bagi saya pula, siri animenya itu boleh dilayan oleh orang yang tak pernah baca atau minat komiknya, dan juga bagi orang yang tak suka mengikuti siri yang panjang meleret lambat nak tamat beratus² episod banyaknya (sebab cuma ada 52 episod sahaja), sepertimana Naruto sebagai contoh, hehhe! Kalau baru nak mula melayan, boleh saja tonton dari episod satu sampai 52.

    Kalau siri lain, macam Naruto contohnya, jenuh la dia nak catchup daripada episod pertama sampai sekarang. Takkan dia nak start dari tengah pulak, tak syok la kan? Tu tak termasuk lagi perbincangan di laman forum mengenai perbezaan antara komik dan animasi, dan juga si penonton baru itu terpaksa pula melayan babak dan episod filler (nak lawan ke tak nak ni, dari tadi dok pot pet pot pet sampai tamat satu episod pun tak buat apa, tak termasuk babak flashback lagi tu, aduuuh!).

    ...

    Ahaks, itu dia pendapat panjang lebar saya pasal adaptasi manga ke anime. Persoalan seterusnya akan disambung ke komentar saya seterusnya... ;)

    BalasPadam
  8. ...Sambungan!

    ...

    Hehe, En. aiyrie khuatir komentarnya panjang melebihi entri asal. Saya sendiri pun komen lebih panjang daripada entri saya sendiri apa! ;)

    Oh, terima kasih atas peringatan kepada budak² SPM tu. Tapi saya rasa bahasa SMS sudahpun berperanan ke atas "kerosakkan" laras bahasa mereka, huhu!

    Oh, terima kasih juga atas peringatan buat DBP tu. Janganlah mereka merepot pada pihak Blogger pulak sampai saya kena blok atas alasan melanggar tatasusila nahu Bahasa Kebangsaan!

    ...

    Berbalik kepada persoalan anda: Kenapa adaptasi komik Marvel lebih berkesan daripada komik Jepun? Hehe, saya rasa isu ini tak timbul.

    Selaku peminat komik DC, saya dan peminat lain di seluruh dunia yang sepatutnya rasa cemburu dengan peminat komik Marvel. Kenapa? Kerana filem adaptasi komik mereka (Spider-Man, X-Men, Blade, Iron Man, Hulk) jauh lebih berjaya di pawagam berbanding komik DC. Yang DC tau, adaptasi komik Batman dan Superman saja, sedangkan mereka ada banyak adiwira lain yang sedang menunggu difilemkan (Wonder Woman, Aquaman, Flash, Green Lantern, Justice League). Itupun, hanya Batman saja yang betul² berjaya, sedangkan satu² filem Superman yang bagus ialah yang dibuat pada tahun 1978 dulu (lakonan Christopher Reeve). Yang terkini dua tahun lepas tu? Hampeh!

    Ah, selesai sudah saya berleter pasal betapa irinya saya terhadap peminat komik Marvel, kini saya cuba pula menjawab persoalan anda.

    Tapi kan, boleh ka dibandingkan komik Jepun dengan komik Barat (saya generalisasikan komik Marvel kepada komik Barat secara keseluruhan)? Sedangkan, saya rasa la, ianya mempunyai skop peminat yang berbeza. Orang yang minat filem komik Barat BELUM TENTU membaca apalagi meminati komik tersebut, sedangkan yang meminati adaptasi daripada siri komik Jepun, pastinya pernah meminati komiknya. Kalau tidakpun, sentimen "MANGA" itu pasti akan membuatkan seseorang itu melayannya juga.

    Ya, kita sedang berhadapan dengan dunia baru. Menurut pemerhatian saya, sekarang ini, apa saja yang datang dari Jepun (baca: MANGA dan ANIME), akan dianggap bagus dan disanjung (tak macam dulu kan, di mana apa saja datang dari Barat akan disanjung, hehe!). Menonton anime dan membaca manga bukan sesuatu yang pelik. Tapi, membelek dan membaca komik Barat, akan dianggap pelik. Menonton animasi Barat, akan dianggap budak² pulak!

    Di negara Barat itu sendiri, jualan Manga di sana mengatasi jualan komik terbitan mereka sendiri tau! Maknanya peminat manga di sana mengatasi peminat komik mereka.

    Jadi jangan dijadikan isu kenapa adaptasi ke filem bagi komik Barat (Marvel terutamanya) lebih berjaya. Manga tak perlu pun adaptasi semua ni, hasil jualan mereka saja dah lebih dari cukup untuk membuktikan kehebatan mereka.

    Lagipun, tolong bagitau saya, ada ka filem Hollywood adaptasi manga yang berjaya atau gagal, atau WUJUDKAH ia? Seingat saya, kalau adaptasi ke filem Jepun tu, ada la, contohnya macam Death Note tu. GTO dan "Penyiasat Remaja" pulak diadaptasi ke siri TV, begitu juga dengan Sailor Moon, dan Detective Conan pulak diadaptasi (sebagai prekuel) ke filem TV. Pastu ada la adaptasi filem Hong Kong untuk Initial D. Selain dari itu semua, berapa keratkah adaptasi manga ke Hollywood? Kalau ada lagi, boleh dikongsikan bersama, heheh...

    ...

    Itu salah satu perspektif sayalah. Satu lagi, saya rasa la kan, memang susah pun nak adaptasi siri manga ni ke filem betul. Dan saya masih tak terfikir dan masih tak percaya bahawa ada pihak yang sanggup membawa siri Dragon Ball, siri yang PALING SAYA TAK NAMPAK bagaimana ianya dapat diadaptasikan dengan baik ini, ke layar perak Hollywood. Maknanya, orang Jepun sendiri pun tak terfikir atau tak sanggup nak buat. Kot mana pun, kena tunggu dan lihat la hasilnya nanti.

    Oh ya, kenapa tadi saya kata susah? Sebab, saya mendapati, siri manga ni, rata² "kurang" berpijak di bumi nyata (grounded on reality). Bila nak diadaptasi ke filem betul yang berjaya, dia kena ada sedikit unsur realisme agar boleh diterima oleh penonton kebanyakkan (bukan nak harap duit oleh peminat asal manga itu saja tau, heheh!). Jadi, memikirkan faktor pulangan tu, dengan kos yang perlu ditanggung, mestilah produser pun fikir banyak kali sebelum setuju nak angkat sesuatu manga itu ke filem.

    Aspek mana yang nampak macam susah nak diterjemahkan ke layar perak itu? Antara yang saya nampak ialah pada bentuk fizikal wataknya itu sendiri. Di samping memiliki rambut yang berwarna-warni, mereka juga memilik bentuk rambut yang sangat mustahil nak terbentuk dari sudut hukum fizik (contohnya rambut Goku DB). Apabila nak difilembetulkan, bayangkan betapa mengarutnya watak² ini akan kelihatan dalam dunia nyata! Mahu tak mahu, kena cari jalan untuk menyederhanakan penampilan mereka agar nampak realistik dan pada masa yang sama masih diterima peminat kerana masih kelihatan seperti watak yang mereka kenal dari komiknya.

    ...

    Dan, untuk pengetahuan, tak timbul isu "konspirasi nak jatuhkan Jepun", kerana Hollywood memang sudah lama dikenali dengan kebiasaan "merosakkan karya asal" sejak sekian lama. Ramai peminat asal sesuatu karya tu yang tak puas hati dengan apa yang diistilahkan sebagai "layanan Hollywood" (Hollywood's treatment) terhadap karya dan watak yang diadaptasikan itu. Pasti akan berlaku unsur "perosakkan" terhadap "kesucian" dan "keaslian" sesuatu watak dan ceritanya itu.

    Untuk pengetahuan lagi, biarpun filem² Marvel itu kelihatan berjaya, tapi tetap akan ada kelompok peminat komiknya yang tak suka dengan apa yang Hollywood dah buat pada watak² kesayangan mereka.

    Watak Spider-Man versi filem contohnya, tak disukai peminat komiknya sebab kurang "menyengat" dari segi lawak punch line yang diberikan kepada musuh. Spider-Man selaku watak yang sarkastik, kurang sarkastik dalam filemnya. Tu tak termasuk lagi kecenderungan watak Spider-Man versi filem untuk membuka topengnya dengan kerap (nak tayang wajah hensem Tobey Maguire la tu!). Dan, boleh dikatakan SEMUA ORANG kenal identiti sebenar Spider-Man! Dan SEMUA MUSUH Spider-Man dalam filem itu ditimpa tragedi yang akhirnya membuatkan kita turut bersimpati dengan mereka. Habis tu, siapa sebenarnya penjahat dalam filem itu? Takdir? Astaga...

    Sama juga dengan watak Hulk. Hulk dalam komik tidaklah segergasi filemnya, dan tidak bertambah membesar apabila dia bertambah marah.

    Dan, untuk filem dari komik DC pula, jangan bagi saya mula dengan apa yang Hollywood dah buat pada watak Superman kesayangan saya dalam filem SUPERMAN RETURNS tu, huhuhu...

    Jadi, apa yang saya ingin katakan di sini ialah, Hollywood berkecenderungan dan lebih berkemungkinan untuk "merosakkan" keaslian sesuatu karya yang diadaptasinya. Namun ada yang berjaya, contohnya macam LOTR dan Harry Potter dan filem Spider-Man, dan ada juga yang kurang berjaya. Lumrah la tu.

    ...

    Tapi, walau bagaimanapun, itulah yang dikatakan "adaptasi". Adaptasi tu bukannya karya "fotostat" bulat² daripada karya asalnya. Akan ada perubahan dan kesesuaian dalam mengangkatnya ke layar perak. Ada yang adaptasi seluruh jalan cerita, dan ada yang adaptasi sebahagian saja. Ada pula yang hanya mengambil nama watak sahaja serta mungkin tajuk, tapi memaparkan kisah yang original. Ada yang hanya mengambil intipati kisah serta wataknya sahaja untuk diadaptasi.

    Untuk pengetahuan lagi, filem daripada komik, terutamanya komik adiwira, tidaklah diambil seratus peratus daripada komik. Ada yang ambil tak sampai 50 peratus, dan ada yang tak ambil langsung pun dari komik (hanya pada tajuk/nama watak saja yang sama). Apa yang diadaptasi ialah watak dan intipati kisahnya, yang diolah dan diinterpretasi semula.

    Contohnya, Superman, semua orang tau kisah mengenai seorang bayi yang diletakkan dalam roket/pesawat/jet (bergantung pada olahan semula) oleh ibu bapanya, dan diterbangkan keluar dari planet asalnya yang di ambang kemusnahan, terhempas di bumi, dipelihara pasangan suami isteri yang tak ada anak, membesar dengan memiliki kekuatan luar biasa, dan muncul sebagai adiwira bernama Superman. Peminat biasanya tak kisah bagaimana ianya nak diolah, asalkan ianya memiliki asas² yang membuatkan orang tahu ini memang kisah asal-usul Superman.

    Macam juga Spider-Man. Kalau dalam komik, dia digigit oleh labah² yang terdedah dengan bahan radioaktif, sedangkan di dalam filem, labah² itu adalah yang telah diubahsuai genetiknya (bukannya terdedah dengan radioaktif). Kisah ini berbeza, tapi masih membawa kepada natijah yang sama, iaitu kelahiran Spider-Man.

    Perubahan sebegini biasanya diterima oleh rata² peminat komik Barat (ada jugak jenis tegar yang tak suka, biasalah tu). Mereka hanya mahu watak kesayangan mereka muncul di layar perak, dan dalam proses itu, dapat memperkenalkan watak itu kepada kawan² mereka, dan mungkin dapat menarik minat peminat baru terhadap siri komiknya pula. Lagipun, komik adiwira ni ada kisah yang sampai berpuluhan tahun, jenuh nak adaptasi secara teliti satu persatu. Maka, dipilihnya kisah yang paling diminati, ataupun buat kisah yang original terus, tapi masih berdasarkan sejarah dan latar belakang watak komik tersebut.

    Kes yang sama juga berlaku pada siri animasi yang diadaptasi daripada komik mereka. Ianya tidak diterjemah seratus peratus daripada siri komiknya. Cukup diambil intipati tertentu, dan antara bonus bagi peminat ialah mengadaptasikan kisah² atau saga² tertentu yang popular dalam komiknya, yang disesuaikan dengan dunia yang dicipta dalam siri animasi atau filem adaptasinya itu.

    Oleh yang demikian, seseorang itu tak boleh, katakanlah, menonton siri animasi SUPERMAN, dan mengatakan dia sudah kenal betul dengan watak Superman, sedangkan versi animasi itu ada beberapa perbezaan ketara dengan versi komiknya (perbezaan yang tak mencacatkan atau membantutkan peminat daripada terus meminati keduanya).

    Saya tak tahulah apakah peminat komik Jepun boleh terima sebarang perubahan yang dibuat dalam versi animenya itu secara lebih terbuka sepertimana peminat komik Barat terhadap animasi adaptasinya. Berdasarkan pemerhatian, nampak gaya macam tak berapa boleh ja kan?

    Tapi, sebab itulah saya dah kata dah tadi, komik Jepun dan adaptasinya tak berapa sama dengan komik Barat dan adaptasinya.

    P/S: Selain Marvel, ada lagi filem Hollywood yang diadaptasi ke filem. Contohnya, antara yang saya ingat, macam ROAD TO PERDITION, V FOR VENDETTA, SIN CITY, dan yang terkini iaitu WANTED. Dari genre yang bukan adiwira lagi tu.

    ...

    Orait, cukuplah sudah rapuan saya. Kan dah jadi lebih panjang daripada entri asal, hehehhe! Ditaip pun pada ketika saya mengantuk. Terima kasih atas komentar. Harap boleh dicetuskan apa² lagi persoalan agar saya boleh mengupasnya lagi di sini, hehehe...

    BalasPadam

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang