Isnin, 1 Disember 2008

Cuti Panjang 2 - Dilema Kabel Telefon...

Dalam entri aku yang lalu, aku dah serba sedikit menerangkan mengenai "Fasa Pertama" daripada "Cuti Panjang" aku, yakni mengenai sebab-musabab aku lama "menghilangkan diri" daripada berblog sebegitu lama.

Secara dasarnya, aku cuma nak bercuti sebulan saja, iaitu sepanjang bulan Ramadhan tu. Walau bagaimanapun, seminggu sebelum Raya, suatu "tragedi" telah menimpa aku...

Tanggal 24 Ramadhan 1429H, bersamaan 24 September 2008, ketika aku bangun bersahur, aku mendapati tidak semua lampu di modem aku menyala. Aku mengesyaki, sesuatu yang sememangnya sudahpun kerap berlaku semenjak tahun 2008 ini, berlaku lagi sekali pada hari berkenaan.

Dipendekkan cerita, kabel telefon di kawasan rumahku kena curi. Sekali lagi. Sekitar tengah malam buta/awal pagi buta. Yep, yang anda dok tengok/dengar di berita mengenai kes kecurian kabel telefon tu, akulah antara mangsanya, heheh! Kali ni lagi teruk daripada selalu, sebab sampai TUJUH tiang dirembat kabelnya. Lorong masuk ke tempat kawasan perumahan aku ni, memang pada bahagian awalnya tiada rumah di kiri kanan lorong tu. Tiang-tiang di situlah "port" tetap yang dirembat sang pencuri, sebab bila malam gelap, tiada rumah melainkan belukar, maka siapa yang akan perasan kehadiran dan aktiviti mereka kan?

Macam mana aku tau kehilangan kabel telefon pada saat aku bangun sahur? Senang saja. Modem aku buka 24 jam. Kalau lampu tertentu di modem tu tak bernyala, aku angkat gagang telefon rumah tak berbunyi, dan bila aku buat panggilan masuk dari telefon bimbit aku ke telefon rumah dan mendapati panggilan itu berjaya masuk TAPI tak telefon rumah tak berdering, petandanya kabel telefon kena curilah tu.

Biarpun dah banyak kali kes ni berlaku (bermula tahun ini sahaja tau!), tapi inilah kali pertama kami "offline" daripada telefon dan internet selama hampir dua minggu lamanya. Bahkan aku berhari raya tanpa internet! Tak dapatlah nak hantar atau balas e-kad raya ka, e-mel raya ka, testimonial Friendster ka, semua tu tak terbuat tahun ini. Apa lagi nak buat entri khas untuk Hari Raya!

Kenapa lama sangat nak diambil tindakan? Pertama: Cuti Raya... biasalah beb! Kedua, dan ini spekulasi saja: TM dah malas nak perbaiki. Kalau di kampung, memang pemandangan normal kalau ada tiang telefon yang "dogol". Dalam ertikata lain, memang TM takkan ganti kabel di situ. Macam bagi percuma saja pada sang penyangak pencuri kabel tu, buat apa kan? Dan sebab ketiga tapi yang paling utama: Pihak TM kat tempat aku dah kehabisan kabel. Kena order baru. Agaknya itu kot yang makan masa lama sikit tu.

Alternatifnya, TM menyediakan satu perkhidmatan telefon wayarles, dan perkhidmatan ini ditawarkan kepada "mangsa-mangsa" kecurian kabel telefon yang tak dapat diselamatkan atas faktor-faktor logistik (tempat terpencil, senang dicuri semula) dan kewangan (berapa juta ringgit bazir untuk menyenangkan pencuri besi?).

Bagusnya perkhidmatan ini, aku difahamkan, selain daripada berfungsi seperti telefon rumah biasa (cuma bezanya, ianya tidak bergantung kepada kabel telefon di tiang tu), kita juga boleh bawak telefon ini ke mana-mana yang kita suka. Kita tetap boleh terima panggilan walau di mana pun kita bawa telefon ini, tetapi untuk buat panggilan keluar, ianya hanya tertakluk di sekitar daerah yang kita diami/daftar sahaja. Internet pun boleh main, tapi sekadar perkhidmatan dial-up 1515 saja.

Bila difikir balik, ini dah macam pakai telefon bimbit, bahkan penggunaan telefon bimbit tu sendiri lebih banyak fungsi tambahan daripada perkhidmatan telefon ni (sebab boleh pakai di mana saja... tempat yang ada liputan la, hehe!). Dengan kata lain, orang kita zaman sekarang ni sebetulnya KURANG memerlukan talian tetap di rumah sebab masing-masing dah ada telefon bimbit. Satu keluarga lima beranak contohnya, dari bapak sampai ke anak bongsu, semua ada nombor masing-masing.

Tapi ada satu sebab kenapa aku perlu juga talian tetap di rumah: STREAMYX! Di sini, tak ada cara lain nak berStreamyx melainkan menerusi talian tetap. Mana boleh bayar tiap-tiap bulan harga tetap, tapi tak boleh nak berStreamyx sebab kabel kena curi. Sudah la kelajuannya pun tak seberapa, tapi lebih baik banyak la daripada tak ada langsung. Maka, sesudah beberapa kali menelefon, malah pergi sendiri ke TMPoint dan beberapa kali berjumpa dengan mereka yang bertanggungjawab, siap "mengugut" akan menamatkan langganan Streamyx kami, maka akhirnya dipasang jua kabel baru pada 13 Oktober 2008 (dah dua minggu berhari raya dah!).

Malangnya, baru tiga hari sempat berinternet semula, dah kena curi lagi, kali ni di tiang lain pula, iaitu tiang-tiang yang berikutnya bersebelahan tujuh tiang yang dirembatnya sebelum ini. Oh, baiknya hati tak curi kabel baru, sebaliknya pi curi kabel lain. Kali ni tiang-tiang yang dicuri bersambung sehinggalah ke depan rumah orang. Wah, makin berani!

Kami dengan tebal muka menelefon dan bertemu lagi dengan pihak TM. Mereka pun menggeleng kepala. Selain menyangkut kabel di tiang, kabel telefon juga boleh ditanam, tapi itu mungkin sukar sikit nak dibuat. Iyalah, nak kena korek dan tanam, dan nanti "berserabut" pulak dengan Jabatan Air, sebab paip air pun ditanam jugak.

Solusinya, mereka sambung juga kabel, tapi aku tengok saiznya lebih kecil dari tiang yang lain (yang masih BELUM dicuri). Rupanya mereka hanya menyambungkan ke beberapa buah rumah sahaja (termasuk rumah aku), sebab rumah kami ni pakai Internet. Rumah lain yang tak pakai internet, dibekalkan dengan telefon tanpa wayar yang aku sebut tadi.

Maka, buat masa ini, "selamat" juga kawasan kami ni dari kecurian kabel. Iyalah, dua-tiga urat kabel saja yang ada di tiang, pencuri pun tak tergamak nak rembat, sebab berapa duit saja mereka boleh jual dengan "besi" pada kabel yang sebanyak itu? Hehe, kecurian kabel ni cuma salah satu saja daripada beberapa kebejatan sosial di kawasan perumahan aku ni. Kalau nak dihimpun kesemua "cerita-cerita" mengenai penduduk sini, boleh buat siri DESPERATE HOUSEWIVES versi kami sendiri, hah!

Tapi itulah dia, aku rasa kecurian kabel ni, serta penggantian yang kerap ini, MUNGKIN memberi kesan kepada potensi/kualiti kelajuan Internet di rumah aku ini, sebab di situ sudah berlaku kerosakan. Atau itulah yang diungkapkan oleh operator talian 100 yang aku pernah dail untuk kompelin masalah internet. Entahlah, aku pun tak paham, boleh jadi dia auta aku saja, nak lepas diri, heh! Lagipula, masalah ini, yang dijanjikan akan diselesaikan dalam masa dua hari bekerja, rupanya masih lagi tak diselesaikan biarpun dah lebih DUA MINGGU BEKERJA dari tarikh aku telefon.

Aaa... masalah apakah itu? Rasanya ini aku kena bagi bersambung dululah yea?

Bersambung (lagi?!)...

4 ulasan:

  1. Assalamu'alaikum,

    Alahai, kesian kat TM. Ini menandakan TM perlu memperluaskan lagi wilayah wireless broadband nya. Kalau dah guna wareless, tak bolehlah lagi si pencuri kabel nak mencuri kabel. Marilah kita jadikan Malaysia ni sebagai negara tanpa wayar.

    Ucapan kesian ini juga ditujukan kepada Encik Saladin dan keluarga [:p] yang terpaksa merana membayar bil tanpa perkhidmatan.

    BalasPadam
  2. Salam takziah dan ucapan kasihan juga ditujukan kepada Encik Saladin dan Desperate Neighbourhood-nya. Semoga peluang itu diambil sebaik-baiknya untuk beruzlah daripada dunia internet yang penuh pancharoba dan marabahaya ini. Hehe.

    BalasPadam
  3. Wa`alaikumussalam warahmatullah.

    ...

    Ya Tuan aiyrie, menurut suatu perkhabaran dari sumber yang dipercayai, sebab dia bekerja dengan TM, dikatakan bahawa pada tahun hadapan, TM akan memperkenalkan perkhidmatan HSBBnya. Agaknya ini bakal menjadi suatu solusi kepada masalah yang sekian lama menimpa, hmmm...

    Ya, kami baru saja isi dan hantar borang pengecualian bil yang memang disediakan untuk situasi ini. Malangnya, talian kembali pulih sebelum sempat kami menikmati pengecualian itu, heheh...

    ...

    Terima kasih atas nasihatnya wahai Tawel Sensei. Adapun, di kawasan rumah kami itu, HANYA keluarga kami sahaja pengguna internet yang prihatin dan membuat laporan kepada pihak TM mengenai kecurian kabel.

    Ini seolah menunjukkan bahawasanya di kawasan ini, hanya rumah kami sahaja yang menggunakan internet. Walaubagaimanapun, rupanya ada lagi dua-tiga buah rumah yang turut menggunakan internet.

    Sementara anggota kejiranan kami yang lain, majoritinya terdiri daripada keluarga yang tidak begitu kelihatan sederhana keadaan hidupnya. Mereka inilah yang serabut dan mengalami kebejatan sosial, dan mereka juga tidak berinternet. Kesimpulannya, bagi kajian kes kawasan hamba, mereka tidak "dirosakkan" oleh internet, sebaliknya dirosakkan oleh suasana persekitaran masyarakat sekeliling...

    Adapun, nasihat anda itu boleh hamba pakai, bahkan sudahpun hamba laksanakan. Hamba memang beruzlah, tapi bukan daripada dunia internet secara keseluruhan, sebaliknya hanyalah daripada blog saya ini, heheh...

    BalasPadam
  4. Salam Saladin...
    Oooo... itu kisahnya ye! kak su ingatkan saladin dah nak bersara, atau merajuk yg entah pada siapa.

    Apapun selamat kembali ke dunia cyber.

    BalasPadam

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang