Dipetik daripada filem MAMI JARUM arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Babak ini dilakonkan oleh Kartina Aziz sebagai Fatimah (Mami Jarum), Rosnah Mat Aris sebagai Chombee, dan Ikhzal Ideris sebagai Zaid.
Fatimah digelar "Mami Jarum" oleh orang yang mengenalinya kerana sifatnya yang suka membawa cerita mengenai keburukan orang lain kepada sesiapa yang dijumpainya. Dia juga sentiasa menganggap dirinya yang paling sempurna dari segi pembawaan diri dan penjagaan kedua-dua anak gadisnya berbanding orang lain. Baginya, tiada orang yang lebih pandai menjaga rumahtangga selain daripada dirinya. Antara yang paling tidak disukainya ialah apabila seseorang perempuan berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih tua daripadanya. Apatah lagi adik perempuannya sendiri, Bee, turut menjadi "mangsa" perkahwinan sebegitu kerana menikah dengan Piee yang jauh lebih tua. Setiap kali berjumpa, Fatimah akan mengungkit perkara demikian dan memperlekehkan adik dan iparnya itu.
Walau bagaimanapun, Fatimah menerima sedikit tamparan hebat apabila mendapati anak bongsunya, Shafinaz, berpacaran dengan seorang posmen, sedangkan dia mengidamkan menantu yang berpendapatan tinggi, sesuai dengan statusnya yang juga dalam kalangan orang berada. Ini ditambah pula dengan cerita yang dibawa oleh Bee, bahawa suaminya iaitu Piee dikatakan ada terlihat anak sulung Fatimah, iaitu Sheqah, "baguih punya dok dating dengan satu jantan tua". Mujurlah anak bongsunya itu akan ada yang akan masuk meminang pada minggu hadapan, tetapi anak sulungnya, dengan "jantan tua"? Oh, tak mungkin Fatimah akan membiarkan maruahnya tercalar. Beliau tidak mahu keluarganya terjebak dalam perkara yang selalu terjadi dalam keluarga orang yang selalu diaibkannya itu. Lalu dia pun pergi ke rumah teman baiknya, Chombee, merisik anak lelaki Chombee untuk dijodohkan dengan anak sulungnya itu.
Fatimah: Ni aku mai ni, semata-mata nak jumpak hang. Nak ceghita kat hang. Oghang lain semua tak tau, hang soghang oghang pertama. Hang tau Karim? Karim nasik kandaq? Dia menikah muda anak dagha! Hang tak tau dia menikah dengan sapa? Oghang gaji diaaa! Eee... bughok no, oghang tua pi menikah dengan anak dagha? Eeiiiish!
Chombee: (Menggunakan loghat Penang yang "palsu", Chombee menjawab) Tu la Fatimah. Anak-anak kita la ni semmmmmua kena tanya, "Pi mana? Keluak dengan siapa?", semmmmua kena tanya. Tambah-tambah anak betina. Sat lagi, oghang dok boh, sia-sia.
Fatimah: Sunggoh! Heran no? Eee... depa ni tak macam kita. Kalau jaga anak-anak, semua baguih-baguih, teghtib-lentit anak-anak kita, no?
Setelah puas mengumpat sebagai pembuka bicara, maka Fatimah pun menjeling ke arah sebuah foto di atas meja di ruang tamu rumah Chombee, lantas mengutarakan hasrat sebenar kedatangannya.
Fatimah: Erm, sebelum terlupa, saja nak tanya. Anak hang hat ni, segak no? Dia dah gheja ka?
Chombee: Zaid ka? Daaaah. Lepaih... chambering!
Chombee seolah-olah sedang mencari-cari mana-mana barang kemas yang berada di badannya yang sesuai untuk dikaitkan dengan perkataan yang disebutnya itu. Memang selalu menjadi kebiasaan antara Fatimah dan Chombee yang akan menunjuk-nunjukkan barang kemas masing-masing secara tidak langsung sedemikian bagi memperlihatkan siapakah di antara mereka yang paling mewah barang kemasnya. Lalu Chombee mendapat idea untuk mengaitkan perkataan itu dengan cincin emas di jarinya itu.
Chombee: Cham... chamberrrr...RING! (sambil menunjuk-nunjuk cincin di jari tangan kanannya lantas ketawa) Teghos dia keja pejabat loya (lawyer).
Kebetulan anak lelakinya itu baru pulang lantas bertemu dengan mereka berdua di ruang tamu.
Zaid: Mak...
Chombee: Zaid!
Fatimah: Hat ni la Zaid? Oooh, besaq... (sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Zaid, tapi sebaliknya Zaid menghulurkan begnya kepada Fatimah) ...ni beg dia (getus Fatimah dalam hati, kehairanan, apakah Zaid "kurang cerdik"?)
Zaid: Ssssss... sapa ni mak? Mak? (tergagap-gagap Zaid bertanyakan ibunya)
Chombee: Ni, salam Makcik Timah tu.
Fatimah: (setelah bersalam dengan Zaid) Allah, sopannyaaaa.
Zaid: Mak...
Fatimah: Dia tak mau menikah lagi ka?
Zaid: (Tersipu-sipu) ...Zaid malu...
Chombee: Cek takut nanti Zaid jatuh hati dengan perempuan yang tak senonoh. Mana kita tau!
Fatimah: Sunggoh laaa... budak-budak peghempuan la ni peghangai bukan la baik sangat. Tak macam kita dulu-dulu. Ni, cuba la hang tanya pasai anak aku tu, Sheqah tu.
Chombee: Ya ka?
Zaid: ...Suka!
Chombee: Sheqah ka? Zaid tentu suka! Depa pun dah kenai daghi kecik.
Fatimah: Hmm, toksah dok panjang-panjang ceghita lah, kigha jadi la tu! Ni apa kata, minggu depan hang mai ghumah aku hang bawak mai Zaid sekali. Zaid no?
Chombee: Eeellok la tu.
Fatimah: Aah, tak pa lah, kalau lagu tu aku balik dulu la na? Kalau aku ada ceghita baghu, aku ceghita kat hang la oghang pertama. Balik no Zaid...
Fatimah cuba bersalaman lagi dengan Zaid, namun Zaid yang ketika itu sedang memegang sekeping biskut yang dimakannya yang diambilnya dari hidangan yang dihidangkan oleh ibunya kepada Fatimah, lantas menghulurkan biskut itu ke tangan Fatimah, sepertimana begnya sebentar tadi.
Fatimah: ...Ni... letak tang ni no? Nanti makan, jangan dok baziaq.
Fatimah pun pulang ke rumah, dan tingallah kedua-dua anak-beranak itu dalam keadaan gembira.
Zaid: Mak! C...c...c...cek nak menikah ka?
Chombee: Hang suka ka?
Zaid: Eeee... suka!
Dengan gembiranya, ibunya menyuapkan sekeping lagi biskut ke dalam mulut anaknya. Dalam masa satu minggu lagi, Chombee dan Zaid dijemput untuk menghadiri majlis pertunangan anak bongsu Fatimah, iaitu Shafinaz, dan serentak dengan itu juga Fatimah berhasrat mahu Zaid meminang anak sulungnya iaitu Sheqah.
Apakah yang akan terjadi pada Zaid? Apakah berjaya dia memilik Sheqah, atau apakah benar Sheqah sudahpun dimiliki oleh "satu jantan tua" sepertimana yang dikhabarkan oleh Piee?
Bersambung...
Tentang Makanan yang Disediakan oleh Bukan Ahli Syahadah
-
Pertanyaan : Assalamualaikum. Nak minta sedikit pencerahan atau pendapat
tentang makanan dan minuman yang disediakan oleh orang bukan Islam dari
sudut...
Seminggu yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen ja. Tak kisah punya...