Khamis, 22 April 2010

"Zaid pun ada maruah jugak!"

Dipetik daripada filem MAMI JARUM JUNIOR arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Babak ini dilakonkan oleh Rita Rudaini sebagai Rita (Mami Jarum Junior), Rosnah Mat Aris sebagai Chombee, Azizah Mahzan sebagai Zaiton, Chik sebagai Chik, dan Ikhzal Azfarel Ideris sebagai Zaid.

Dahulu, memang Fatimah digelar 'Mami Jarum', namun setelah keburukan rumah tangga orang yang sering diceritakannya itu turut menimpanya, Fatimah sudah insaf dan bertaubat lalu pergi ke Mekah mengerjakan Umrah (kerana dalam cerita Melayu, orang yang insaf mesti kena pi ke Mekah, heh!). Walau bagaimanapun, kekosongan jawatannya segera diisi oleh anak didiknya, iaitu Rita! Memakai gelaran 'Mami Jarum Junior', Rita meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Fatimah.

Memandangkan Rita kini kesendirian, dia berkawan pula dengan Chombee. Walau bagaimanapun Chombee tidaklah pula mengambil alih peranan Fatimah, kerana dia tidak mengata hal orang sepertimana Fatimah. Namun dia juga menjadi mangsa hasutan Rita.

Ya, untuk pengetahuan, Rita lebih 'jahat' daripada Fatimah. Kalau Fatimah hanya membawa cerita buruk orang lain, mengumpat mengenai orang lain, berdasarkan fakta atau cakap-cakap orang, Rita pula terang-terang memfitnah dan mengadu domba, apatah lagi melaga-lagakan antara satu sama lain dengan mendakwa bahawa orang tertentu menghina orang tertentu, padahal semua itu rekaan Rita semata-mata. Dan fitnah Rita ini membuatkan pihak-pihak yang dilagakannya betul-betul bergaduh.

Rita melaga-lagakan Datin Nora dan keluarganya dengan Fatimah (mentornya sendiri!) dan keluarganya, memandangkan Datin Nora kini bermadu dengan anak Fatimah iaitu Sheqah. Shafinaz dan Ezad juga berpisah akibat bawaan mulut Rita (tapi memang cinta mereka dah jadi terlarang dah pun, kan kakak Shafinaz dah menikah dengan bapak Ezad?). Chombee sendiri juga bertarik-tarik rambut dengan Bee (adik Fatimah) akibat difitnah oleh Rita.

Orang ramai bertambah meluat dengan Rita, sehingga menggelarkannya sebagai ANDARTU (ANak DARa TUa), memandangkan dalam umurnya yang tidak begitu muda, dia masih belum berkahwin. Hal ini membuatkan Rita menjadi terdesak, lantas mengubah penampilan dirinya, daripada berkebaya dan memakai banyak barang kemas (sepertimana mami-mami tua yang dia berkawan, seperti Fatimah dan Chombee) kepada penampilan yang lebih muda dan daring.

Walaupun begitu, satu perangai Rita yang agak baik lagi mulia ialah, dia tidak jemu-jemu membantu mencarikan calon isteri untuk Zaid, anak lelaki Chombee itu. Entah kenapa dia berbuat demikian, dan entah kenapa dia sendiri tidak mencalonkan dirinya untuk menjadi menantu Chombee, masih menjadi misteri, padahal Zaid seolah sudah memberi hint (bunga) kepada Rita.

Antara yang dicarinya ialah seorang gadis cantik yang mana Rita dan Chombee sendiri pergi ke rumahnya. Malangnya, suara gadis itu seperti jantan, lalu ditolak mereka. Seterusnya, Rita tertarik pula kepada Jasmin, anak kepada Chik, tukang emas yang selalu dikunjungi oleh Rita dan Fatimah, setelah melihat kelibat Jasmin di situ dan terpesona dengan kesopanannya. Lantas dia mengunjungi rumah Chombee dan menceritakan mengenai hal itu. Dan seterusnya, berangkatlah Rita, Chombee dan Zaid ke rumah Chik.

Zaiton: Kami berbesaq hati la dengan hajat Kak Chombee dengan Cik Rita tu. Tapi bukan lah kami ni tak sudi, Kak Chombee. Maksud Kak Chombee tu kami paham, tapi anak kami tu dah ada pilihan hati.

Zaid pun merengek kepada ibunya setelah mendengar kata-kata itu. Sementara mereka berpandangan, Rita cuba mengambil alih.

Rita: Sapa?

Chik: La, dengan bos tempat dia gheja tu. Ezad, pengurus syarikat tu. Hensem!

Rita: Ooo, Ezad anak Dato' Meera tu ka? Iiish, Chik, suka hati ja nak bagi anak dia kat oghang. Chik tak siasat ka dulu latar belakang dia? Ni haa, Rita kenai la dia tu sapa!

Chik: Okey pa, tak gelong. Betoi dak Ton?

Sementara itu, Chombee memberi isyarat kepada Rita supaya memaklumkan pekerjaan anaknya itu sambil membisikkan perkataan "Lawyer!".

Zaiton: Ha, elok perangai, sopan santun, hormat orang tua.

Rita: Allah, mengkala kata anak oghang kaya, elok, hensem. Ni ha, anak Kak Chombee ni, apa kughangnya? Hensem, lawyer lagi! Mangkit, mangkit (sambil memberi isyarat kepada Zaid).

Zaid: This is my card Uncle, Auntie. Kalau ada apa-apa nak mintak bantuan, boleh talifon saya di nombor talifon yang tertegha di kad tu, no?

Zaiton: Saya ni, bagi pihak keluarga kami, sekali lagi mintak maaf la banyak-banyak na?

Rita: Awat, tak jadi jugak ka?

Chombee: Tak apa lah.

Zaid: Mak! (Zaid merengek seperti budak-budak, sementara sayup-sayup kedengaran Rita menyatakan simpatinya kepada Zaid).

Chombee: Dah takdak rezeki kita nak berbesan, nak buat macam mana. La ni nak cari bunga yang belum makan dek ulat, susah Cik Ton oi! Bunga yang dok makan ulat, melambak-lambak kat luaq sana. Anak laki-laki kita ni masih teruna lagi.

Zaid yang tidak berpuas hati, tiba-tiba membentak.

Zaid: Cek malu la mak! Awat mak tak check dulu depa setuju tak ngan kita ni? Cek pun ada maruah jugak!

Chombee: Pasai ap...!

Rita: Shhh, pelan sikit!

Chombee: (Berbisik) Pasai apa nak salahkan mak? Salahkan Rita tu!

Dengan tak semena-mena Zaid bingkas bangun, sambil melihat ke arah Rita.

Zaid: Rita tak salah mak!

Nah itu dia, satu lagi 'pembayang' yang diberikan oleh Zaid, yang sedikit sebanyak menyatakan isi hatinya dan perasaannya terhadap Rita. Kerana dia sanggup mempertahankan Rita tatkala ibunya menyalahkan Rita. Hmm... inikah cinta?

Walau bagaimanapun, maka sekali lagi, gagallah jua usaha Chombee nak menjodohkan anaknya dengan anak gadis yang dirisiknya itu. Sampai bilakah Zaid akan membujang? Bilakah Chombee akan berjaya menimang menantu? Sampai bilakah Rita akan mendara, atau kekalkah dia dalam keadaan begitu?

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang