Selasa, 13 April 2010

Digimon kembali lagi!

"Dig... dig... dig... Digimon! Digital Monsters! Digimon are the champions!"

Nah, begitulah berkumandangnya lagu tema siri animasi Digimon versi Amerika Syarikat. Bukanlah sebuah lagu tema yang seronok didengar, apatah lagi kalau nak dibandingkan dengan lagu tema asalnya dalam Bahasa Jepun (kalau siri yang pertamanya iaitu Digimon Adventure ada lagu 'Butter-Fly' dan 'Brave Heart'), tapi sebab iramanya yang agak berulang dan catchy membuatkan muzik yang bersifat generik tu ada kalanya terngiang-ngiang jugak kat telinga peminat Digimon yang seorang ini, heh!

Sejak kemunculan siri anime pertamanya di dunia pada tahun 1999 (dah lebih sepuluh tahun dah rupanya!) dan di negara kita menerusi saluran NTV7 pada sekitar tahun 2001, siri animasi yang berdasarkan francais Digimon ini telah memiliki empat siri yang ditayangkan berturut-turut, bermula dengan siri Digimon Adventure yang diikuti dengan sekuelnya iaitu Digimon Adventure 02 (2000), seterusnya diikuti dengan siri baharu (bukan sambungan/kesinambungan) berjudul Digimon Tamers (2001) dan seterusnya diikuti dengan siri yang baharu juga (tiada kesinambungan iaitu Digimon Frontier (2002). Setelah menyepi selama empat tahun, pada tahun 2006, siri animasi Digimon kembali dengan format yang baharu dengan judul Digimon Savers (ataupun menurut judul versi Amerika Syarikatnya iaitu Digimon: Data Squad).

Dan selepas berakhirnya siri tu, maka Digimon pun kembali menyepi dari persada animasi. Siri-siri permainannya dan siri-siri permainan kad juga ada ketikanya naik dan laku di pasaran (terutamanya apabila munculnya siri animasi yang biasanya memang akan "mempromosikan" permainan tersebut dalam siri animasi mereka), begitu juga dengan siri-siri permainan videonya yang ada ketikanya muncul di persada konsol-konsol permainan. Dan memang benar, dari segi penceritaan dalam animasi, sememangnya boleh menang kat Digimon, tapi dari segi ketahanan produk, nampak gayanya ianya dimenangi oleh pesaing terdekat dan terhebatnya iaitu Pokémon!

Mungkin ramai yang lebih menganggap Pokémon lebih keanak-anakan berbanding Digimon, tapi tak dapat dinafikan, Pokémon masih lagi maintain tahap popularitinya, produksi produk-produknya juga masih konsisten, siri permainan videonya masih lagi diterbitkan dan sentiasa sahaja menguasai pasaran konsol-konsol handheld (daripada generasi pertama di konsol Game Boy sehinggalah ke generasi kelima di konsol Nintendo DS), sementara siri animasinya pula (yang bermula pada tahun 1997) masih belum tamat-tamat sehingga ke hari ini (dah lebih 600 lebih episod, dan dah 13 tahun, watak Ash Ketchum, yang asalnya sebaya dengan aku, masih lagi tak dewasa sepertimana aku sekarang, heheh!). Malah Pokémon ada laman sesawang rasminya sendiri (di samping puluhan laman sesawang peminat), sedangkan Digimon hanya ada laman sesawang rasmi untuk beberapa ketika sahaja (ketika sesuatu siri tengah ditayangkan), sementara komuniti peminatnyalah yang terus-menerus setia memastikan Digimon ni "hidup" di persada dunia.

Namun penantian demi penantian ini mungkin berbaloi memandangkan Digimon akan kembali lagi dengan siri animasi terbaharunya, untuk generasi baharu (iyalah, generasi yang menontonnya dulu dah "tua" dah sekarang ni, hehh!). Apakah nama siri terbaharunya ini?

Mempersembahkan, scan gambar daripada sebuah majalah hiburan dari Jepun mendedahkan mengenai siri animasi terbaharu ini!

Sila klik pada gambar untuk tumbesaran imej ini. Imej diambil dari laman sesawang Anime News Network.

Info lanjut yang secebis cuma boleh dibaca dari laman sesawang Anime News Network. Daripada gambar ini, didapati bahawa tiada seekor pun watak Digimon yang dipaparkan itu aku kenal, menunjukkan bahawa mereka akan memperkenalkan watak-watak Digimon yang baharu untuk siri ini (sepertimana sebelum-sebelum ini pun). Kecuali watak Digimon yang digelapkan yang berada dalam imej "poster" itu, yang kelihatan seperti (dan dinyatakan/disahkan oleh sumber sebagai) watak Greymon (tapi tak pastilah Greymon versi yang mana), dan caranya seolah macam Greymon dalam siri ini ialah watak jahat (tak seperti versi siri sebelum ini di mana Greymon ialah pasangan Digimon bagi watak hero).

Dan, daripada gambar ini juga, aku rasa mereka akan kembali kepada format asal siri Digimon iaitu dengan memaparkan protagonis utama siri itu sebagai seorang kanak-kanak (mungkin sekitar 10 tahun, umur yang cukup "matang" bagi seseorang kanak-kanak dalam sesebuah siri animasi, namun belum lagi mencecah usia remaja, hihihi!), yang juga memakai goggle, sepertimana protagonis-protagonis sebelum ini! Baguslah jugak, sebab setelah usaha mereka "meremajakan" siri Digimon menerusi animasi Digimon Savers gagal menarik minat aku, maka ini suatu yang baik. Sebetulnya aku ni tak berapa gemar dengan ciri-ciri klise dalam anime, dan malangnya, Digimon Savers ada kesemua aspek yang aku tak gemar tu, membuatkan aku tak boleh belah dengan siri tu. Watak utamanya digambarkan berumur 14 tahun, tapi perangai dan fizikal seolah dah berumur 19 tahun (dan tak memakai goggle!), dengan perangai samseng dan terlampau nak menegakkan kejantanannya yang tak bertempat (malah boleh bertumbuk dan menang dengan lebih daripada tiga orang dewasa, tak logik tu!). Harap-harap watak protagonis baharu ni "ceria" sepertimana watak-watak protagonis yang sebelum ini.

Oh, hampir terlupa pula nak bagitau judulnya. Ketika khabar angin mengenai siri ini muncul hujung tahun lepas, dikatakan tajuknya ialah "Digimon AROUnD". Itu baru working title dan tajuk sebenarnya mungkin berbeza dan akan diketahui bila nak diriliskan nanti. Dikhabarkan siri ini akan ditayangkan di Jepun pada bulan Julai tahun ini. Kepada "pencari-pencari" siri animasi secara tidak berapa sah (faham-faham la yea?), nantikan dan carikan di tempat-tempat anda selalu memuat turun siri TV anda, heheh!

Sementara itu, aku tak pasti apakah kita boleh menyaksikan siri ini secara "sah" di TV kita, sebab "terima kasih" kepada NTV7 yang berhenti menayangkan siri Digimon setakat Digimon Tamers sahaja, sementara siri Digimon Frontier (yang tidak digemari ramai kerana bertukar format kepada ala-ala "Power Rangers" sebab watak-watak dalam siri itu boleh "bertukar" menjadi Digimon dan bukannya memelihara Digimon seperti yang sepatutnya) langsung tak ditayangkan di sini. Digimon Savers yang lebih bercorak "dewasa" dan banyak perkara yang perlu dicensor kalau nak ditayangkan di sini itupun tak "berjaya" menembusi stesen TV kita. Mungkin ada harapan kot dengan siri terbaharu yang kelihatan lebih kid-friendly seperti siri-siri terawal (berbanding Digimon Savers).

Apapun, dengan munculnya siri animasi terbaharu ini, pasti akan muncul juga permainan-permainan yang akan dijadikan sebagai tie-in kepada siri ni. Tak sabar nak tengok bagaimana pula bentuk dan fungsi Digivice serta watak-watak Digimon baharu yang akan mengiringi siri ini, di samping permainan kad dan videonya yang pasti juga akan menyusul. "Perbincangan" lanjut mengenai siri ini boleh diikuti di internet, di laman-laman sesawang komuniti peminat Digimon, antaranya ialah laman sesawang With The Will ini.

*Kemaskini: Menurut laman yang aku rujuk, sudah ada tajuk rasmi bagi siri ini (namun mungkin ada perubahan pula nanti). Siri ini akan dikenali dengan tajuk DIGIMON CROSS WARS. Lagi perbincangan lanjut boleh melawat laman forum With The Will ini.

*Kemaskini lagi: Menurut imbasan gambar yang aku letakkan kat bawah ini, tajuk siri ini juga ditulis sebagai DIGIMON XROS WARS.

1 ulasan:

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang