Haha, ini sebenarnya adalah tajuk bagi episod ketiga belas (terakhir) bagi siri DUNIA ANITA musim ketiga di TV3, yang ditayangkan di situ pada hari Rabu, 12 Disember 2007 yang lalu.
Siri DUNIA ANITA ini ialah siri spin-off bagi siri PUTERI (yang diinspirasikan daripada filem PUTERI IMPIAN dan PUTERI IMPIAN 2), juga ditayangkan di TV3. Ahaks, ada fakta menarik di sini:
- Dalam filem PUTERI IMPIAN, Amy Mastura melakonkan watak yang bernama NORA. Dia bukanlah keturunan diraja dan tidak diberi nama "Puteri", tetapi dia menjadi "puteri" di dalam filem ini.
- Dalam siri PUTERI, Nora Danish melakonkan watak yang bernama PUTERI. Dia bukan keturunan diraja, dan tidak menjadi "puteri" dalam siri ini sungguhpun bernama "Puteri".
- Hmmm, sungguh menarik kaitan antara "Nora" dan "Puteri" yang kelihatan di sini...
Kedua-dua siri ini diterbitkan oleh ACE MOTION PICTURES SDN. BHD., syarikat milik bersama "bekas" pasangan suami-isteri Aziz M. Osman dan Nor Aliah Lee. Aii, sekarang ni kerap sungguh selebriti di negara kita ni bercerai-berai. Yang si Nor Aliah Lee tu pun, lepas bercerai sekarang sudah tidak bertudung, huhu sedih...
Ahem... maaf termelalut, kembali pada DUNIA ANITA...
Sebelum kita cerita pasal DUNIA ANITA, kita kena serba sedikit "menyelami" siri PUTERI. Sebab apa? Sebab dari siri inilah "lahirnya" DUNIA ANITA, sepertimana siri CSI: CRIME SCENE INVESTIGATION melahirkan siri CSI: MIAMI, yang kemudiannya dari situ, terlahirnya pula CSI: NY. Haa, ada faham?
PUTERI merupakan siri komedi (bukan sitkom) lakonan Nora Danish sebagai Puteri. Nama penuhnya ialah Puteri Farah binti Nordin. "Kenapa Puteri?", tanya Puteri dengan manjanya sambil menggosok gigi atau mensyampu rambutnya, bergantung kepada intro musim yang keberapa. Sebab arwah ibunya suka cerita Melayu lama-lama, begitulah alasannya, dan bukan kerana dia keturunan diraja, heh. Okay, bagi yang perasan, siri ini sebenar juga merupakan "iklan bersiri" bagi syampu jenama Sunsilk. Hmm, kalau nak diikutkan, sebenarnya banyak sungguh siri TV kita sekarang ni (terutamanya yang ditayangkan di stesen TV swasta seperti TV3) merupakan "ejen" bagi produk-produk tertentu, di mana, tak cukup dengan mengiklan produk tersebut pada waktu iklan (commercial break), malah dalam babak tertentu di dalam siri itu sendiri akan kelihatan watak tertentu yang akan menggunakan produk berkenaan "dengan sengaja" (iklan la tu!). Setiap episod WAJIB ada babak sedemikian. Hai, malah ada siri TV yang menjadi "sumber" iklan produk jenama Kotex (tajuknya KAISER NAIL ka apa entah... oh ya, tajuknya ialah KISAH KAISARA!)! Wow, kuasa pengiklanan!
Okay, termelalut lagi, heh! Kembali pada PUTERI, pada awal siri ini (musim pertama dan kedua), Puteri bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur, menyewa bilik di rumah pasangan suami-isteri yang kaya iaitu Pak Badar (lakonan A.R. Badul) yang kedekut nak mampos, dan Lillian (lakonan Louisa Chong) isterinya yang sangat bising. Teman-teman sebilik Puteri yang turut bekerja di tempat yang sama dengan Puteri ialah Kamala (lakonan Kanchana Devi) dan Anita (lakonan Siti Fazurina, orang Sungai Petani, Kedah, yeaah!!). Turut menghiasi siri ini ialah Roslan (lakonan Beego) pemandu peribadi Pak Badar.
Maka siri ini pun menghiasi TV kita dengan pengembaraan (atau lebih tepat, misadventure) ketiga-tiga gadis ini. Secara dasarnya, ketiga-tiga mereka memiliki perwatakan yang berbeza dan punya ciri-ciri tersendiri:
- Puteri dengan perwatakan lemah lembut dah "baik" budi pekertinya ("baik" merupakan sesuatu yang agak subjektif, dan watak Puteri ini sungguhpun ada kalanya memakai pakaian yang "seksa-seksa", dia tetap merupakan watak gadis yang "baik" mengikut konteks cerita ini, heh!) lagi manja (dan adakalanya menggoda, tapi dia ini masih "baik" tau!!), cakap pun pakai "saya-awak" dengan semua orang. Boleh dikatakan dia ini bersikap positif dalam semua perkara.
- Kamala pula merupakan watak yang sentiasa "blur" dan selalu melantunkan peribahasa yang sama ada tidak sesuai dengan situasi ataupun salah terus ataupun lari dari makna asal (kira macam dia ni perosak Bahasa Melayu la ni, heheh!). Sememangnya "badut" dalam cerita ini.
- Anita pula merupakan seorang yang sinikal, kasar (cakap pakai "aku-kau" dengan hampir semua orang), dan sememangnya tersangat bercanggahan dengan perwatakan Puteri. Boleh dikatakan sebagai 'rival' si Puteri.
Sungguhpun mereka ini bersahabat baik, namun agak jelas dan ketara kelihatan terdapat sedikit perasaan rivalry di antara Anita dan Puteri (lebih kepada Anita, sementara Puteri pula langsung tidak berperasaan sedemikian. Tambahan pula masing-masing menyukai lelaki yang sama iaitu si Roslan. Nah, pantang ada peluang sikit, nampak saja seolah Puteri buat sesuatu yang salah, dengan pantasnya Anita akan membesarkan perbuatan itu. Tapi akhirnya mereka berbaik semula. Namun boleh dilihat hubungan mereka sangat rapuh, dan bila-bila masa saja boleh "pecah" hubungan itu.
Hah, cara aku cerita pasal mereka berdua ni, dah tak nampak macam ini siri komedi la pulak! Sebenarnya itu cuma subplotnya saja. Cerita ini memang lawak, dan adakala mereka 'spoof' filem atau apa saja trend terkini di Malaysia (tapi sudah tentulah tidak menggunakan nama atau judul sebenar!).
Selain dalam siri PUTERI, Puteri juga muncul dalam satu iklan Sunsilk 'crossover' dengan Illyana (lakonan Lydia Ibtisam) dan Kak Jun (lakonan Wardina Safiyyah) dari siri IMPIAN ILLYANA (yang juga ditaja/mengiklankan produk syampu Sunsilk dalam sirinya!). Ini memberi gambaran bahawa siri PUTERI dan siri IMPIAN ILLYANA berada dalam 'universe' yang sama! Tapi berlaku pula 'paradoks' kerana Lydia Ibtisam juga berlakon dalam siri DUNIA ANITA (yang kita yakin turut berada dalam universe yang sama juga) sebagai Eton! Jadi ini bermakna akan ada dua orang perempuan yang berbeza nama dan latar belakang serta asal-usul (Illyana di KL, Eton di JB) tapi mempunyai wajah yang serupa!
Pada episod terakhir musim kedua bagi siri PUTERI (kalau tak salah la), sesuatu telah terjadi yang mungkin telah menambah-retakkan lagi hubungan di antara Puteri dan Anita sehinggakan dalam episod baru musim seterusnya, sudah tidak kelihatan lagi si Anita dalam siri ini. Malah mereka juga (termasuk Roslan) rupanya sudah dihalau oleh Pak Badar atas kesalahan tertentu, dan dalam episod pertama musim seterusnya. Wah, menyesal aku tidak menonton episod ini, akibatnya sampai hari ini aku tak faham kenapa Anita meninggalkan Kuala Lumpur.
Dalam musim seterusnya, Puteri dan Kamala terpaksa menumpang di rumah kakak kepada Roslan iaitu Kak Amy (lakonan Amy Mastura, the original "Puteri"!) dan suaminya (tak ingat nama watak, lakonan Salleh Yaakob). Turut "menumpang" bersama mereka (melengkapkan kumpulan mereka kepada tiga orang gadis) ialah Soosan (lakonan Melissa Tong), seorang gadis keturunan Cina (ha, ni baru betul; Melayu + Cina + India!) yang anehnya punya wajah yang sangat mirip dengan Anita! Malangnya watak ini hampir tak ada beza dengan Kamala (kedua-duanya hanya sebagai comedic relief, jadinya agak hambar kerana tak ada konflik atau 'tension' di antara hubungan mereka kerana tiadanya "Anita".
Musim terkini PUTERI, iaitu musim lapan (wow!), Puteri dan Kamala serta Roslan akhirnya kembali ke rumah Pak Badar (atau lebih tepat lagi, Pak Badar yang KEMBALI dalam siri PUTERI), kali ini watak ketiga ialah Nadia (lakonan Intan Ladyana), anak saudara Pak Badar. Ya, dia ni lagi teruk, sebab bukan saja perangai "tak berapa elok" sepertimana si Anita, malah dia ni langsung tak berkawan dengan Puteri dan Kamala, malah lebih kerap berseteru. Oh ya, seperti Anita, Nadia ni juga berebutkan Roslan (amboi, macam la tak ada mamat lain kat dunia ni yang nak direbutkan).
Secara jujur, aku dah tak begitu mengikuti siri PUTERI mutakhir ini kerana aku layan siri ni dulu pun sebab adanya Anita. Tak ada Anita, siri itu tiada "seri"nya lagi, huhu... Tapi mungkin aku akan cuba tengok-tengokkan musim 8 siri ini, sebab ianya boleh ditonton secara streaming di laman web TV3 sendiri! Hoh, kan bagus kalau ada semua episod bermula dari musim 1 dulu (atau sekurangnya setakat episod akhir ada Anita di dalamnya tu pun jadilah)! Tapi tak mengapalah, sungguhpun cuma ada episod Hari Raya (khas) dan antara episod 8 hingga 13 untuk musim 8 (endingnya cliffhanger!), lagi bagus daripada tak ada langsung kan?
Lalu, ke mana perginya Anita? Yaa... nantikan pos aku yang berikutnya.
Bersambung man...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen ja. Tak kisah punya...