Pada hari Ahad 9 Disember 2007 yang lalu, TV9 telah menayangkan (semula) sebuah filem Senario, ataupun maksud di sini, filem lakonan kumpulan lawak nombor satu di Malaysia (sebab mana ada kumpulan lawak yang lain dah, duh!) yang bernama Senario itu, yang diberi judul LANG BUANA (klik juga di sini). Menonton semula filem ini (sungguhpun tak tengok dari awal sebab dok tonton CSI: MIAMI di ntv7 pada ketika itu) merupakan suatu pengalaman "baru" bagi aku, kerana ketika menontonnya buat pertama kali di TV3 pada Hari Raya Puasa dua tahun yang lalu, banyak sungguh babak yang TV3 potong, supaya muat pada slot masa tayangan itu (campur dengan iklan). Jadi filem ini dicompress baik punya! Huh, memang tak best la kalau nak menonton filem kat TV3 nih!
Filem ini merupakan sebuah filem Senario yang "ganjil" kerana ianya tidak diarahkan oleh Aziz M. Osman seperti filem-filem Senario, sebaliknya diarahkan oleh Mamat Khalid, adik kepada kartunis terkenal Malaysia yang bernama Mohammad Nor Khalid a.k.a. Lat. Bercorakkan "Filem Komedi", tapi ianya juga merupakan filem yang "Serius Ya Amat". Haha, baca tagline dia pun dah mampu membuatkan aku ketawa terbahak-bahak apabila menatap cover VCD (yang juga merupakan gambar yang sama yang digunakan dalam poster filem ini). Ya, VCD original (asli, orang kita juga panggil "ori") yang kubeli beberapa ketika dahulu. boleh dikatakan sebaik sahaja . Hai, entah ke manalah perginya VCD tu sekarang...
Ehem... berbalik pada filem ini, seperti yang dicadangkan oleh taglinenya itu, filem ini merupakan sebuah satira bagi situasi politik di negara kita sebenarnya. Boleh terlihat melalui watak-watak yang ditampilkan berserta konflik yang terjadi. Malah unsur-unsur anakronisma (memaparkan sesuatu yang melangkaui zaman yang digambarkan, sesuatu yang sepatutnya belum wujud pada zaman berkenaan) yang dipaparkan mengingatkan aku pada filem-filem komedi purbawara P. Ramlee (contoh: Ali Baba Bujang Lapok). Filem ini memaparkan tema perpaduan kaum dan rakyat menentang pencerobohan musuh. Ya.. perpaduan..
Alkisah sebermulanya filem ini dengan setibanya tiga orang lelaki yang mengembara menggunakan sampan, di sebuah pelabuhan di sebuah wilayah/kota yang diberi nama Lang Buana, dipercayai berada di dalam negeri Perak (ya, sungguhpun tak dinyatakan atau memang aku sendiri yang tak perasan sebab tak peka, tapi ada bukti mengatakan ianya berlaku di negeri Perak, akan dinyatakan di bawah nanti). Tiga orang lelaki ini bernama, Gunung (lakonan Saiful Apek, sekarang sudah ex-Senario), Daik (lakonan Wahid Senario) dan Bercabang (lakonan Azlee Senario, HERO filem ini sungguhpun kalau nak ikut susunan namanya kena letak last). Hehe, mengena sungguh nama mereka ini, mereka pun berTiga (gunung daik bercabang tiga, paham tak? Ahahaha!). Ehem, dengan tak semena-mena, mereka disambut oleh Datuk Merewang (lakonan Kuswadinata), pemimpin Lang Buana. Eh, rupanya mereka bertiga merupakan Putera-putera Raja yang ditunggu oleh penduduk Lang Buana? Ah, ikut sajalah, kata mereka bertiga sesama sendiri.
Rupanya Lang Buana menghadapi ancaman musuh. Mereka akan diserang oleh tentera-tentera pimpinan Sang Nira yang sangat kejam, menurut kata Datuk Merewang. Rupanya Sang Nira merupakan adik kandung Datuk Merewang yang atas sebab tertentu ingin menguasai Lang Buana dan merampasnya dari Datuk Merewang. Ini bertambah teruk apabila Sang Nira merantau ke Jepun dan belajar di sana, dan sekembalinya, dia sudah menjadi samurai/shogun (hoh, tak tahulah, tapi dah pakai macam samurai!) dan entah macammana mempunyai angkatan tentera yang tak tahu dari wilayah/daerah/kampung mana dikerahnya. Digambarkan tentera-tenteranya itu, sungguhpun tak berbaju dan cuma berselepang merah (Sang Nira sendiri berkasut warna merah, hah!), tapi sangat gagah dan digeruni oleh penduduk Lang Buana yang pernah berperang dengan mereka. Malahan orang kanan Sang Nira, bernama (ataupun dirujuk sebagai) Kwai Chang Caine (berdasarkan nama watak Kwai Chang Caine dalam siri TV KUNGFU: THE LEGEND CONTINUES, huhu, minat jugak siri ni dulu-dulu) yang sungguhpun kerjanya cuma ketawa dengan suara kecil, namun mampu menegakkan bulu roma orang di sekeliling. Begitulah dahsyatnya kehebatan dan kejahatan bala tentera Sang Nira.
Maka, ketiga lelaki ini terpaksalah berlagak sebagai anak raja sepertimana yang dipercayai oleh penduduk kampung kerana kehadiran mereka menaikkan semangat penduduk kampung. Lalu mereka pun harus membantu orang Lang Buana menyumbangkan tenaga dan merangka strategi untuk menghadapi serangan Sang Nira tidak lama lagi. Masing-masing mempunyai kebolehan tersendiri. Gunung yang senantiasa membawa gambus mempunyai kebolehan untuk mengarang pantun dan lagu sungguhpun pada saat getir (ces...). Daik pula boleh "meramal" melalui mimpinya, hmm... Bercabang pula, sebagai hero dan natural leader. Hah, memang lawak melihatkan Azlee sebagai Bercabang, berlakon watak yang serius. Bukannya lawak sebab apa, tapi kelihatan dia berbakat membawa watak sebegitu. Tak melampau kalau dikatakan dia lebih boleh membawa watak serius daripada watak kelakar yang selalu kita lihat dalam sitkom Senario, hah!
Namun ada juga di kalangan orang kanan di Lang Buana yang cemburu dengan kehadiran tiga orang "putera" ini. Kiambang (lakonan Mazlan Senario) dan dua orangnya sentiasa mempersoalkan kesahihan tiga orang lelaki itu sebagai putera raja. Di samping itu Kiambang sentiasa mempromosikan dirinya sebagai yang paling layak memimpin bala tentera Lang Buana untuk menentang Sang Nira. Malah sanggup untuk bekerjasama dengan seorang pembesar Inggeris yang bernama Frank Mockingpower (hahaha, apa kehal nama macam itu? Apakah kerana pembesar Inggeris "menghina kuasa Raja Melayu?), yang menawarkan mereka dengan senjata iaitu "bom" (ini yang selalu diungkit oleh Kiambang setiap kali mempersoalkan strategi mereka menghadapi Sang Nira kerana usulnya membeli bom ditolak oleh Datuk Merewang. Walaubagaimanapun, hakikatnya Kiambang seorang yang pengecut dan paling terakhir turun ke medan perang sungguhpun di bajunya terdapat pelbagai pingat yang entah dari mana dia dapat.
Di suatu sudut pula, kelihatan seorang bangsawan Melayu yang bergaya a la Elvis Presley sedang berakit bersama pengikutnya. Rupanya Orang Kaya Seri Bentan (lakonan Shamsul Ghau Ghau) sedang memburu dan menjejak "tiga ekor kera" iaitu hamba-hamba abdinya yang sudah melarikan diri. Haaaa... dah boleh agak kan siapakah tiga orang "kera" yang dimaksudkan tu?
Menyedari dengan kekuatan yang ada, penduduk Lang Buana memang tidak akan berpeluang mempertahankan kota mereka itu, maka terpaksalah diadakan rombongan yang diketuai Datuk Merewang dan disertai Bercabang, Daik, Gunung serta "kekasih" baru mereka masing-masing iaitu Kesuma (lakonan Kuniey) anak Datuk Merewang, Syarifah Aini (hoho, tak tipu nih, memang itu nama wataknya) atau lebih mesra dipanggil Che Pah (lakonan Tuty), dan Xin Xin (lakonan Sue Tan). Rombongan ini bertujuan meminta bantuan ketenteraan daripada wilayah-wilayah yang berjiranan dengan Lang Buana.
Haaa, di sinilah "perpaduan kaum" cuba digambarkan, mengikut konteks dunia filem ini. Wilayah pertama yang dituju ialah wilayah yang aku tak ingat namanya, diketuai oleh "Putera Jawa" (???) yang bernama Diponingrat Pemanahan Berapoeke Kiyemau (ya ampun, namanya panjang banget sih!). Sungguhpun Jawa, tapi boleh difahami bahawa ini merupakan analog (err... betul ka penggunaan istilah aku ni?) bagi keturunan India di Malaysia (agaknyalah sebab mereka langsung tak wujud dalam filem ni). Alkisah rupanya Bercabang dan Diponingrat ini "kawan satu asrama" suatu ketika dulu. Dikatakan Diponingrat ini datang ke Tanah Melayu untuk menjual keretek, hehehe! Akhirnya dia pun bermastautinlah di sini dengan kaum-kaumnya. Maka Bercabang yang berupaya berbahasa Jawa pun memujuklah Diponingrat agar membantu Lang Buana menghadapi serangan Sang Nira. Namun perbincangan mereka di dalam Bahasa Jawa (yang langsung tidak akan kita fahami melainkan jika kita memang memahami bahasa ini kerana tiada sarikata) itu tidak membuahkan hasil. Antara kalimah yang saya agak dikatakan oleh "Putera Jawa" ini ialah "orang Melayu angkuh". Hmm...
Seterusnya mereka menuju pula ke "kampung Acheh" (?). Kelihatan penghulu sedang melaksanakan hukuman sula ke atas seorang pesalah (lakonan Wahid Senario, haha, memang pelakon Senario banyak direcyclekan sebagai watak-watak lain dalam filem ni). Oh, rupanya kampung, pemimpin dan rakyat di sini merupakan analog bagi negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS agaknya kot. Agak jelas kelihatan sebab watak penghulunya yang dipanggil oleh Datuk Merewang sebagai Abang Haji (lakonan M. Rajoli) dilakonkan dengan cara yang sedemikian. Hoh, tak kisah la dia nak gambarkan sebagai siapa, tapi agak malang sebab di mata Mamat Khalid, Acheh seolah sebuah negeri a la Taleban yang bersifat ekstrim. Gambaran sama diberikan dalam filem PUTERI GUNUNG LEDANG (klik juga di sini) yang juga ditulis lakon layarnya oleh Mamat Khalid. Hmm... bukan Mamat Khalid sorang ja, ramai lagi pengarah yang suka bagi gambaran "buruk" pada orang sebegini (berserban, berjubah...). Dalam pada itu sempat pula Datuk Merewang dan penghulu ni berdebat soal Islam dan aku cuma boleh tersenyum sambil menggeleng kepala.
Setelah gagal juga, maka rombongan itu sudah buntu hendak ke mana lagi untuk meminta bantuan. Dalam pada itulah Datuk Merewang mengakui bahawa memang dahulunya pada zaman kegemilangan Lang Buana, mereka angkuh dan bermusuhan dengan kedua-dua pihak lain ini ("Putera Jawa" dan "Penghulu Acheh"). Akibatnya pada saat genting sebegitu, agak sukar untuk menagih pertolongan daripada pihak itu. Lalu dicadangkan supaya mereka ke Kampar, kampung halaman Xin Xin. Xin Xin yang keberatan terpaksa akur.
Ha, kenapa Xin Xin keberatan? Sebab dahulunya dia pernah mengingkari bapanya dengan mengahwini orang Melayu dari Lang Buana (yang akhirnya dibunuh oleh Sang Nira). Maka setibanya mereka di Kampar (yang sememangnya mewakili keturunan Cina di Malaysia, bukannya analog lagi dah ni), seperti dijangka bapanya Xin Xin iaitu Kapitan Wong Pak Eu (lakonan Loloq!) yang merupakan ketua di situ menghalau Xin Xin dan "orang-orang Melayu itu) pergi dari situ. Namun sebelum itu sempat berlaku sedikit debat antara Xin Xin dan bapanya itu mengenai perlunya "mencurahkan bakti di tanah ini dan bukannya di tanah besar China nun". Hmm...
Maka pulanglah mereka semua dengan perasaan hampa. Terpaksalah mereka menghadapi tentera Sang Nira dengan apa yang mereka ada. Apakah mereka berjaya menyekat seterusnya menewaskan bala tentera Sang Nira? Siapakah yang akhirnya berjaya membunuh Sang Nira memandangkan memang ramai benar watak dalam filem ini yang ada dendam peribadi (personal vendetta) dengan Sang Nira (yang dipaparkan melalui adegan flashback watak-watak ini). Apakah bantuan yang ditagih sebelum ini tiba jua akhirnya? Apa pula kaitan Orang Kaya Seri Bentan dengan Frank Mockingpower?
Babak perang yang ditampilkan memang "rasa macam epik" tapi tak cukup epik. Namun biasalah tu, inikan filem Malaysia? Bukanlah bermakna aku pandang rendah, cuma tak begitu mengharapkan apa-apa yang gempak. Hasilnya aku berpuas hati menontonnya jika expectation (ekspektasi?) aku rendah. Cuma yang lucunya tu, kedua-dua pihak seolah macam memberi peluang/giliran kepada pihak lawannya ketika awal peringkat perang. Ketika pemanah tentera Sang Nira memanah, pihak Lang Buana cuma menunggu sambil menahan dengan perisai masing-masing (ada yang cuma berperisaikan doa!). Kemudian apabila tentera Lang Buana pula menggunakan manjanik berpelurukan buah durian (hahahaha!), pihak Sang Nira pulak menunggu. Sebijik macam main turn-based strategy game! Sudah la tu, setiap pihak ada unit-unitnya tersendiri (contohnya tentera Kapitan Wong ada seorang sharp-shooter). Apahal pun memang suatu pengalaman yang menarik la tengok babak perang dalam filem ni. Rasanya tak ada lagi dalam filem Malaysia lain yang dibuat sebegini mutakhir ini (dalam era tahun 2000an) yang ada perang purbawara berskala epik sebegini.
Keseluruhannya, memang ini filem satira yang berunsurkan politik, yang tak kurang juga ganasnya (ouch!). Hairan juga filem sebegini boleh melepasi tapisan tanpa banyak bicara! Mungkin sebab ada Senario, jadi orang ingat ini filem komedi yang tak perlu diambil serius (sungguhpun posternya dah bagi amaran: "(filem ini) Filem komedi... serius ya amat!"). Yang pasti, ada pelbagai pihak yang mungkin akan tersinggung dengan filem ini, melalui cara perwatakan watak-watak tertentu digambarkan di sini. Dan ada persoalan yang tak dapat difahami seperti dari mana Sang Nira dapat bala tenteranya. Serta kemunculan Sultan Perak (dia sebut "bonda tengah risau di Kuale", heh, Kuale Kangso le tu!) pada hujung filem menimbulkan persoalan kenapa baginda tak menghantar bala tenteranya melindungi Lang Buana yang di bawah jajahannya itu? Hmm..
Walau bagaimanapun, kesimpulannya filem ini memang lawak, tapi sinis. Tengok intro pun dah boleh nak tergelak! Watak-watak yang ada dalam filem ni memang lawak la cara mereka diberi nama, memang sesuatu yang agak tongue-in-cheek (watak Gunung.. Daik.. Bercabang.. Abang Control.. Merewang.. Seri Bentan.. Mockingpower.. Saga, Wira dan Perdana pun ada!). Malah dialog lawaknya juga memang lawak, kira banyak juga dialognya yang "quote-worthy" (tapi aku tak ingat la sebab nak kena tonton semula dan ini bermakna nak kena cari balik kat mana perginya VCD aku tu). Pendek kata boleh dipuji la ada filem lawak sebegini (bukan macam filem arahan seorang "Profesor Madya" tu, huh!).
Oh ya, rupanya filem ni pernah dicalonkan/menang (tak pasti) dalam Festival Filem Malaysia 2004 kategori Anugerah Khas Juri: "Poster terbaik" (haha, ini setuju sesangat!) dan "Filem yang berunsur kesetianegaraan dan perpaduan kaum" (ini pun setuju jugak!).
Haha, setakat ini sajalah ulasan panjang lebar lagi merapu aku ke atas filem ini. Kalaulah aku jumpa semula VCD Lang Buana aku tu, mesti lagi menyeluruh dan panjang lebar rebiu ini, ahem...
Tentang Makanan yang Disediakan oleh Bukan Ahli Syahadah
-
Pertanyaan : Assalamualaikum. Nak minta sedikit pencerahan atau pendapat
tentang makanan dan minuman yang disediakan oleh orang bukan Islam dari
sudut...
5 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen ja. Tak kisah punya...