Cewah, tajuk entri ni macam tajuk tesis la pulak, hahah! Ahem, dalam pos aku yang lalu dan yang lagi satu, aku telah menceritakan serba sedikit mengenai watak-watak yang terdapat dalam siri PENDEKAR 5 ni. Jadi, untuk "tesis" aku yang berikutnya, aku nak ceritakan mengenai pandangan dan pemerhatian aku terhadap siri yang buat aku kadang-kadang suka dan kadang-kadang tak suka ni.
Ya, aku tak boleh bagi kata putus sama ada aku nak suka atau tak suka dengan siri ni. Dari satu sisi, aku memang suka tengok cerita "lawan-lawan", cerita pasal "hero", cerita pasal "hero dalam pasukan", cerita "purbawara", dan PENDEKAR 5 ni memiliki ciri yang aku suka tu. Walau apapun, biar aku perincikan tang mana yang best, tang mana yang tak best, secara umum, hehe...
KOREOGRAFI
Dari segi koreografi, terus terang aku cakap, ianya tidak mampu menandingi era drama seperti PENDEKAR KUNDUR ataupun kegemaran aku sendiri iaitu KERIS HITAM BERSEPUH EMAS. Aku pun tak pasti langkah silat mereka sumbang atau tak (sebab aku pernah belajar Tae Kwan Do ja, huhu), tapi memang boleh terlihat yang ada beberapa babak lawan yang kelihatan "perlahan", sebab pelakon dok "berhati-hati" dalam mengatur langkah (takut tercederakan orang atau diri sendiri la kot). Yang paling aku perasan ialah ketinggian kaki yang diangkat ketika menendang. Aduh, takat angkat rendah macam tu, aku yang tak pernah berguru dengan guru silat ni pun boleh! Ini belajar di gua ni, takkan takat tu ja boleh angkat kaki, haha!
Tapi boleh dipuji la memandangkan boleh kata semua babak lawan ni dilakonkan SENDIRI oleh pelakon-pelakonnya yang rasanya "kurang" latar belakang silat, heh. Seronok woo tengok Nora Danish berlawan, orang jahat pun boleh terleka dan tak fokus waktu berlawan dek terpegun melihat keayuannya sampai bisa dikalahkan oleh Nora Danish, hah!
Oh ya, biarpun tak setanding cerita silat zaman dulu, sekurang-kurangnya koreografi silat dalam siri ini LEBIH BAGUS daripada cerita "pendekar" terbitan HVD Entertainment (M) Sdn Bhd yang ternyata telah banyak meng"kungfu"kan drama silat (masih ingat cerita PENDEKAR KEMBAR dan "anak-pinak"nya sekitar pertengahan 90an dulu?). Kiranya tak ada la babak terbang-terbang ala kungfu Jet Li apa semua tu.
EFEK KHAS
Bila cakap pasal cerita Aziz M. Osman, tak salah kalau tak ada kesan khas. Cerita purbawara macam ni pun tak terlepas daripada "tangannya" dalam menyelitkan efek sebegini. Haha, cerita ini ada sedikit unsur "magis", jadi akan ada watak tertentu yang akan buat jurus tertentu yang akan kelihatan seperti aura, tapi mujurlah cuma ada dalam episod pertama, dan ianya cuma mimpi, hah! Sementara dalam dunia sebenar (menurut cerita itu la), jurus yang dipakai lebih bersifat realistik.
Tapi efek khas juga digunakan dalam babak tertentu. Akan terdapat babak di mana sesuatu watak itu kononnya sedang berada di sesebuah lokasi (seperti atas kapal, dalam gua, atas gunung, atau mungkin di negeri asing) dan ianya akan digambarkan dengan teknik (ni aku pakai nama rekaan sendiri sebab tak tahu istilah profesionalnya) "penggambungan latar". Watak sebenarnya cuma berdiri di layar biru barangkali, dan latar "palsu" akan dimasukkan. Ya, "palsu" kerana memang ketara sangat kelihatan "kepalsuannya". Ai, apa nak buat, bila teknologi makin canggih, orang jadi makin "malas". Bukannya makin nampak real, malah sebaliknya.
CERITA
Secara peribadi memang aku sedikit tertarik dengan premis siri ini. Penceritaan semula kisah Hang Tuah bersaudara, yang tidak terikat dengan sejarah atau hikayat. Kalau betul-betul kreatif, boleh jadi satu kisah yang epik. Atau boleh mengundang kemarahan 'purist' (yang sukakan karya asli dan bencikan sebarang pengubahan dalam sesuatu karya kegemarannya), hoho!
Setakat ini, memang aku kena mengaku, aku suka dengan 'twist' yang diberikan dalam kisah mereka ini. Antaranya ialah dengan meletakkan hubungan percintaan antara Hang Tuah dengan Tun Fatimah (yang bagi aku lebih logik daripada dengan Puteri Gunung Ledang, wahai Mamat Khalid!), dengan Tun Mamat sebagai "orang ketiga".
Tindakan mengubah keturunan atau kaum bagi watak Hang Lekiu dan Hang Kasturi juga merupakan sesuatu yang menarik. Memang dulu pun pernah orang "berteori" (atau buat lawak?) bahawa Hang Berlima ni bukannya orang Melayu asli lagi sejati, sebaliknya orang Cina yang datang ke Melaka sezaman dengan Puteri Hang Li Po (macam logik jugak, sebab nama mereka semua ada "Hang"), dan kononnya tak pernah ada dalam sejarah bahawa ada orang Melayu yang lain yang nama "Hang" (hmm... orang ini lupa kot, masih ada Hang Nadim, Hang Siak dan Hang Isap). Maka, antara lawak yang selalu kita buat ialah men"Cina"kan nama mereka, dan nama Lekiu memang antara yang paling masuk akal (Lee Kew sebagai contoh), haha!
Menukar Hang Kasturi kepada etnik India juga sesuatu yang masuk akal, kalau diikut dari segi perkataan pada namanya itu sendiri la. Dan, sebagai menampakkan kemajmukan budaya bangsa di Malaysia, maka sekali lagi aku kata, alasan pembikin siri memang agak boleh diterima pakai. Dan buat masa ini, tak terjumpa pun ada mana-mana pihak yang menentang cara siri ini. Ertinya memang diterima umum? Ataupun langsung tak dipedulikan orang lain? Hohoh!
Dan lagi satu, memperkenalkan "sejarah awal" dalam hubungan antara Hang Jebat dan Dang Wangi pun salah satu twist yang menarik. Kalau dalam hikayat, kita cuma kenal Dang Wangi ni sebagai antara dayang yang "ditiduri" (dan seterusnya mencintai) Jebat semasa dia mengamuk dan menguasai istana, dan ada pula yang "menyucikan" lagi Jebat dengan menyatakan bahawa mereka sempat bernikah pada ketika itu untuk "menghalalkan" hubungan mereka.
Tapi untuk siri ini, kita "didedahkan" bahawa Dang Wangi dan Hang Jebat kenal lebih awal daripada itu. Malah dalam siri ini juga dipaparkan bahawa mereka sudah menikah sementara Wangi masih menjadi dayang di istana (masih tak sampai ke cerita pembunuhan Tuah dan penderhakaan Jebat). Namun akhirnya terpaksa bercerai kerana Wangi "sudah menjadi milik Sultan".
Dan peristiwa-peristiwa inilah yang menyebabkan jiwa Jebat memberontak. Yeah, benih-benih "penderhakaan" Jebat sudah ditanam hampir sejak awal lagi siri ini bermula, melalui dialog-dialog yang dipaparkan, serta "tragedi-tragedi" yang menimpanya. Rasanya hanya kerana menghormati Hang Tuahlah (yang dianggap dan selalu dipanggil "Abang Tuah") yang membuatkan dia masih mampu mengawal dirinya.
Maka di sini timbul rasa tak puas hati aku. Pembikin siri ni memberi kita banyak alasan untuk bersimpati dengan Jebat. Maknanya Jebat akan memiliki "justifikasi" untuk menderhaka suatu ketika nanti, dan kita selaku penonton akan turut terdorong untuk "menyokong" tindakannya lantaran kezaliman yang sering menimpanya, biarpun ianya merupakan perbuatan pegawai istana lain yang korup, dan bukannya akibat Sultan itu sendiri.
Kemudiannya kita ada Sultan yang dikelilingi oleh pegawai istana yang korup, dan kelihatannya dia tidak sedar akan hakikat itu, sebab orang yang tak korup pun tak "berani" nak bersuara atas sebab yang aku sendiri kurang jelas.
Kemudian kita ada watak Tuah yang setia pada raja. Dan tafsiran semula yang popular dan mendapat tempat di hati ramai orang kita menggambarkan Tuah sebagai bodoh dan mengangkat Jebat sebagai "wira" yang sebenar.
Maka ini yang buat aku kurang puas hati. Memandangkan mereka mengambil kebebasan dalam "mentafsir" semula "hikayat" ni, mereka setidaknya boleh ubah suai cerita ni menjadi sesuatu yang berbeza terus. Dan memang ada banyak yang "diubah", tapi ianya kelihatan seperti tetap menuju ke arah yang sama, dan lagi teruk, menggambarkan Sultan yang dikelilingi orang korup yang (bakal) menjadi punca amarahnya Jebat. Jebat diberi lebih banyak alasan untuk disimpatikan.
Tuah pula biarpun mempunyai falsafah sendiri mengapa dia setia pada pemerintah, tapi alasannya tak cukup kuat untuk ada sesiapa pun manusia di zaman yang serba kompleks ini untuk "memihak" padanya. Apa lagi watak Tuah dan Bendahara kerap benar menyebut "pantang anak Melayu menderhaka" untuk memujuk Jebat atas "kehilangan" Wangi kelihatan melampau, seolah untuk menghalalkan korupsi yang dilakukan oleh pegawai istana, dan yang buat Jebat marah kepada Sultannya juga yang ternyata "tidak bersalah" atas permainan politik pegawai-pegawai istana yang korup itu.
Dan Sultan tu sendiri, biarpun tak digambarkan sebagai jahat atau zalim, tapi perwatakannya tetap jatuh ke kitaran yang sama. Memiliki dayang, dan digambarkan "mendatangi" dan "menyentuh" dayang-dayangnya itu. Oops, jangan salah faham! Tak ada la dipaparkan babak camni hanya di TV (ni cerita Malaysia la, mana boleh lucah camtu!). Hanya melalui dialog Dang Wangi, yang menyatakan bahawa dia hairan kenapa Sultan TAK PERNAH "menyentuh"nya (membayangkan bahawa Sultan memang "menyentuh" dayang-dayang yang lain). Aku cuma harap mereka boleh la "bersih"kan imej Sultan daripada gambaran sebegini, tapi ternyata tidak, huhu.
Tu tak masuk lagi bab yang bakal berlaku nanti, iaitu pertarungan antara Tuah dan Jebat. Haha, aku pasti kalau orang tengok cerita pasal Hang Tuah, mesti babak konfrantasi antara mereka berdua ini yang dinantikan sangat-sangat. Boleh dikatakan sebagai "clash of the titans la ni. Dan aku yakin memang banyak "mazhab" atau aliran pemikiran mengenai siapa yang lebih layak diangkat sebagai "wira" yang sebenar. Dan dalam zaman sekarang ni, aku yakin ramai yang cenderung kepada Jebat.
Aku tak suka la kalau sekali lagi watak Tuah digambarkan sebagai setia yang "buta tuli". Bagilah sedikit kewajaran kenapa dia perlu bunuh Jebat. Dan cerita ini merupakan salah satu daripada platform untuk melaksanakannya. Jadi kalau cerita ni mengulang benda yang sama, rasanya tak best la, tambah pulak kalau sekali lagi mereka gambarkan Tuah sebagai lemah, tak berprinsip, sedangkan aku lebih cenderung kepada kedua-duanya sebagai "wira", cuma cara yang berbeza, dan ada di antara mereka yang perlu diakui sebagai "tersalah langkah".
Jadii aku memang berharap sangat "penceritaan semula" ni tak berakhir dengan cara yang sama. Kalau dah mereka boleh twist dan melencong dari penceritaan asal pada awal cerita, kenapa tidak mereka buat yang sama untuk pengakhirannya nanti kan?
Pi mai pun, kisah penderhakaan Jebat tu hanya ada dalam HIKAYAT HANG TUAH, sedangkan kalau dalam SEJARAH MELAYU (yang pastinya lebih tepat) digambarkan yang menderhaka tu Kasturi, bukannya Jebat.
Malah dalam satu buku kajian sejarah yang pernah aku baca (lupa dah tajuk, pernah pinjam di Perpustakaan), kemungkinan besar yang wujud hanya TIGA orang sahaja, iaitu Tuah, Kasturi dan Lekir. Dikatakan Lekiu tu sebenarnya merujuk pada Lekir juga, tapi cara sebutan (yang tak reti sebut huruf 'R') dan ejaan pada namanya yang terkadang tertukar/tersalah memanggil Lekiu, membuat orang ingat mereka orang yang berbeza. Sementara Kasturi pula, digambarkan orang yang baik dan namanya "wangi" bak "kasturi". Tapi setelah menderhaka pada Sultan (seperti yang dicatatkan dalam Sejarah Melayu), maka namanya menjadi "busuk" bak (musang) jebat. Maka orang pun tak panggilnya sebagai "Kasturi" lagi, sebaliknya nama "Jebat" yang kekal padanya. Hmmm.... teori yang menarik...
Ahem, maksud aku di sini ialah, kemungkinan mereka berlima ni tak wujud langsung pun, jadi apa salahnya tukar ending. Buatlah bagi Jebat tak dibunuh Tuah, atau Sultan mengampunkan Jebat, atau Jebat berjaya "disembunyikan" sepertimana Tuah disembunyikan oleh Bendahara tu. Ala, segalanya mungkin, hanya terbatas oleh imaginasi penulis skrip tu sendiri, hehe.
PERGELUTAN POLITIK
Ya, sekali pandang, memang kelihatan menarik kisah yang disusun untuk tontonan kita. "Permainan" politik yang agak berat disajikan dalam bentuk yang santai. Namun, aku rasa permainan politik di sini ada yang "menyindir" realiti politik di negara kita, dan aku rasa agak hairan tak ada siapa yang "tersinggung", heheh!
Cakap pasal tersinggung, ternyata "negara" yang paling jahat sepertimana yang dipaparkan dalam siri ini ialah kerajaan Majapahit. Dan kerap digambarkan melalui watak-watak orang Jawa yang bengis dan sering berlawan dengan Hang Berlima ini. Malah mereka juga ada seorang "proksi" menerusi Patih Kerma Wijaya, yang dibantu oleh sang Temenggung.
SERIUS ATAU KOMEDI?
Cakap pasal "santai", ada satu lagi "masalah" dalam siri ini. Aku selaku penonton tak pasti sama ada nak ambil serius atau tidak siri ni. Maksud aku ialah, samada ini cerita yang serius, santai atau komedi. Ternyata memang cerita santai, tapi serius atau komedi? Kalau filem LANG BUANA (macam yang pernah aku ceritakan dulu), kita tau filem tu filem "satira", dan memang dalam lawak tu, ada sindiran yang sungguh halus dan tajam. Tapi siri ni, macam terkial-kial mencari "identiti", sebab ada babak serius, dan ada babak lawak (macam siri PUTERI, DUNIA ANITA, BONG arahan Aziz M. Osman jugak). Tang lawak tu okay, KALAU bertempat! Tapi masalahnya lawak yang dibuat tu tidak bertempat, seperti sedang menonton cerita SENARIO. Hmm.. ya la jugak, kan dia tu direktor semua filem Senario kan?
TAK BOLEHKAH KITA BERDAMAI?
Bahagian lawan aku dah sentuh soal koreografinya, cuma aku agak nak tergelak bila membayangkan bahawa seolah setiap episod WAJIB ada babak berlawan. Maka boleh juga dipersoalkan kewajaran diadakan babak pertarungan ni, sebab kadang-kadang tu, tak perlu pun berlawan, tapi entah dari mana mesti muncul konco-konco penjahat yang terus mencetuskan pertarungan. Dan boleh juga dipersoalkan kewajaran mereka terus berlawan sedangkan aku rasa boleh diselesaikan tanpa perlu pertumpahan darah.
Tapi ya la jugak, cerita silat apa kalau tak ada babak lawan kan? Cuma kalau boleh tu, biarlah ada sebab, jangan sengaja buat babak aksi kerana saja-saja.
KESIMPULAN
Maka apakah kesimpulan aku bagi cerita ini? Bagi aku, memang aku minat cerita pasal lima "Hang" ni. Malah memang suka cerita pasal "team-team" dan "teamwork" ni. Sebab tu aku pun minat cerita NINJA TURTLES dan POWER RANGERS, heheh! Oh, tak lupa, kisah Hang berlima ini pun pernah di"power-rangers"kan menerusi filem animasi kita iaitu SILAT LEGENDA (tengok juga di sini). Konsep yang menarik, sayang tak dikembangkan dengan baik. Kalau jadi siri animasi (seperti yang dijanjikan), mesti aku akan jadi antara "pengikut" yang setia (tapi tak membuta tuli, sebab kalau ada yang tak best, akan aku "curah"kannya di sini, yeah...).
Ahem, kembali pada siri PENDEKAR 5 ni... Bagi yang "rindukan" cerita pendekar, maka siri ini merupakan suatu comeback yang sangat dialu-alukan.
Bagi pesilat atau peminat silat "tegar", mungkin pula mereka tak akan rasa kagum (impressed) dengan cerita ini.
Tapi perlu sekali lagi aku ulang; cerita macam ini jauh lebih bagus daripada cerita "kungfu" yang bertopengkan silat yang pernah menguasai stesen TV kita suatu ketika dulu (oh bukan, aku tidak merujuk pada drama silat generasi Eman Manan, Eby Yus semua tu, tapi generasi SELEPAS itu).
Kepada yang teringin nak tengok episod-episod yang lepas, silalah ke laman web TV9 ni. Memang sekarang ni kita boleh tengok secara online mana-mana episod program terbitan tempatan yang ditayangkan di stesen TV Media Prima macam TV3 dan TV9 ni. Cuma laman web TV9 untuk seksyen PENDEKAR 5 ni serabut sikit, dikliknya episod 3, ditayangnya episod 1. Dan aku tak jumpa episod 2 di laman web tu (belum dimasukkan kot). Baru ada 9 episod, dan keseluruhan siri ni berjumlah 26 episod (episod baru akan dimasukkan ke situ sebaik saja selesai ditayangkan di TV9).
Kot mana pun, aku mengambil pandangan positif dan ingin lihat apa jadi seterusnya dengan siri ni, dan selanjutnya pada masa depan drama bersiri genre silat ni. Mintak-mintak ada la produser lain yang tersampuk dan tetiba minat balik untuk menerbitkan semula drama bersiri camni. Dan diharap makin berkualiti la, bukan makin merosot, dan semestinya katakan "tidak" pada drama kungfu bertopengkan silat, heheh!
Oh, kalau ada orang boleh "ketuk" kepala RTM supaya tayang balik KERIS HITAM BERSEPUH EMAS pun bagus jugak!
Tentang Makanan yang Disediakan oleh Bukan Ahli Syahadah
-
Pertanyaan : Assalamualaikum. Nak minta sedikit pencerahan atau pendapat
tentang makanan dan minuman yang disediakan oleh orang bukan Islam dari
sudut...
5 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen ja. Tak kisah punya...