Hah, dalam pos yang lalu, aku dah menyenaraikan watak-watak UTAMA dalam siri TV pendekar tempatan (yang kembali ke kaca TV setelah "berehat" hampir sepuluh tahun!) PENDEKAR 5 (atau aku rasa lebih tepat kita panggil PENDEKAR "5+1"!).
Ya, memandangkan watak-watak utama dah dicover (ada TIGA pesilat, SATU orang pe"kungfu", SATU orang pe"silambam" dan SATU orang pe"ninja"), maka apa lagi yang aku nak cerita di sini?
Apa lagi, watak sampingan atau watak pembantu la pulak, kan?
Watak yang banyak "membantu"
Watak sampingan/pembantu memang banyak "membantu" mana-mana pun cerita yang ada kat dunia ini, di "samping" watak-watak utama. Antara watak pembantu yang ada di sini, biar aku cerita secara teliti atau ringkas, berdasarkan kepentingan (dan apa yang aku faham/ingat)...
BENDAHARA TUN PERAK
Dia ni antara karakter yang terawal muncul (sebelum Hang berlima tu sendiri buat kemunculan sulung dalam episod pertama), iaitu ketika dia melintas jambatan bersama pengawal-pengawalnya. Secara tiba-tiba beliau diserang oleh sekumpulan "Mat Pit". Haha, ni betul ni! Bukannya lanun sepertimana yang kita selalu tengok, tapi sekumpulan orang yang baru lepas hisap candu, mengamuk sebab salah seorang daripada kawan mereka mati kena tikam. Nak jadi cerita, pengawal-pengawal Tun Perak tu pulak pi cabut lari, memang tak boleh diharap. Maka pada waktu inilah muncul Hang berlima menyelamatkan Tun Perak. Dengan kagumnya, Tun Perak mengusulkan kepada Sultan supaya mengangkat mereka semua menjadi... aku pun tak pasti apa jawatannya, tapi pegawai istana la.
Dia ni merupakan bapa kepada Tun Fatimah. Dia mungkin tak nampak atau tak perasan (atau pura-pura tak nampak atau tak perasan) yang Tun Fatimah ni syok kat Hang Tuah, maka akibat risaukan anak daranya tu nanti tak ada siapa yang mau (sebab asyik dok keluar bersilat dan bukannya duduk di rumah macam anak dara lain pada zaman itu), maka dia "tolong terima" lamaran daripada anak saudaranya iaitu Tun Mamat. Maka mereka bertunang dan Hang Tuah pun "melepas". Menariknya, Tun Fatimah sendiri paksa Tuah supaya "rebut" dia daripada Mamat.
Tun Perak ni, menurut cerita ini, boleh jadi merupakan SATU-SATUnya pegawai tertinggi di istana Melaka yang tak korup. Aduih, korupsi bermaharajalela di Melaka rupanya! Dan sebagai Bendahara (yang merupakan "Perdana Menteri" pada zaman itu), dia macam tak begitu berupaya atau macam tak teringin nak atasi masalah korupsi. Asyik dok harap kat Hang berlima tu saja, heh!
DANG WANGI
Lakonan Irma Hasmie, Dang Wangi merupakan seorang anak saudara kepada seorang pewarung di sebuah pekan di Melaka. Satu hari, sang Temenggung yang jahat berkunjung ke situ dan terpaut pada keayuan Dang Wangi. Maka dipaksanya tuan warung (yang menyewa dan merupakan orang dagang, bukan orang kelahiran Melaka) supaya menyerahkan Wangi kepadanya, dengan mengugut akan menghukumnya dengan alasan "berniaga tanpa kebenaran". Wow, ni memang bagus punya salah guna kuasa ni! Akibatnya, terpaksalah Wangi "diperhambakan" oleh Temenggung.
Namun Wangi berjaya dilarikan oleh Jebat dan dibawa ke kampung ibunya. Temenggung tak puas hati, apatah lagi setelah orang-orangnya tak berjaya menumpaskan Jebat, telah mengambil tindakan yang sangat "bernas". Haha, ini kiranya kes "kalau aku tak dapat dia, jangan harap sesiapa pun boleh dapat dia", cuma bezanya, yang menjadi rebutan itu (Dang Wangi) tak dibunuh, sebaliknya... jeng jeng jeng!!! Dipersembahkan pada Sultan! Ha, kalau dah Sultan pun berkenan, siapa yang berani bangkang kan? Nanti dikira menderhaka!
Jebat yang bertekad mahu terus lari bersama Wangi, akhirnya akur atas nasihat Tuah untuk menyerahkan Wangi kepada Sultan untuk dijadikan dayang istana. Seperti Jebat, Tuah pun sebenarnya tak puas hati, tapi jiwa Jebat yang lebih memberontak memandangkan asyik dia ja yang kena. Maka bermulalah kesan "luka" Jebat terhadap institusi kesultananan.
Kemudiannya, entah episod mana (aku tak tengok) rupanya Jebat dah kahwin "senyap-senyap" dengan Wangi, sementara Wangi sendiri masih dayang di istana. Setelah diketahui Bendahara, maka dia menasihatkan Jebat supaya menceraikan Wangi kerana masyarakat umum tidak mengetahui hubungan mereka, dan rupa-rupanya seorang dayang itu tak boleh berkahwin dengan rakyat biasa (eh, baru aku tahu!), dan boleh menimbulkan masalah seandainya Sultan tahu perbuatan mereka ini. Dengan berat hati, maka bercerailah mereka (dengan talak satu, hehe). Dan jiwa Jebat makin "terluka".
TUN MAMAT
Lakonan Shah Rizz, Tun Mamat ni merupakan anak saudara kepada Bendahara Tun Perak. Maknanya dia ni sepupu Tun Fatimah. Aku tak pasti apa jawatannya, tapi disebabkan dia kerap belayar, maka aku rasa dia ni laksamana la kot. Dan ternyata dari segi kedudukan sebagai pegawai istana, dia ni lebih "senior" daripada Hang Tuah (yang masih baru dilantik). Maka tak hairanlah Tun Perak pilih dia sebagai calon menantu mengatasi Hang Tuah. Nepotisme beb! Okaylah, tak ada la, gurau ja!
Pertunangan mereka "melukakan" hati Tuah (tapi taklah seteruk apa yang asyik menimpa Jebat tu, hohoh!) dan Fatimah (yang ternyata lebih suka kat Tuah), dan pernah Fatimah suruh Tuah "rebut" dirinya daripada Tun Mamat (aik, suruh lawan sampai mati ka?), tapi aku tak tengok apa jadi seterusnya sebab siri ni clash dengan cerita CSI kat ntv7, huhuuh! Yang aku pasti, Hang Tuah selaku seorang gentleman merelakan ikatan pertunangan itu.
Tapi ternyata Hang Tuah tak perlu "rebut" Tun Fatimah, sebab dalam episod berikutnya, disebabkan apa pun aku tak perasan sebab aku tak tengok, Tun Mamat cedera parah. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, maka dipesannya kepada Tuah supaya menjaga Fatimah dengan baik. Kira macam "bagi restu" la ni. Maka, "servis pun bertukar tangan"...
Oh, kalau Tun Mamat dah mati pada waktu ini, jadi siapa pula yang jadi wakil meminang Puteri Gunung Ledang nanti?
TEMENGGUNG DAN PATIH KERMA WIJAYA
Ha, dua "ekor" manusia ni merupakan pegawai istana yang tinggi di istana Melaka. Yang temenggung tu aku tau la jawatannya "temenggung" (sayang tak ingat pulak nama dia), tapi aku tak pasti apa pulak jawatan orang Jawa tu di istana Melaka? Duta kot? Yang pasti, mereka berdua ni selalu saja berkomplot nak menjahanamkan Melaka. Ramai pulak pengaruh tu! Biasalah, seorang tu "ketua polis negara", sementara seorang lagi pulak memang ditaja sendiri oleh Raja Majapahit, jadi ramailah konco mereka, baik dalam Melaka sendiri, mahupun yang diimport dari Jawa. Oh ya, muka Patih ni ada sedikit iras muka seorang menteri besar sebuah negeri termaju di Malaysia!
Sebagai "KPN" versi zaman silam, maka keraplah berlaku penyalahgunaan kuasa yang di"senyap"kan saja oleh orang ramai, dan tak dapat pula dibuktikan oleh Bendahara mahupun Hang Berlima tu, jadi mereka pun "bermain" ikut "rentak" Temenggung dan Kerma Wijaya. Di samping menumpaskan konco-konco Temenggung, yang selalu saja Temenggung tak mengaku bahawa mereka tu orang bawahannya, kerap juga Hang Berlima tu tolong "cover line" si Temenggung tu dengan memuji (secara berlebihan, perli) "kecekapan" Temenggung membanteras jenayah, di hadapan Sultan, biarpun si Temenggung sendiri selalu menunjukkan yang dia "tidak tahu" dan kelihatan selalu gagal dalam sebarang kes. Hairan jugak, kalau Hang Berlima tu menyatakan perkara sebenar terus kepada Sultan pun apa salahnya? Macam la perlu bukti kukuh melalui siasatan ala CSI dulu sebelum membongkarkan kejahatan si Temenggung, huh.
SULTAN MANSUR SYAH
Lakonan Razali Husin, aku rasa dia ni mesti Sultan Mansur, barulah sesuai dengan zaman Tuah. Dia ni bukanlah Sultan yang jahat, nak kata demanding sangat pun tidak. Boleh jugak mempertahankan diri, pernah 'tag-team' dengan Hang Kasturi dalam satu episod tu (tapi dia cuma tendang sikit, tumbuk sikit ja, selebihnya Kasturi yang lawan).
Tapi kelihatannya ramai sungguh yang "mengampu" baginda. Yang baik pun asyik "berkorban/terkorban/dikorbankan" untuk "mengambil hati" baginda (padahal dia tak minta pun), sementara yang korup pulak kerja "membodek" baginda untuk kepentingan diri sendiri. Maka kelihatannya istana Sultan ni penuh dengan orang-orang yang berkonspirasi, sementara si Sultan tu sendiri kelihatan seperti mengambil sikap "beta tak tahu". Aik, macam ada kena-mengena dengan dunia sebenar ja??? Heheh...
Maka, akibat daripada "pita merah" dan campurtangan serta salahguna kuasa oleh pegawai istana yang macam inilah yang buat rakyat seperti Hang Jebat makin bengang...
Ha, bukan dia ja yang bengang, aku pun bengang jugak, tapi bukan pada Sultan Melaka, sebaliknya pada konsep yang dibawa oleh cerita ni. Sejauh manakah "bengangnya" aku? Haa, nantikan pos aku yang berikut, yep...
Tentang Makanan yang Disediakan oleh Bukan Ahli Syahadah
-
Pertanyaan : Assalamualaikum. Nak minta sedikit pencerahan atau pendapat
tentang makanan dan minuman yang disediakan oleh orang bukan Islam dari
sudut...
5 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen ja. Tak kisah punya...