Rabu, 26 Disember 2007

"Dunia" Anita vs. "Dunia" Puteri

Ya, dalam pos-pos aku yang lalu, aku telah "mengarang" dengan penuh kesyahduan mengenai Puteri dan Anita dari siri PUTERI dan DUNIA ANITA. Hoh, kenapa agaknya aku ni "obses" benar dengan kedua-dua siri yang memaparkan wanita sebagai watak utama ini, sedangkan aku orang lelaki yang tak sepatutnya layan cerita macam ini? Haa, sebetulnya aku juga (erm... bukan JUGA, tapi sepatutnya LEBIH) layan siri BONG (sekarang ulangan setiap Jumaat jam 10 malam di TV9, dekaaaaaat di hati!) yang turut dibuat oleh geng-geng Aziz M. Osman, yang menang kategori Drama Komedi Bersiri Terbaik (atau lebih kurang macam itulah tajuknya) dalam Anugerah Skrin 2007! Tapi sayangnya siri ni tak ada kaitan dengan siri PUTERI dan DUNIA ANITA (sungguhpun aku harap ketiga-tiga siri ini boleh dikaitkan dalam satu 'universe'), dan tak banyak yang boleh diceritakan mengenai siri yang baru dua musim ini (melainkan kecomelan si Chah lakonan Maisarah tu!), jadi terpaksalah aku abaikan daripada bercakap mengenai siri ini.

Jadi, berbalik juga pada persoalan mengenai, kenapa aku ni gemar sangat kat kedua-dua siri ini? Apa yang bagus sangat mengenai kedua-dua siri ini? Haha, nak tahu apa yang buat siri-siri ini 'best' di mata aku? Kenapa dalam banyak-banyak drama bersiri di Malaysia yang wujud, yang ditayangkan di bermacam-macam stesen TV pada pelbagai waktu yang berbeza, namun siri yang berdua (bertiga kalau termasuk BONG) ini juga menjadi pilihan di hati?

Siri TV yang bermusim
Ha, sebab siri ini, kalau nak banding dengan siri TV terbitan negara kita yang berbahasa Melayu yang lain, siri ini lagi "teliti". Kiranya macam mengikut "piawaian" drama bersiri "bermusim" (orang putih sebut 'season'), di mana siri ini berformatkan satu musim tiga belas episod. Kalau dilihat, "jarang" atau sememangnya tidak/belum ada siri TV kat Malaysia ni yang pakai format macam ini. Yang ada di sini ialah berformatkan satu siri tu dibuat dan ditayangkan secara (bak kata orang Kedah) "sekali harung". Maknanya kalau tamat, tamatlah ia. Kemudian, seandainya siri ini diminati ramai, maka, atas permintaan ramai (kononnya), siri berkenaan akan disambung dan diletakkan nombor '2' pada jodolnya.

Dalam pada itu, siri TV kita juga agak "caca-merba" dan tiada piawaian tertentu. Ada yang 13 episod, ada yang 16 episod, ada yang 20 episod, ada yang 25 episod (macam slot Samarinda tu), ada pulak yang lebih panjang, ada jugak yang cuba ikut format Soap-opera (Amerika Syarikat) atau Telenovela (Amerika Latin) atau Teleserye (Filipina) atau Sinetron (Indonesia - Sinema Elektronik). Ouch, kita sendiri tak ada istilah khusus untuk siri TV kita. Nak panggil apa aa? Drama bersiri la kot, no?

Ahaaa... dalam kecaca merbaan ini, maka muncullah drama bersiri terbitan/arahan Aziz M. Osman. Dia memakai format "musim" ini. Secara peribadi aku suka format sebegini, sebab biasanya bilangan episodnya sudah ditetapkan/fixed, jadi senang nak "merancang" tontonan kita, dan kita boleh tahu dengan hampir tepat bila episod terakhir. Lagi satu, sebab cara sebegini ada tempoh "rehat"nya, di mana kita boleh "berehat" ketika siri sebegini tamat untuk musim tertentu sebelum disambung ke musim seterusnya. Berbanding kalau kita tengok cerita ala soap opera/telenovela/sinetron yang berpuluh, malah beratus episod tu, cara siri "bermusim" ini tidak memenatkan, haha!

Aziz-M-Osmanisme
Tapi nak kata aku suka semua cerita yang dibuat oleh Aziz M. Osman pun tak jugak. Sebab ada beberapa ciri atau stail yang suka diulang oleh pengarah ni dalam semua drama atau filem terbitan/arahannya. Jadi hanya beberapa saja yang aku suka (biasanya disebabkan pelakon, heheh!) sementara yang lainnya aku jadi tak suka (pun disebabkan pelakon yang ada di dalamnya).

Antara yang aku tak suka ialah drama "iklan" bersiri terbarunya di TV3 sekarang iaitu KISAH KAISER ka hapa kebenda ntah, mengiklankan produk Kotex pada setiap episodnya, heh! Oh ya, baru teringat, tajuknya ialah KISAH KAISARA (hapa kejadah punya nama tu? Siapa la yang bubuh nama KAISARA kat anak perempuannya?)!

Aku juga tak suka siri KAWAN (hek eleh, tiru FRIENDS la tu! Cerita pasai 6 sekawan: 3 lelaki 3 perempuan) sebab cerita itu menampilkan watak remaja, eiii, rimas tengok cerita cintan remaja!

Lagi satu MISI: XX-RAY yang dibuatnya suatu ketika dulu pun, tak dapat nak minat jugak. Memang la cerita fiksyen sains ni kegemaran Aziz M. Osman, tapi malangnya dia ni dah terlampau biasa sangat buat cerita komedi, jadi payah nak "ambil serius" drama bersiri "serius" yang cuba dibuatnya itu. Apatah lagi dengan kesan efek yang sungguh "melucukan" (tak real la maksudnya tu)!

Satu lagi siri FARA tu, hoh, memang cannot go la dengan cerita pasal DJ radio tu!

Oh, tak lupa juga siri PENDEKAR 5! Mula-mula tu layan la jugak, tapi akhirnya rasa tak boleh teruskan sebab Hang Tuah (lakonan Cico Harahap) dalam siri ni cakapnya perlahan sangat (apa punya hero, cakap pun suara tak masuk mikrofon!), nampak pun tak gagah (orang gagah takkan suara tak keluar, hahah!). Hang Jebat (lakonan Beego!) pulak mengingatkan aku pada Roslan dari siri PUTERI! Hang yang lagi tiga tu, terutamanya Hang Lekiu (Hang Lee Kiu? Sebab dia bertukar jadi orang Cina!) dan Hang Kasturi (jadi orang India pula) dengan klisé lagi stereotaipnya menjadi watak komedi (stock character) yang akan buat lawak bodoh sekali-sekala (masing-masing akan "pura-pura" tak faham bahasa Melayu) sementara fokus yang berlebihan dan keseriusan watak akan diberi kepada watak Tuah dan Jebat. Tapi boleh la kalau nak layan Nora Danish dalam siri ni sebagai... err, Tun Fatimah atau "Ninja" Anita aa?

Spin-off dan crossover
Maka, selain daripada BONG (yang aku minat tengok sebab ada Maisarra yang shumel tu!), maka aku minat jugak tengok DUNIA ANITA (ini pulak sebab ada Siti Fazurina, heheh!), dan secara tak langsung, terminat sekali la dengan PUTERI. Sesiapa yang mengikuti salah satu atau kedua-dua siri ini mesti mendapat gambaran bahawa kedua-dua siri ini berkaitan antara satu sama lain. Ini merupakan sesuatu yang agak "baru" di stesen TV kita. Sebelum ni, seingat aku la, belum ada dua siri TV berbeza yang bercabang dari satu dunia/universe yang sama, keadaan di mana termungkinnya berlaku suatu crossover di antara watak-watak daripada siri TV yang berbeza itu, sesuatu yang hanya boleh terjadi di antara satu siri TV dengan siri TV lain yang merupakan spin-off bagi siri yang pertama tadi. Aci tengoklah, mana ada drama bersiri Malaysia yang buat macam tu? Kalau ada pun, seingat aku, pernah la terjadi crossover antara watak Budin (lakonan Imuda) dalam siri PI MAI PI MAI TANG TU dengan watak Sam (juga lakonan Imuda) dari siri 2+1 di dalam satu episod dalam siri PMPMTT. Haha, memang menarik!

Biasanya crossover hanya (boleh) berlaku di antara dua atau lebih siri TV yang diterbitkan oleh penerbitan yang sama, baik spin-off mahupun bukan. Sebab sesuatu penerbitan itu memiliki "hak" ke atas siri TV berkenaan serta watak-watak yang ada di dalamnya, jadi boleh la dengan sesenangnya "mencampur-adukkan" watak-watak dari dua siri yang berbeza itu jika perlu. Cuma kalau ianya berbeza produksi, maka payah sikitlah, melainkan kedua-dua pihak berkenaan setuju nak "mempertemukan" watak-watak masing-masing dari siri TV terbitan masing-masing. Aku memang suka crossover-crossover ni, sebab selain daripada boleh tengok watak-watak kegemaran aku dari dua atau lebih cerita yang berbeza, berada dalam satu skrin, ianya juga membuatkan sesuatu cerita itu rasa "penting", sebab ianya merupakan sebahagian daripada suatu "dunia yang luas". Macam hidup kita la, kita dengan cerita kita, kawan kita pula ada juga ceritanya tersendiri, dan ada ketikanya bertembunglah cerita mereka dengan kita... Haha, panjang la ceritanya, nanti kalau aku rajin aku cerita semula pasal bab ini, yeah...

"Dunia" Anita vs. "Dunia" Puteri
Berbalik kepada "perkaitan" antara siri DUNIA ANITA dengan PUTERI tadi, seperti yang dimaklumi, memang ada perkaitan serba sedikit. Yang paling utama ialah watak Anita dari DUNIA ANITA adalah watak yang sama yang dilakonkan oleh Siti Fazurina yang turut (pernah) muncul dalam siri PUTERI. Nak jadi cerita, siri DUNIA ANITA ni "terbit" boleh dikatakan tak lama selepas Anita "menghilangkan diri" dari siri PUTERI (selepas pergaduhan "besar" dengan Puteri kot) di mana dia dipercayai pulang ke Johor, dan siri DUNIA ANITA sememangnya memaparkan kisahnya di Johor. Nak jadi cerita lagi, watak Roslan, Puteri dan Kamala dari siri PUTERI pernah muncul dalam siri DUNIA ANITA, masing-masing ingin bertemu dengan Anita yang diterima dengan marahnya oleh Anita, menunjukkan bahawa Anita pernah ada "kisah silam" dengan Puteri, Kamala dan Roslan, mengukuhkan lagi teori mengatakan bahawa memang kedua-dua siri ini berkaitan. Siri PUTERI dan DUNIA ANITA juga ditayangkan secara back-to-back di mana sebaik saja siri PUTERI tamat, digantikan dengan siri DUNIA ANITA, dan begitulah sebaliknya, secara bergilir-gilir, pada hari dan slot masa yang sama di TV3 pada setiap minggu.

Namun, dalam perkaitan itu, terdapat juga beberapa perbezaan yang tidak begitu besar, tapi agak ketara kelihatannya (bagi yang peka la) yang tidak menjejaskan perjalanan cerita pun, tapi tetap juga kita boleh nampak. Nah ini dia aku cuba menyenaraikan perbezaan yang kelihatan itu:

  1. Dalam siri PUTERI, Anita berperwatakan rebellious, tapi tidaklah kelihatan bodoh. Berlawanan pula dengan siri DUNIA ANITA, di mana Anita kelihatan agak bodoh alang.
  2. Dalam satu episod dalam siri PUTERI, pernah dipaparkan kampung halaman si Anita, di mana kelihatan Anita tinggal di rumah neneknya di sebuah perkampungan. Si nenek berkenaan dilakonkan oleh Afida Es, perwatakan tua, pakai serkup kepala, dan rumah mereka sendiri rumah papan, memang menggambarkan kemiskinan. Tapi berlawanan pula gambaran nenek Anita serta rumah mereka dalam siri DUNIA ANITA, di mana nenek Anita yang dilakonkan oleh Norlia Ghani merupakan seorang yang moden dan rumah mereka pula rumah banglo, menunjukkan bahawa mereka ini berada dan bukannya miskin.
  3. Dalam satu episod PUTERI (setelah ketiadaan Anita), Puteri, Kamala, Roslan dan Soosan pernah menginap di sebuah hotel di Johor kerana tugasan catering (yang dimiliki oleh kakak si Roslan), dan mereka bertemu, buat seketika, dengan Anita yang ketika itu bekerja sebagai pelayan di restoran hotel berkenaan. Tapi dalam siri DUNIA ANITA pula, Anita dari awal siri berkenaan kelihatannya bekerja sebagai pelayan di restoran Anjung Warisan dan tiada tanda-tanda yang dia pernah bekerja di tempat lain sebelum ini.
  4. Dalam siri PUTERI, Puteri digambarkan sebagai seorang anak yatim piatu yang memang langsung tiada keluarga atau saudara-mara lain. Tapi dalam episod terakhir DUNIA ANITA musim ketiga (boleh ditonton di laman web TV3), kedengaran Cikgu Zul berkata bahawa Anita memberitahunya bahawa Puteri datang ke Johor bersama dengan bapanya (namun tak kelihatan pula watak bapanya tu). Tapi memandangkan siri DUNIA ANITA ni tak berapa serius, boleh jadi kenyataan itu cuma mainan belaka, heh...
  5. Dalam DUNIA ANITA, dikatakan Anita bencikan Puteri sebab Puteri "sempurna", ada segalanya. Antara perkara yang disebut oleh Anita ialah Puteri itu "kaya". Walhal kalau dalam siri PUTERI, memandangkan Puteri itu anak yatim piatu yang menyewa di rumah orang, maka agak menghairankan tang manakah yang "kaya"nya si Puteri itu. Sedangkan Anita sendiri masih punya nenek, adik dan rumah neneknya untuk didiami, Puteri pula tidak punya apa dan siapa melainkan sahabat-sahabatnya.
  6. Susulan kepada yang nombor 5 tu, maka boleh jadi juga Puteri dalam DUNIA ANITA bukanlah anak yatim piatu sepertimana Puteri dalam PUTERI.

Maka demikianlah "senarai" perbezaan yang terdapat di antara siri PUTERI dan siri DUNIA ANITA. Sebab inilah aku minat sangat kedua-dua siri ni (sayang, siri BONG tak termasuk dalam universe yang sama sebab Nora Danish berlakon jadi watak tunang Bong dan bukannya Puteri dalam siri BONG).

Macam mana mereka nak kembangkan lagi siri PUTERI (yang berakhir dengan cliffhanger baru-baru ini) serta DUNIA ANITA (yang berakhir dengan Anita dan Puteri berbaik-baik semula, juga baru-baru ini)? Apakah siri DUNIA ANITA sudah ditamatkan dan Anita kembali diserap masuk dalam siri PUTERI? Atau apakah Anita masih kekal di Johor dan pada masa sama kerap melawat Puteri di KL nanti? Hoho, sama-samalah kita nantikan bagaimana pula team kreatif kedua-dua siri ini nak "putaq" cerita mereka! Oh ya, bilalah nak tayang BONG musim ketiga (seandainya ada)?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang