Khamis, 6 Mac 2008

Mission: Impossible - Episod Pilihanraya

Aku tak tahu apakah ini kebetulan atau memang disengajakan.

Aku berjaga malam setiap tengah malam Rabu (atau secara teknikalnya awal pagi Khamis) untuk menonton siri MISSION: IMPOSSIBLE yang ditayangkan pada jam 12:30 tengah malam (atau lebih lewat kalau filem yang ditayangkan sebelum berita jam 12 tengah malam tu masih belum habis) di RTM2.

Pada kebiasaannya, memang RTM2 tak tayang siri ini menurut susunan episod yang betul. Ada yang sepatutnya kemudian, didahulukan, dan yang sepatutnya dahulu, dikemudiankan. Memandangkan kebanyakkan episod siri ini bukan jenis yang bersambung-sambung, jadi tak timbul masalah kalau episod yang ditayangkan tu tak ikut susunan.

Cuma yang aku paling hairan tu, bagaimana atau kenapa RTM2 memilih untuk menayangkan episod mengenai pilihanraya beberapa hari sebelum kita menghadapi pilihanraya (ditayang pada 6 Mac 2008 jam 1 pagi)? Hahahah!

Episod yang diberi tajuk "Wheels" ini, macam biasa, mengisahkan sepasukan ejen-ejen rahsia lagi khas yang berkhidmat di dalam sebuah agensi perisikan yang bergelar Impossible Missions Force (IMF). Mereka akan diupah oleh kerajaan Amerika Syarikat, di mana ketua mereka akan dihubungi oleh seorang "Setiausaha" (tak pernah dinyatakan setiausaha dari jabatan mana dalam kerajaan Amerika Syarikat) untuk melakukan tugas-tugas perisikan (mereka boleh pilih untuk menerimanya atau tidak) yang biasanya melibatkan "campurtangan" mereka dalam urusan negara asing (biasanya negara-negara Eropah dan Amerika Latin), terutamanya negara yang mengamalkan dasar diktator. Biasalah, Amerika Syarikat kan "polis dunia", maka mereka rasa bertanggungjawab untuk "membetulkan" dunia dengan "menyelamatkan" rakyat negara-negara itu daripada dikuasai oleh pemimpin yang mereka anggap "tak demokratik" lagi "diktator". Selepas taklimat diberi (melalui pita video, projektor, kaset, dan sebagainya), ketua mereka akan menghapuskan sendiri bahan rakaman tersebut (tak macam versi kemudian di mana rakaman tersebut akan termusnah sendiri).

Dalam episod ini, mereka ditugaskan ke sebuah negara Amerika Latin yang bernama Valeria (negara yang tak wujud tapi merupakan analogi bagi negara tertentu, suatu amalan biasa dalam siri ini) untuk "mengganggu" proses pilihanraya yang bakal dilangsungkan di negara tersebut.

Yeah, "mengganggu proses pilihanraya".

Negara tersebut cuma ada dua parti, iaitu parti Nacionalista yang sedang memerintah dan dikuasai oleh polis (malah ibu pejabat parti ini pun di balai polis!) dan parti Libertad. Mereka mengamalkan politik kepartian, lebih kurang macam kita la, sikit-sikit suruh "undilah parti blablabla". Tapi bezanya, yang membuatkan aku rasa negara ini jadi lebih "lawak" daripada negara kita, ialah mereka mengundi untuk PARTI, bukan untuk CALON, kerana dalam sistem pilihanraya umum mereka, memang TIADA CALON YANG BERTANDING!

Rupanya parti Nacionalista ini, sudahlah dikuasai polis, diktator pulak tu. Polis di situ menangkap sesiapa yang buat demonstrasi. Suara rakyat disekat. Kebebasan hampir tiada. Semua dikawal. Betul-betul negara polis! Hey, macam kenal ja stail ini, kan? Polis menguasai atau dikuasai, dua-dua itu membuatkan mereka tidak disenangi orang awam. Aku kesian pada sesiapa yang bekerja menjadi polis yang tersekat/terhimpit sebegini, hehe!

Tugas pasukan IMF ini ialah untuk memastikan pilihanraya di sebuah daerah di negara itu, berjalan dengan "bersih".

Yep... "bersih", itu kata kuncinya!

Kenapa pilihanraya di situ jadi tak bersih? Sebab mesin mengira undi di situ sudah diubahsuai. Oh, rupanya mereka kira undi pakai mesin! Canggih jugak ya? Padahal itu baru tahun 60an! Tapi betullah, pakai mesin-mesin ni, membuatkan sistem ini jadi tak telus. Sedangkan kita kira pakai manusia pun orang kata tak telus, pakai mesin lagi la, kan? Tu pun ada orang cadang nak buat pengundian secara online. Gila. Mampus la server, bila tahun nak selesai, heh!

Menurut yang aku faham dari episod ini, setiap rakyat negara itu yang nak mengundi, perlulah berdaftar terlebih dahulu. Kemudian, pada hari mengundi (dibuka antara jam 7 pagi hingga 6 petang, sejam lebih awal bermula daripada kita, dan sejam lebih lewat berakhir daripada kita!) pengundi akan hadir di pusat pengundian, tandatangan dan disahkan tandatangan itu miliknya (cuma tandatangan, sebab negara ini tiada kad pengenalan!), ambil kertas undi, pergi ke mesin mengundi, masukkan kertas itu ke slot yang tertulis parti yang nak disokong itu (tak perlu nak pangkah-pangkah), lepas tu tarik tuil mesin itu yang akan menggerakkan pengira yang akan mengira berapa undi dibuang untuk sesuatu parti itu.

Nah, begitulah bagaimana sistem ini berfungsi. Alkisahnya IMF ditugaskan untuk "mengacau" satu mesin di sebuah pusat mengundi di sebuah daerah. Sebabnya ialah salah satu daripada mesin itu sudah diubahsuai. Sepatutnya pengira pada mesin itu bermula pada kosong, tapi ianya sudah disetkan kepada 2000 undi untuk Parti Nacionalista, sementara pada slot untuk Parti Libertad pula, diletak penghalang supaya 2000 undi pertama yang ditujukan pada parti berkenaan tidak dikira.

Wah, dahsyatnya cara parti pemerintah itu nak mengekalkan kuasanya! Buat pilihanraya pun macam olok-olok saja.

Maka di sinilah datangnya IMF, untuk "membetulkan" mesin itu agar pengundian yang dibuat "mencerminkan pemilihan sebenar rakyat". Gila aah, aku nak sembang pasal cerita MISSION: IMPOSSIBLE, tapi rasa macam aku tulis entri pasal politik la pulak!

Untuk menjayakan misi ini, panjanglah ceritanya. Melibatkan penyamaran, di mana ada seorang ejen menyamar jadi salah seorang pengundi berdaftar di situ, sementara pengundi yang sebenar itu dilengahkan oleh seorang ejen yang lain. Err... ini macam "pengundi hantu" ka? Hahaha!

Erm, tapi watak pengundi berkenaan menyokong pembangkang, dan yang menyamar itu pun tolong undi untuk pembangkang jugak! Pengundi berkenaan dilengahkan dan dia hampa tak dapat mengundi, tapi tak sedar ada "pengundi hantu" (ejen yang menyamar jadi dia tu) dah tolong undikan untuk dia, hohoho!

Tujuan penyamaran ini ialah untuk menimbulkan helah supaya ejen yang pakar soal mesin ini kemudiannya boleh menyusup masuk ke bilik mengundi, dan mengubahsuai mesin itu.

Memang pada setiap episod, yang dihidangkan ialah bagaimana mereka sesama ejen ini membuat strategi dan perancangan yang teliti, dan dipaparkan juga susah-payah seseorang ejen ini ketika menjalankan tugas masing-masing, yang adakalanya datang masalah yang tidak dijangka yang memerlukan ejen itu melakukan improvisasi supaya matlamat misi itu tercapai. Ada yang cedera, ada yang hampir kantoi, ada yang kesuntukan masa, peh, macam-macamlah! Itulah thrillnya menonton siri ini yang lebih best daripada filem lakonan Tom Cruise pendek tu!

Akhirnya, setelah mesin itu "dipulihkan" ternyata rakyat telah memilih untuk "berubah" dan Parti Libertad menang. Maka "tertegaklah demokrasi", dan berjayalah Amerika Syarikat "menyelamatkan" negara ini daripada cengkaman kekejaman, dan misi berjaya!

Cuma, yang aku jadi hairan campur nak tergelak, tergamak juga RTM2 menayangkan episod ini, dekat nak pilihanraya kita pulak tu! Tak rasa macam terkena kat diri sendiri ka? Tak rasa tersinggung? Atau mungkin mereka tak kisah mengenangkan betapa lewat malamnya waktu tayangan episod hari ini (sememangnya lewat daripada biasa sebab filem yang ditayangkan sebelum itu lambat pulak habis tayangannya), jadi semestinya majoriti rakyat Malaysia sedang tidur lena sebab esok nak kerja. Kecualilah orang-orang tertentu yang berjaga jugak nak menontonnya, termasuk aku, ahaks!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang