Rabu, 5 Mac 2008

Terapi Kerusi Elektrik?

Oh, bukan! Ini bukan hukuman mati pakai kerusi elektrik macam kat Amerika Syarikat nun!

Ini kaedah rawatan/terapi apa entah. Aku kata entah kerana aku tersangat tak tahu. Tapi nampak gayanya ianya sekarang tengah popular dan menjadi "kegilaan" di kalangan orang separuh umur dan orang tua. Aku tak boleh kata ianya fenomena di seluruh negara, boleh jadi cuma di kawasan aku sahaja. Jadi tak perlulah mengeluarkan apa-apa statistik melalui Google Trend, hah!

Oh ya, ini juga tiada kena-mengena dengan kerusi urut yang turut menjadi kegilaan orang kita sekarang.

Pada mulanya dulu pun, dan aku percaya semua orang yang pertama kali mendengarnya pun, akan menyangka bahawa kerusi urut dan terapi kerusi elektrik ini mempunyai persamaan.

Sehinggalah aku sendiri ke tempat rawatan tersebut...

Heheh, sebenarnya aku pergi ke tempat tu dan tengok dari jauh saja! Aku langsung tak masuk dan menyertai pun!

Sebab apa? Sebab yang masuk ke situ semuanya orang separuh umur atau yang dah tua! Yang dah 40-50 tahun ke atas. Aku muda lagi la! Dan aku tengok orang muda (gadis) yang sebaya aku yang ada di situ pun bukannya pengunjung, sebaliknya yang bertugas di situ, jaga kaunter la, pendaftaran la, pintu la.

Aku sebenarnya mengikut seseorang yang mengikuti rawatan ini. Ha, beliau tu dah separuh umur la, aku belum lagi! Dia baru DUA kali menyertai rawatan ni, padahal orang ramai di sekelilingnya (kawan, kerabat) semua dah masuk entah berapa kali. Ketinggalan keretapi (atau lebih tepat, ketinggalan KERUSI... KERUSI ELEKTRIK!) betullah!

Dari jauh aku nampak la pusat rawatan ni. Ada nama, tapi rasanya tak perlulah aku sebut namanya. Tak besar, sebab menyewa pejabat bangunan rumah kedai. Sebesar klinik biasa-biasa kot.

Sampai di situ, dia pun daftar/letak kad (?) dan terus masuk ke bilik sesi diadakan sambil meminta aku tunggu 20 minit. Sesi itu memang 20 minit. Ternyata aku tidak dijemput, sebab aku masih muda! Orang muda tak ada penyakit macam orang tua!

Aku pun duduklah di kerusi di bahagian luar, betul-betul di hadapan pintu bilik berlangsungnya sesi rawatan. Sambil tu mata aku pun melihatlah sekeliling. Di kawasan luar iaitu tempat aku duduk tu, aku pun nampaklah segala macam gambar peserta-peserta di atas kerusi masing-masing. Oh, kerusi tu kerusi biasa saja rupanya. Tapi yang buat ianya 'berelektrik' itu ialah pada 'tikar' (?) di mana kerusi itu diletakkan di atasnya tu. Maknanya, menurut pemahaman aku, elektrik tu akan mengalir dari punggung tempat kita duduk tu, dan pergi ke seluruh badan... macam itulah kot.

Di sudut jauh sikit di kawasan tu, aku nampaklah segala macam sijil. Sijil apa aku pun tak nampak, sebab agak jauh dari tempat aku duduk. Sijil pengiktirafan kot. Yang aku nampak ada tertulis "Physiotherapy & Rehabilitation". Nak bangun ke situ untuk baca pun tak boleh sebab orang dah mula ramai di situ. Bilik tempat sesi pun dah penuh, menurut gadis yang jaga pintu tu. Jadi orang yang datang kemudiannya terpaksa menunggu sesi itu selesai sebelum mereka masuk ke sesi seterusnya, dan ini membuatkan kawasan menunggu itu jadi ramai dan buat aku terpaksa kekal duduk di tempat aku duduk tu.

Pada masa yang sama, ada yang baru mendaftar, dan nama mereka dipanggil untuk diberi kad. Kad apa aku tak tahu. Kad kehadiran kot. Semua orang yang dah berumur. Ada yang datang bersama suami isteri, ada yang datang bersama teman sekerja. Yang berserban/berlebai pun ada. Yang pencen juga.

Oh ya tak ya, waktu tu jam 1 tengah hari, patutlah! Waktu orang pejabat berehat. Maka waktu sebegini mereka berduyun datang. Ada yang dah lama datang, ada pula yang baru dengar dari kawan-kawan dan baru menyertai. Aku nampak jiran aku pun ada yang datang, heh!

Aku baru teringat nak menjenguk ke dalam bilik mereka mengadakan sesi rawatan tu. Mujur pintu itu jenis yang ada tingkap yang kita boleh tengok ke dalam. Sesuailah dengan aku yang duduk di kerusi yang betul-betul di sebelah pintu tu. Maka menjenguklah aku ke dalam.

Sesi tu dihiasi dengan taklimat, sebagai pengisi masa kot. Sambil kena karan, sambil dengar penerangan. Aku rasa peserta yang ada di dalam tu dalam 50 orang atau lebih kot. Ramai. Aku tengok kerusi mereka memang biasa-biasa saja. Tapi difahamkan alat berupa 'tikar' tu la yang mengkarankan kerusi dan yang duduk di atasnya tu. Macam mana ia berfungsi aku pun tak tau.

Di dalam ruang itu aku nampaklah segala macam carta menghiasi bilik tu, untuk mengukuhkan lagi penerangan mereka kot. Ada carta 'Electric Field Therapy' dan di dalamnya diletak meter menunjukkan tahap keasidan-kealkalian darah dan tertulis Ph74. Aku pun tak paham apa maksudnya.

Di papan putih dalam bilik tu tertulis "membersihkan saluran darah, menyelaraskan sistem saraf tak terkawal, meningkatkan daya ketahanan". Terdengar pula orang kat kaunter memberi penerangan pada orang yang baru mendaftar, "nak buang segala kotoran dalam badan". Membersihkan darah. Menggunakan aliran elektrik. Boleh rupanya ya?

Aku nampak lelaki yang memberi taklimat tu gembira memberi penerangan. Dia tu muda. Sesekali dengar peserta ketawa. Lepas tu aku nampak dia meminta seorang makcik yang kebetulan duduk berhadapan dengan lelaki itu supaya menghulurkan tangan. Lelaki itu menyentuh jari makcik tu, dan makcik tu cepat-cepat menarik tangannya kembali. Ada kejutan elektrik kot. Lepas tu dia minta makcik di sebelah makcik tadi pula berbuat yang sama. Yang aku tak gemar tu, dia boleh saja (dan sepatutnya) meminta tangan pakcik yang juga ada di hadapannya untuk disentuhnya, tapi sebaliknya dia memilih untuk menyentuh tangan orang yang bukan mahramnya. Hai manusia...

Habis sesi, semua keluar dengan muka gembira lagi ceria. Berkesan kot rawatan tu. Masing-masing bercerita. Dialog yang pelbagai aku dengar.

"Saya baru mula semalam."
"Saya dah lama dengar orang sana-sini cakap, baru hari ini saya nak cuba."
"Oh, aku dah sebulan dah."
"Saya tujuh kali."
"Berapa kali sesi baru nak rasa kesannya?"
"Saya tak rasa apapun."
"Pakcik dulu strok sebelah, nak gerak kaki pun susah. Lepas beberapa kali kena karan ni, pakcik dah boleh bengkokkan kaki, haha!"
"Dulu kena pakai tongkat. Lepas ikuti sesi ni beberapa kali, kini saya dah tak perlu bertongkat."
"Produk ini mengembalikan semula keyakinan saya terhadap diri saya sendiri!"

Okaylah, ayat terakhir tu saya cilok dari iklan produk-produk TV ala SmartShop la, hah!

Alat ini memang orang awam tak boleh beli kat kedai sepertimana kerusi urut tu. Hanya yang nak buat atau membuka pusat rawatan sahaja, dan yang bertauliah saja yang boleh.

Hm.. cakap pasal pusat rawatan, rawatan ini diberikan PERCUMA. Ya, PERCUMA. Satu sen pun peserta tak perlu keluarkan. Tiada caj tersembunyi.

Hairan, kenapa pusat ni boleh buat perkhidmatan percuma sebegini? Tak perlukah duit untuk menampung apa-apa kos? Sewa bangunan? Kos membeli dan menyelenggara alat? Siapa yang menaja kesemuanya sampai boleh buat percuma ni?

Yang pasti, aku hanya mungkin akan boleh merasa memakai alat ini bila aku tua nanti. Sebab sekarang aku masih muda dan sihat, Alhamdulillah.

Tapi nanti, bila aku dah tua nanti, mungkin dah muncul kaedah rawatan baru. Atau mungkin aku tak sempat pun sampai ke umur itupun. Mati adalah pasti, hidup Insya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang