Jumaat, 19 April 2013

Trailer Rasmi Man of Steel!


18 April 2013, genaplah 75 tahun "penciptaan" watak Superman. Dan sempena hari jadi Superman kali ini, mari kita tonton trailer rasmi (yang ketiga dah setakat ini) untuk filem MAN OF STEEL yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia pada 13 Jun 2013.


"What's the 'S' stand for?"
"It's not an 'S'. On my world it means 'hope'."
"Well, here it's... an 'S'!"

Khamis, 20 Disember 2012

20.12.2012! TMNT dan Transformers Prime!

Tarikh cantik lagi! Sempena jam dan tarikh yang cantik ini (jam 2012, 20.12.2012), aku nak berkongsi dua siri animasi Barat yang aku tengah layan. Kedua-dua siri ini menggunakan animasi CGI, yang ada sesetengah pihak tak suka sebab lebih suka animasi tradisional (dan kedua-dua siri ini pernah ada versi lamanya yang dianimasikan secara tradisional), lebih-lebih lagi kualiti animasi CGI untuk bajet siri televisyen (kartun) adalah lebih rendah berbanding untuk taraf filem Hollywood, tapi ternyata kedua-dua siri ini menafikan dakwaan itu. Sebabnya ialah kedua-dua siri ini ternyata mendapat sambutan dan pujian yang sangat baik daripada peminat-peminat asalnya (yang biasanya sudah pun dewasa sebab siri asal bagi kedua-dua siri ini pernah ditayangkan bermula sejak tahun 80an dahulu!).

Siri yang aku maksudkan ialah TRANSFORMERS: PRIME dan (Nickelodeon's) TEENAGE MUTANT NINJA TURTLES! Ya, bagi yang pernah membesar sekitar tahun 80an dan 90an, pasti dah kenal sangat dengan kedua-dua siri ini. TRANSFORMERS dan TMNT merupakan antara produk yang sangat terkenal pada ketika itu, menjadi fenomena dan kegilaan kepada kanak-kanak zaman itu. Siri animasi kedua-duanya tak lebih daripada "alat" untuk mempromosikan siri permainan dan figura aksi yang menampilkan watak-watak daripada kedua-dua francais ini (walau bagaimanapun, TMNT bermula dengan komik indie yang jalan cerita dan tonnya langsung tak sama dengan keceriaan siri animasinya, pada ketika itu). Kedua-duanya pernah popular, diadaptasi kepada komik, filem, dan siri animasi susulan (Transformers ada lebih banyak), dan kini kedua-duanya kembali menggegarkan dunia dengan siri animasi. (dan semestinya permainannya juga!) yang terkini!

Rabu, 12 Disember 2012

12:12:12 121212! Untuk Peminat Superman!

Yah, tepat pada jam 12:12:12 (okaylah, takdak la tepat sangat sebab aku edit masa aku publish entri ini, padahal aku taip pada waktu yang kemudian daripadanya) pada 12 Disember 2012 (121212), aku telah kembali menulis entri blog aku yang dah lama aku berhenti ini. Semenjak 2010, aku telah sibuk dengan kerjaya aku (alasan!) di samping sibuk dengan perkara-perkara lain seperti beribadah, menuntut ilmu, bersosial, makan, tidoq, mengadap komputer (sekarang pakai laptop) untuk buat kerja, melayari internet dan bermain games, jadi aku tak ada masa nak menaip entri untuk blog.

Apatah lagi kemunculan Facebook dan Twitter sedikit sebanyak telah mengambil alih peranan blog dan blogger yang suam-suam kuku (macam aku) dah tak pakai blog lagi untuk berkongsi apa-apa (gambar terutamanya) sebab dah dapat dilaksanakan dengan mudahnya menerusi Facebook. Dan beberapa servis blog dah pun ditutup seperti Yahoo 360, blog Friendster (yang dah pun dirombak jadi laman sosial gamer untuk game-game internet, macam yang ada kat Facebook jugak, apakah?!), dan terkini Multiply pun dah tutup fungsi blognya. Teknologi memudahkan manusia, dan juga memalaskan manusia! Oh, dan Google pulak dah buat langkah drastik dengan menyatukan akaun Google+ (laman sosial Google yang macam Facebook dan Twitter) dengan akaun GMail, Youtube (pilihan), Blogger.com (jugak pilihan) dan semua servis Google yang lain. Ada Pinterest lagi sekarang ni (dah lost track dah aku!). Microsoft pun ada buat laman sosialnya sendiri, dikenali sebagai So.cl. Macam-macam da!

Ooops, dah termelalut dah aku ni. Tujuan aku bukan nak sembang pasai teknologi perkongsian sosial dalam talian ni, tapi nak berkongsi pasal filem yang sangat aku minat yang bakal keluar 13 Julai 2013 nanti, iaitu MAN OF STEEL. Ya bebeh, Superman kembali ke skrin besar! Er, maksud aku, layar perak! Setelah tamat trilogi THE DARK KNIGHT, Warner Brothers dan DC Comics mengalihkan pandangan kepada adiwira utama mereka, yang nampak gayanya macam sangat sukar untuk diterjemah ke layar perak setelah kegagalan Brandon Routh menjiwai watak Superman dalam SUPERMAN RETURNS arahan Bryan Singer yang tak berapa nak menjadi itu. Dengan me-'reset' semula cerita Superman versi filem, filem ni diberi nafas baharu tajuk sesuai dengan gelarannya dan stail tajuk sepertimana yang diberikan kepada Batman (THE DARK KNIGHT).

 

Ahad, 7 Ogos 2011

Foto Pertama "Man of Steel"

Mungkin tak ramai yang perasan atau menyedari, sekarang ini Hollywood tengah dalam pembikinan filem Superman yang terbaharu. Diberi tajuk "MAN OF STEEL", filem ini diterbitkan oleh Christopher Nolan, orang yang sama yang mengangkat dan mengarahkan trilogi filem Batman yang terkini ("BATMAN BEGINS", "THE DARK KNIGHT" dan akan datang, "THE DARK KNIGHT RISES") dan akan diarahkan oleh Zack Snyder (yang terkenal dengan filem adaptasi komik juga iaitu "WATCHMEN" daripada komik dengan tajuk yang sama). Siri filem Batman yang dilakonkan oleh Christian Bale ini terkenal dan diminati ramai kerana Christopher Nolan menggarapnya secara lebih "realistik" berbanding siri komiknya. Jadi, ramai juga yang berharap filem Superman yang terbaru akan datang ini juga menggunakan pendekatan yang serupa apatah lagi mendapat sentuhan daripada orang yang sama. Apapun, diharapkan ianya lebih bagus daripada filem Superman yang sangat mengecewakan aku, iaitu "SUPERMAN RETURNS" yang tak best tu... (urghh!)

Apa-apa hal pun, filem "MAN OF STEEL" ni sebenarnya belumpun memulakan penggambaran, dan dijangka akan ditayangkan pada Jun 2013 nanti nun (aduh lambatnya lagi nih!), lebih lewat daripada jangkaan pertama mereka iaitu sekitar Disember 2012. Superman/Clark Kent akan dilakonkan oleh aktor British iaitu Henry Cavill. Sepertimana Christian Bale yang berasal dari Wales, melakonkan watak Batman yang sepatutnya berbangsa Amerika, watak Superman juga kali ini buat pertama kalinya dilakonkan oleh pelakon yang bukan berasal dari Amerika Syarikat (dan ada jugak peminat rakyat Amerika yang "marah" dengan pemilihan ini). Turut membintangi ialah Amy Adams sebagai Lois Lane (yang lawaknya, dia pernah muncul sebagai watak penjahat dalam satu episod daripada siri "SMALLVILLE", siri yang mengisahkan Clark Kent sewaktu remaja sebelum menjadi Superman), Russell Crowe (Jor-El, bapa kandung Superman) Laurence Fishburne (Perry White, watak yang sepatutnya "orang putih" dalam komik, ketua editor Daily Planet tempat Clark dan Lois bekerja), Michael Shannon (General Zod, musuh ketat Superman yang berasal dari planet yang sama), dan Kevin Costner dan Diane Lane sebagai Jonathan dan Martha Kent (ibubapa angkat Clark Kent di Bumi).

Paling menarik sekali, foto pertama yang menampilkan Henry Cavill sebagai Superman telah didedahkan baru-baru ini. Setelah peminat siri SMALLVILLE "hampa" kerana tak dapat melihat (dengan jelas) Tom Welling sebagai Superman dalam episod akhir siri tersebut (mungkin disengajakan atas sebab undang-undang), maka kini peminat Superman boleh bergembira kerana foto pertama ini menampilkan rupa bentuk kostum Superman yang akan ditampilkan dalam filem ini. Pastinya peminat tertanya-tanya, bagaimanakah rupa kostum Superman yang direka untuk filem ini, apakah nampak lebih moden dan canggih, atau nampak "murah"? Sama-samalah klik kat bawah ini...

Isnin, 25 Julai 2011

Belasungkawa: Dato' Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar

Pada hari ini, aku serta warga Kedah khususnya, dan juga sesiapa yang mengenali beliau, telah kehilangan seorang lagi tokoh ulama besar negeri Kedah. Dato' Syeikh Zakaria merupakan tokoh yang amat dikenali di negeri Kedah, khususnya bagi mereka yang mengikuti siri kuliah beliau di Radio Malaysia KedahFM pada setiap Selasa jam 5:30 petang. Beliau juga sangat rajin mengajar, boleh kata hampir seluruh negeri Kedah beliau menjelajah, pada setiap hari, setiap minggu, tanpa henti (kecuali cuti Raya, atau cuti beliau tak sihat). Sebut saja, Alor Setar, Pendang, Sik, Kulim, bahkan di Kepala Batas Pulau Pinang dan Seberang Perai Utara pun beliau pergi, demi mencurahkan ilmu kepada yang sudi menadahnya.

Aku juga mula mengenali beliau waktu saya menganggur tak ada kerja, jadi aku mula dengan mendengar siaran radio KedahFM, dan pada akhir kuliah beliau akan menyebut jadual kuliah beliau. Pertama kali aku dengar, aku memang terkejut, padatnya! Dan jauh-jauh pulak tu antara satu sama lain. Bila aku dengar salah satu tempat kuliahnya di Masjid Sultanah Bahiyah Alor Setar, akun mula berjinak menghadirinya. Orangnya memang kecil dan sudahpun tua, tapi semangat dan kegigihan beliau sangat aku kagumi.

Kini, sebab aku dah kerja jauh di Selatan, aku dah tak dapat lagi hadiri kuliah di masjid tu. Berbekal talian internet, aku bukak jugak siaran KedahFM pada setiap petang Selasa. Pada akhir-akhir hayatnya, beliau sering tak sihat dan meminta para pendengar mendoakan agar beliau dapat mengajar. Kini tidak lagi. Dan aku juga akan merindui kelibat kereta Serenanya di perkarangan Masjid Sultanah Bahiyah. Lebih utama lagi, aku akan merindui kuliah dan suara beliau. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang syahid dan soleh.

Lebih maklumat lanjut mengenai beliau, boleh dibaca di blog Al-Fanshuri ini.

Al-Fatihah...

Rabu, 20 Julai 2011

Superman Bertukar Fesyen!

Jika dulu, bila kita sebut Superman secara sinis, perkara pertama yang akan kita kata ialah "dia memakai seluar dalam di luar". Biarpun ramai sahaja superhero lain yang memakai seperti dia (Batman pun pakai la kalau dalam komik dia, tapi dah hangpa terpengaruh dengan filem dia, dan aci tengoklah weh, bukan setakat tu ja, Wolverine pun sama la, siap pakai kuning lagi... ;P), tapi bila sebut superhero, terbayang pakaian sebegitu dan akan terbayang Superman. Begitulah hebatnya pengaruh Superman ni, dari pelbagai aspeklah, tapi dari segi sinisnya, kebanyakkan orang akan terbayang pakaiannya tu lah.

Biarpun pakaiannya nampak sangat "memalukan", tapi wataknya tetap tanpa segan silu memakainya dengan bangga, mungkin sebab dia tahu dia kebal, jadi hangpa katalah apapun, aku tetap Superman, begitulah agaknya yang akan bermain di fikiran orang yang menjadi "Superman" ni. Dan, seperti yang dipaparkan dalam filem "SUPERMAN", Christopher Reeve telah berjaya meyakinkan penonton bahawa dia tidak kelihatan canggung dalam mengenakan pakaian sebegitu, bahkan nampak elegan dan "regal" la pulak (ewah!). Dean Cain pun boleh la tahan jugak dalam bawaannya dalam siri "LOIS & CLARK", tapi tetap tak boleh lawan Chris Reeve. "SMALLVILLE"? (SPOILER EPISOD AKHIR!!!) Kita tak nampak sangat "Superman"nya.

Namun, walaupun wataknya tak segan-silu dan malu mengenakan pakaian sebegitu, nampak gayanya syarikat penerbitannya iaitu DC Comics mungkin berfikiran sebaliknya. Mungkin nak cari pelanggan dan peminat baharu, jadi mulai September 2011, mereka telah bertindak mengadakan "pelancaran semula" (relaunch) siri-siri komik mereka yang melibatkan 52 judul, termasuk di antaranya ialah dua judul melibatkan Superman iaitu "ACTION COMICS" dan "SUPERMAN". Kesemua judul-judul ini akan mengalami penomboran semula di mana kesemuanya akan kembali bermula kepada isu pertama (sayangnya, Action Comics dah pun sampai isu ke-900, kena mula balik pulak). Di samping bermulanya kembali nombor isunya, berlaku juga sedikit (atau banyak, bergantung kepada judul komik/watak yang terlibat) rombakan dari segi penceritaan dan kisah asal-usulnya (origins), dengan alasan untuk disesuaikan dengan generasi sekarang dan untuk menarik pembaca/peminat baharu (di samping mengetepikan/alienate pembaca/peminat setia lama?). Almaklumlah, watak-watak ni ada yang dah muncul sejak tahun 1930an dan masih tak tua-tua, jadi itulah antara resepinya, diperbaharui pada setiap generasi pembaca. Di samping rombakan dari segi jalan cerita dan asal-usul, dari segi kostum juga ada rombakan, dan Superman antara yang terlibat dalam rombakan ini.

Maka, bagaimanakah bentuk kostum Superman yang berubah itu? Mari kita saksikan...

Sabtu, 24 April 2010

"Zaid sanggup nikah dengan hang..."

Dipetik daripada filem MAMI JARUM JUNIOR arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Babak yang berdialog itu dilakonkan oleh Rita Rudaini sebagai Rita (Mami Jarum Junior), Rosnah Mat Aris sebagai Chombee, dan Ikhzal Azfarel Ideris sebagai Zaid.

Pinangan pihak Chombee terhadap ibu bapa Jasmin untuk dijodohkan dengan Zaid telah ditolak. Semua ini gara-gara Ezad. Pada masa yang sama, Rita juga semakin hari semakin tertekan dihina dengan gelaran "Anak Dara Tua". Seolah-olah macam semua orang yang dijumpainya, akan memulangkan kata-kata itu kepadanya setiap kali dia membuka mulut menceritakan kisah orang lain (sebagaimana peranannya sebagai 'Mami Jarum Junior'). Hm... tapi ini bukan gara-gara Ezad.

Rita nekad. Walau apapun yang terjadi, dia tetap akan bertindak seperti yang dirancangnya. Dia mengenakan pakaian yang paling mengancam pada hari itu. Dia akan ke pejabat Ezad. Dia akan menggoda Ezad. Biar Ezad tergoda dengan keayuannya. Semua ini dilakukan dengan bermatlamat.

Supaya dia dapat berkahwin dengan Ezad dan menghapuskan status andartunya itu.

Atau.

Supaya dia dapat memastikan Zaid dapat berkahwin juga dengan Jasmin setelah Ezad meninggalkan Jasmin untuk bersama Rita.

Hmm... yang mana satu motif sebenar Rita ni? Alahai, malangnya, sampai ke hari ini, aku masih keliru dengan motif sebenar Rita menggoda Ezad di pejabatnya. Motif sebenarnya memang tak digambarkan dengan jelas. Rentetan peristiwa yang berlaku sebelum Rita bertindak sedemikian membuatkan aku (selaku penonton) menyangka Rita berbuat demikian kerana tak tahan digelar andartu.

Pada masa yang sama, dia juga marahkan Ezad, sebab kerana Ezadlah Chombee tak dapat meminangkan Jasmin untuk Zaid, jadi tindakannya itu boleh juga dibaca supaya Ezad tergoda dengan Rita dan meninggalkan Jasmin dan seterusnya Jasmin boleh dipinang Zaid.

Ataupun boleh jadi juga "sambil menyelam minum air". Tapi tetap tidak dapat menjelaskan kenapa tidak Rita saja yang dipasangkan dengan Zaid? Senang cerita kan?

Walau bagaimanapun, ternyata cubaan Rita menggoda Ezad gagal. Mungkin sebab Rita terlebih-lebih memburukkan Jasmin, sementara Ezad pula dah masak dengan perangai mengadu domba Rita itu. Lalu dengan tidak gentlemannya Ezad melayangkan sebuah "penampaq" ke muka Rita sebagai tanda tidak setujunya. "Tahniah" kerana telah memukul seorang wanita, anda memang "hero"! :P

Lalu, dengan marahnya Rita berlari keluar dari pejabat Ezad. "Jantan pendek hitam!" menjadi kata-kata terakhir dalam jeritan Rita sebagai tanda protes kepada Ezad.

Kesian Rita. Tapi ini tak sedahsyat dengan apa yang bakal berlaku kepada Rita beberapa hari kemudiannya.

...

Khamis, 22 April 2010

"Zaid pun ada maruah jugak!"

Dipetik daripada filem MAMI JARUM JUNIOR arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Babak ini dilakonkan oleh Rita Rudaini sebagai Rita (Mami Jarum Junior), Rosnah Mat Aris sebagai Chombee, Azizah Mahzan sebagai Zaiton, Chik sebagai Chik, dan Ikhzal Azfarel Ideris sebagai Zaid.

Dahulu, memang Fatimah digelar 'Mami Jarum', namun setelah keburukan rumah tangga orang yang sering diceritakannya itu turut menimpanya, Fatimah sudah insaf dan bertaubat lalu pergi ke Mekah mengerjakan Umrah (kerana dalam cerita Melayu, orang yang insaf mesti kena pi ke Mekah, heh!). Walau bagaimanapun, kekosongan jawatannya segera diisi oleh anak didiknya, iaitu Rita! Memakai gelaran 'Mami Jarum Junior', Rita meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Fatimah.

Memandangkan Rita kini kesendirian, dia berkawan pula dengan Chombee. Walau bagaimanapun Chombee tidaklah pula mengambil alih peranan Fatimah, kerana dia tidak mengata hal orang sepertimana Fatimah. Namun dia juga menjadi mangsa hasutan Rita.

Ya, untuk pengetahuan, Rita lebih 'jahat' daripada Fatimah. Kalau Fatimah hanya membawa cerita buruk orang lain, mengumpat mengenai orang lain, berdasarkan fakta atau cakap-cakap orang, Rita pula terang-terang memfitnah dan mengadu domba, apatah lagi melaga-lagakan antara satu sama lain dengan mendakwa bahawa orang tertentu menghina orang tertentu, padahal semua itu rekaan Rita semata-mata. Dan fitnah Rita ini membuatkan pihak-pihak yang dilagakannya betul-betul bergaduh.

Rita melaga-lagakan Datin Nora dan keluarganya dengan Fatimah (mentornya sendiri!) dan keluarganya, memandangkan Datin Nora kini bermadu dengan anak Fatimah iaitu Sheqah. Shafinaz dan Ezad juga berpisah akibat bawaan mulut Rita (tapi memang cinta mereka dah jadi terlarang dah pun, kan kakak Shafinaz dah menikah dengan bapak Ezad?). Chombee sendiri juga bertarik-tarik rambut dengan Bee (adik Fatimah) akibat difitnah oleh Rita.

Orang ramai bertambah meluat dengan Rita, sehingga menggelarkannya sebagai ANDARTU (ANak DARa TUa), memandangkan dalam umurnya yang tidak begitu muda, dia masih belum berkahwin. Hal ini membuatkan Rita menjadi terdesak, lantas mengubah penampilan dirinya, daripada berkebaya dan memakai banyak barang kemas (sepertimana mami-mami tua yang dia berkawan, seperti Fatimah dan Chombee) kepada penampilan yang lebih muda dan daring.

Walaupun begitu, satu perangai Rita yang agak baik lagi mulia ialah, dia tidak jemu-jemu membantu mencarikan calon isteri untuk Zaid, anak lelaki Chombee itu. Entah kenapa dia berbuat demikian, dan entah kenapa dia sendiri tidak mencalonkan dirinya untuk menjadi menantu Chombee, masih menjadi misteri, padahal Zaid seolah sudah memberi hint (bunga) kepada Rita.

Antara yang dicarinya ialah seorang gadis cantik yang mana Rita dan Chombee sendiri pergi ke rumahnya. Malangnya, suara gadis itu seperti jantan, lalu ditolak mereka. Seterusnya, Rita tertarik pula kepada Jasmin, anak kepada Chik, tukang emas yang selalu dikunjungi oleh Rita dan Fatimah, setelah melihat kelibat Jasmin di situ dan terpesona dengan kesopanannya. Lantas dia mengunjungi rumah Chombee dan menceritakan mengenai hal itu. Dan seterusnya, berangkatlah Rita, Chombee dan Zaid ke rumah Chik.

Rabu, 21 April 2010

"Zaid nak minum!"

Dipetik daripada filem MAMI JARUM arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Babak ini dilakonkan oleh Kartina Aziz sebagai Fatimah (Mami Jarum), Norlia Ramli sebagai Datin Nora, Maidin sebagai Elvis Rosli, Vanida Imran sebagai Sheqah, Zahida Rafik sebagai Shafinaz, Rita Rudaini sebagai Rita (Mami Jarum Junior), Sheila Mambo sebagai Bee, Rosnah Mat Aris sebagai Chombee, Ezad Exist sebagai Ezad, Ismail Din sebagai Dato' Meera, Piee sebagai Piee, dan Ikhzal Ideris sebagai Zaid.

Seminggu telah berlalu, dan tibalah hari yang dijanjikan. Fatimah, adiknya iaitu Bee, dan teman seperjuangannya iaitu Rita menanti-nanti kehadiran rombongan meminang. Setelah puas menunggu, akhirnya sampailah sebuah kereta mewah di hadapan rumah Fatimah. Alangkah terperanjatnya Fatimah mendapati tetamu yang sampai itu ialah Datin Nora, kawan barunya itu. Bertambah-tambah terkejut lagi apabila mendapati bahawa anak Datin Nora yang ingin meminang Shafinaz itu ialah Ezad, posmen yang dihalau dan dihinanya beberapa hari sebelum itu. Setelah termalu seketika, Fatimah lega mendapati dia akan berbesankan seorang Datin. Walau bagaimanapun, Dato' Meera, bapa Ezad, ada temujanji dan hanya akan datang lewat sedikit.

Setelah menjemput rombongan Datin Nora masuk ke rumah, kedengaran pula salam diberikan dari luar. Rupa-rupanya Chombee datang bersama Zaid dan rombongan mereka. Dengan suka hatinya, Fatimah menjemput mereka masuk. Agenda pun dimulakan dengan perbincangan mengenai peminangan, pertunangan dan tarikh pernikahan untuk Shafinaz dan Ezad. Setelah semuanya selesai, Fatimah meneruskan dengan agenda "tergemparnya", yang tidak diketahui oleh semua hadirin, kecuali Chombee.

Selasa, 20 April 2010

"Zaid ka?"

Dipetik daripada filem MAMI JARUM arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Babak ini dilakonkan oleh Kartina Aziz sebagai Fatimah (Mami Jarum), Rosnah Mat Aris sebagai Chombee, dan Ikhzal Ideris sebagai Zaid.

Fatimah digelar "Mami Jarum" oleh orang yang mengenalinya kerana sifatnya yang suka membawa cerita mengenai keburukan orang lain kepada sesiapa yang dijumpainya. Dia juga sentiasa menganggap dirinya yang paling sempurna dari segi pembawaan diri dan penjagaan kedua-dua anak gadisnya berbanding orang lain. Baginya, tiada orang yang lebih pandai menjaga rumahtangga selain daripada dirinya. Antara yang paling tidak disukainya ialah apabila seseorang perempuan berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih tua daripadanya. Apatah lagi adik perempuannya sendiri, Bee, turut menjadi "mangsa" perkahwinan sebegitu kerana menikah dengan Piee yang jauh lebih tua. Setiap kali berjumpa, Fatimah akan mengungkit perkara demikian dan memperlekehkan adik dan iparnya itu.

Walau bagaimanapun, Fatimah menerima sedikit tamparan hebat apabila mendapati anak bongsunya, Shafinaz, berpacaran dengan seorang posmen, sedangkan dia mengidamkan menantu yang berpendapatan tinggi, sesuai dengan statusnya yang juga dalam kalangan orang berada. Ini ditambah pula dengan cerita yang dibawa oleh Bee, bahawa suaminya iaitu Piee dikatakan ada terlihat anak sulung Fatimah, iaitu Sheqah, "baguih punya dok dating dengan satu jantan tua". Mujurlah anak bongsunya itu akan ada yang akan masuk meminang pada minggu hadapan, tetapi anak sulungnya, dengan "jantan tua"? Oh, tak mungkin Fatimah akan membiarkan maruahnya tercalar. Beliau tidak mahu keluarganya terjebak dalam perkara yang selalu terjadi dalam keluarga orang yang selalu diaibkannya itu. Lalu dia pun pergi ke rumah teman baiknya, Chombee, merisik anak lelaki Chombee untuk dijodohkan dengan anak sulungnya itu.

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang