Rabu, 2 Januari 2008

Animasi Saladin - Indah Khabar dari Rupa?

Dalam pos yang lalu, aku menceritakan "pengalaman" aku "bertemu" dengan projek animasi yang sungguh menarik perhatian aku, iaitu animasi SALADIN (pada saat aku pos entri ini, laman sesawang rasmi animasi Saladin tu tengah down). Ya, daripada pertama kali aku "terserempak" sehinggalah pada saat ini, pendirian aku terhadap projek ini banyak berubah.

Projek ini melalui beberapa perubahan yang menghairankan aku. Daripada filem animasi (seperti yang digambarkan dalam gambar di sebelah, ya, biarpun dia kata "The Animated Series", tapi rekabentuk watak Saladin dalam siri animasinya tidak berjanggut macam tu), kini rupanya kita tahu bahawa projek ini mencakupi dua "fasa". "Fasa" pertama ialah siri animasi sebanyak 13 episod, yang entah bila nak siap untuk ditayangkan tu, menceritakan zaman muda Saladin, sebelum menjadi pemimpin yang kita kenali sekarang. Dan "fasa" terakhir ialah filem animasi yang akan menceritakan Saladin pada zaman dia sudahpun menjadi Sultan dan mengetuai kaum Muslimin menentang keganasan tentera Salib. Dan menurut laman sesawang rasmi animasi Saladin tu, kelihatan seperti gambar di bawah inilah rekabentuk watak untuk siri animasi tu (perhatikan Saladin versi muda ni tak berjanggut).

Ahah, akhirnya, pada tanggal 1 September 2007 (sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia), Astro Ria akhirnya menayangkan buat pertama kalinya di stesen TV di Malaysia ini, DUA EPISOD TERAWAL siri animasi Saladin ini!

Ooops, nanti sat… DUA EPISOD SAHAJA?! Yep, TIGA kalau termasuk sekali dengan rancangan khas "di sebalik tabir" atau apa saja yang nak dipanggilnya tu, hoh!

Jadi, bagaimana dengan episod yang ditayangkan itu? Ya, bagaimanakah pandangan aku terhadap siri "Smallville" versi Saladin ini (sebab menceritakan zaman muda Saladin, sepertimana SMALLVILLE menceritakan zaman muda SUPERMAN), dan bagaimanakah perwatakan Saladin sepertimana yang digambarkan dalam siri tersebut, dan apakah yang membuatnya berubah menjadi Super… er, maksud aku SULTAN Saladin seperti yang kita kenal sekarang?


Ya, seperti yang diiklankan menerusi poster (yang pastinya sudah difinalizekan tu) di sebelah tu (boleh klik di gambar tu untuk saiz yang sebenar/lebih besar). Perhatikan serban Saladin kelihatan lebih serabai, mungkin menunjukkan jiwa remajanya yang memberontak. Oh ya, versi yang aku tonton ini adalah versi Bahasa Melayu, maka ini bermakna siri ini juga bakal ada dalam versi Bahasa Inggeris.

Oops, nanti dulu! Jiwa memberontak?! Apa kejadah yang aku maksudkan? Ya, dalam usaha untuk memartabatkan dan menggemilangkan Saladin... ah, lupakan! Yang sebenarnya ialah dalam usaha untuk menarik perhatian orang muda (atau sebenarnya aku pun tak pasti apa tujuan penulis/pengarah cerita ni), mereka telah "meremajakan" watak Saladin. Oh tidak, bukannya remaja yang jenis yang beriman seperti yang biasanya dimiliki oleh orang hebat seperti ini (sepertimana yang kita baca dalam sejarah), tapi sebaliknya ialah remaja yang memiliki jiwa yang memberontak. Wah, kalau macam ini, aku lebih bagus daripada Saladin, sebab jiwa aku tak se"memberontak" seperti Saladin dalam kartun ni!

Hoho, apa yang aku cakapkan ni? Ha, dipersilakan membaca perenggan-perenggan berikutnya. Sekadar peringatan, perenggan berikutnya ini mempunyai 'SPOILER' kerana mempunyai plot atau jalan cerita yang mungkin akan men'spoil'kan pengalaman anda ketika menonton cerita ini nanti (seandainya ditayangkan pada entah bila) sekiranya anda belum pernah dan ingin menontonnya lagi tapi sudah "ter"membacanya terlebih dahulu di sini. Okay, dah jelas? Kalau dah, jom kita teruskan!

Alkisah maka tersebutlah cerita...

...Di mana di sebuah perkampungan di Damsyik, Saladin yang ketika itu masih kanak-kanak ribena (hmm, setahu aku nama sebenar Saladin ialah Yusuf bin Ayyub, dan "Salahuddin" tu ialah gelarannya, tapi di sini dia sudah dipanggil "Saladin" sejak kecik!), sungguh bersemangat dan bercita-cita untuk menyertai tentera dan menjadi "hero" untuk menentang tentera Frank (salah satu daripada bangsa Eropah yang menyertai gagasan Tentera Salib). Kebetulan kampung tempat dia tinggal itu bakal diserang oleh tentera-tentera ini, maka semestinya setiap pemuda yang berada di situ akan berkewajipan untuk menjadi tentera pada ketika itu untuk mempertahankan negara dari ancaman musuh. Antara yang terlibat ialah abang kepada si Saladin ini. Dan Saladin sendiri, memandangkan dia masih kecil (dan belum aqil baligh la tu kot), maka terpaksalah dia berlindung di rumah sebab dia masih terkategori dalam golongan "kanak-kanak".

Kemudian cerita ini melangkau ke sepuluh tahun kemudiannya. Si Saladin sudah remaja dan kelihatan sangat "berangin" (gambaran tipikal lagi klisé terhadap golongan remaja). Oh, rupanya abangnya, yang terlibat dalam perang, sepuluh tahun yang lalu tu, terkorban dalam perang tersebut. Saladin yang sangat mengagumi abangnya itu, sudah kehilangan tempat pautan, sekaligus kehilangan semangat dan jatidiri. Dia bukan saja sudah tidak bersemangat menjadi tentera sepertimana dirinya sepuluh tahun lalu (aku tak pasti sebab dia bersikap sebegini, mungkin sebab kematian abangnya, aku menghadapi kesukaran nak memahami dialog yang diucapkan oleh watak-watak dalam kartun ni, nanti aku bagitau sebabnya), malah sekarang sudah berani melawan cakap bapanya. Yep, inilah dia contoh anak muda yang "soleh"!

Dalam dialog "pertengkaran" antara Saladin dan bapanya, bapanya bertegas supaya Saladin menjadi seperti yang "ditakdirkan" ke atasnya, iaitu berlatih untuk menjadi tentera agar dapat memerangi tentera Salib dan membebaskan umat Islam (aku tambah ja bab "membebaskan" tu). Tapi Saladin yang dengan jiwa remaja memberontaknya tu (ceh!) pula dengan tegasnya membantah, dengan mengatakan bahawa dia "TAK MAHU MENERIMA TAKDIR YANG DITENTUKAN ORANG LAIN KE ATASNYA", sebaliknya dia kata dia "BERHAK MENCARI HALUAN HIDUPNYA DAN MENENTUKAN "TAKDIR"NYA (destiny) SENDIRI" (apa kejadah?! Bunyi sebijik macam watak Clark Kent dalam siri SMALLVILLE).

Akhirnya, dia bertindak nekad untuk keluar (baca: LARI) dari rumah (ya, sepertimana remaja lain kalau dah tak sehaluan dengan bapa) untuk melihat dunia. Di sini kita berkenalan pula dengan watak sahabat baiknya yang diberi nama Tarik (bukan "Teh Tarik" atau "Tarik Tali" ya!). Menurut laman sesawang rasmi animasi Saladin ini sendiri, Tarik diberikan perwatakan yang pengecut dan suka menyelesaikan masalah secara aman (dengan membuat lawak bodoh di hadapan musuh berkenaan) daripada bergaduh. Kalau Saladin cekap menggunakan pedang (kononnya), dia ni pulak cekap guna busur dan anak panah (senjata "pengecut" la kot, jarak jauh, tak perlu bersemuka).

Apa peranan si sahabatnya Saladin ni? Ha, memandangkan mereka semua nak "lari dari rumah" dan mengembara (untuk mencari halatuju kononnya tu), maka mereka pun sibuklah mencari pedagang mana yang perlukan escort atau "khadam" untuk membawa barang dagangannya. Di sini kita akan perasan bahawa watak Tarik ni saling tak tumpah macam watak-watak 'sidekick' kepada watak 'hero' seperti yang selalu kita tengok dalam kartun-kartun Disney tu. Aaa... nanti aku ulas lagi pasal "kartun Disney" ni.

Alkisah lagi mereka terserempak dengan watak protagonis ketiga dalam siri ini, iaitu Anisa. Menurut biodata "rasmi"nya, Anisa yang kelihatan seperti gadis 'Gypsy' ni merupakan seorang "penyeluk saku, pencuri dan penipu" (uih, memang contoh tauladan yang perlu dicontohi, syabas!).

Entah macam mana, Saladin, Tarik dan Anisa ni terjebak dengan sebuah komplot nak mencuri batu permata apa entah yang sangat berharga. Seorang penjahat ni telah mengupah Anisa supaya mencuri batu berkenaan dari seorang saudagar (yang sebelumnya pernah menolak untuk menerima tawaran Saladin dan Tarik untuk menemaninya berekspedisi membawa barang dagangan ke luar Damsyik). Tatkala Anisa berjaya melarikan batu berkenaan, maka dicubanya untuk dihalang oleh Saladin dan Tarik.

Akibatnya berlakulah pertembungan dan terbongkarlah konspirasi yang lebih besar. Maka kelucuan pun berlaku, dan kita boleh lihat babak-babak aksi yang lawak tak ubah macam yang kita tengok dalam filem animasi Disney's Aladdin ataupun filem animasi Sinbad: Legend of the Seven Seas (lakonan suara Brad Pitt tu). Saladin lawan penjahat, Tarik buat lawak sambil lari dari penjahat, Anisa curi batu tapi belot tak mau serah kepada orang yang mengupahnya... benda-benda macam ni memang kerap kita tonton dalam cerita kartun Disney, kan?

Akhirnya Saladin dan Tarik berjaya menyelamatkan keadaan dan saudagar berkenaan bersetuju menerima khidmat mereka berdua. Maka sebelum berangkat, akhirnya si bapa Saladin pun merestui (baca: MENGALAH) keputusan yang diambil oleh Saladin ni (ha, biasalah, dalam cerita macam ni, jiwa anak yang memberontak biasanya akan berjaya menumpaskan bapa yang biasanya akan digambarkan sebagai tegas dan tak menerima pandangan orang lain). Keputusan apa? Keputusan "nak cari halatuju" tu!

Maka sebagai tanda perestuan, "dianugerahkannya" si Saladin tu dengan sebilah pedang turun-temurun keluarga mereka. Pedang yang sama ini juga pernah digunakan oleh abangnya sebelum terkorban sepuluh tahun sebelum itu. Maka dengan bangganya Saladin menghunuskan pedang yang bercabang dua di hujung tu. Hah, pedangnya tu sebijik macam pedang 'ZULFIQAR' yang pernah digunakan oleh Rasulullah SAW sebelum diperturunkan pada Saidina Ali RA. Aiii? Sejak bila keturunan keluarga "Saladin" ni boleh mewarisi dan memilik pedang Zulfiqar ni?

Maka tamatlah episod satu. Dan aku seterusnya tak tengok pun episod kedua, hoho!

Ada apa dengan Saladin?

Komen aku pasal animasi ini? Terus-terang dan dengan jujurnya aku cakap, aku tersangat, sangat-sangat, sangat kecewa dengan animasi ini. Dalam bahasa mudahnya; HAMPEH! Sangat-sangat tidak seperti yang aku harapkan. Apahal pun inilah akibatnya kalau harapan/expectation tu tinggi sangat, memang kalau "jatuh" (kecewa) tu mesti merudum punya! Banyak kali dah aku terkena cara macam ni, huhu...

Ya, benar, memang kita dok dengar filem ni banyak kali menang anugerah. Anugerah "Tokyo Big Sight Award" di Pesta Anime Antarabangsa Tokyo 2007 (anime tu!). Kita tau kerajaan melalui MOSTI, MSC dan MDeC dah belanja entah berapa juta ringgit untuk projek ini. Tapi ini tidak bermakna ianya akan bagus kalau dah memang ianya "hampeh". Izinkan aku menyenaraikan apa yang "hampeh"nya kartun ini.

KUALITI ANIMASI
Sekali tengok, memang nampak macam bagus kualiti animasi kartun ni. Tapi macam aku kata la, "SEKALI TENGOK"! Nah, tengok betul-betul. Kualiti animasi pada episod pertama yang aku tengok, sangatlah tidak lancar. Ada beberapa babak kelihatan macam watak tu tengah kena geletek, sebab nampak "terloncat-loncat" sangat. Ya la, siapalah aku nak pertikai hasil kerja orang dari segi teknikal kan? Tapi dah pengalaman tengok kartun berbelas tahun tu, boleh jugak la menilai elok atau tak elok.

Namun tak mengapalah. Mungkin juga animasi yang disiarkan tu masih belum betul-betul 'clean'. Biasalah tu, nanti mereka boleh betulkan lagi. Ataupun aku mengambil sikap untuk tidak membandingkan dengan produksi Barat atau Jepun. Sudah semestinyalah kan animasi mereka, secara umumnya, lebih kelihatan berkualiti. Jadi, kalau kita dapat atasi kualiti mereka, itu lagi bagus lah kan? Tapi kalau capai sedikit pun, kira okay lah.

Cuma, masalahnya, dengan jutaan ringgit yang dilaburkan, dan apabila dibandingkan dengan sebuah lagi animasi 3D produksi tempatan (nanti aku ulas pasal animasi ni, tapi klunya ialah, pernah ditayang setiap hari waktu berbuka di TV9 sekitar Ramadhan lalu, hehe...), kelihatan kualiti animasi "yang lagi satu" tu nampak lebih elok. Apatah lagi dengan 'low-profile'nya produksi berkenaan (berbanding Saladin yang lebih dipuji bagai nak rak), maka mahu juga mempersoalkan, berbaloikah duit yang dicurahkan dengan kualiti yang dipersembahkan.

Oh ya, aku juga kecewa dengan rekabentuk watak-watak dalam animasi ni. Terlampau ke"Disney"an. Muka "Saladin" ni sebijik macam muka "Aladdin" kartun Disney tu (sementara Saladin versi dewasa yang dah berjanggut tu pulak macam muka watak Sinbad dalam filem animasi lakonan suara Brad Pitt dan Angelina Jolie... aik, macam janji ja depa berdua ni!). Sementara watak Tarik tu pulak mengingatkan aku pada watak monyet dalam kartun Aladdin tu, apa nama dia? Aboo? Ha, dia la tu!

Apa tak ada rekabentuk yang lebih original atau bersifat tempatan ka? Kita nak tengok "kartun Malaysia". Kalau nak tengok "kartun Disney", dah berlambak dah di pasaran tu!

JALAN CERITA
Terus-terang aku cakap, jalan cerita macam ini adalah merupakan "kitar semula" bagi animasi yang selalu kita tengok di TV, terutamanya yang dibuat oleh Disney tu. Aku rasa dalam banyak-banyak animasi terbitan tempatan yang lain, memang banyak yang menampilkan jalan cerita yang, biarpun tidak begitu original, tapi jauh lebih menarik daripada yang dipaparkan dalam satu episod kartun Saladin ni.

Sementara animasi tempatan kita yang lain bersifat "Malaysia" dan "tempatan", animasi Saladin ni hanyalah sebuah "wannabe" animasi Barat. Dah la wannabe, tak jadi pulak tu! Dah tu, nak kata animasi tempatan pun tak boleh juga, sebab sifatnya tak ada langsung. Seolah macam penulis skrip kartun Disney "reject" mana entah yang mereka upah untuk tulis skrip dan dialog cerita ni. Ha, inilah dia lagi antara sebab utama masalah ini, selain daripada dari segi jalan cerita, iaitu dari segi dialog.

DIALOG
Ha, aku ada cakap tadi yang ditayangkan tu versi Bahasa Melayu kan? Kemudiannya aku jugak ada tersebut sikit mengenai masalah untuk memahami dengan jelas dialog yang diucapkan oleh setiap watak. Nak tahu sebab apa?

Sebabnya ialah siri animasi ni, dan aku memang pasti, diterbitkan secara defaultnya dalam BAHASA INGGERIS! Maksud aku ialah, skrip dan dialog cerita ni secara aslinya adalah dalam Bahasa Inggeris. Nak tahu macam mana aku boleh tahu ini? Sebab watak-watak dalam cerita ini bertutur dalam Bahasa Melayu, tapi menggunakan struktur ayat Bahasa Inggeris! Kita tahu kan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris struktur ayatnya JAUH berbeza. Tapi ini la yang berlaku.

Cuba bayangkan seorang "mat saleh" yang fasih dari segi sebutan tapi lemah dari pembinaan ayat, cuba bercakap Bahasa Melayu. Cuba bayangkan kalau kita terjemah bulat-bulat ayat dari Bahasa Inggeris TERUS ke Bahasa Melayu tanpa sebarang penyesuaian yang dibuat agar kelihatan seperti dialog Bahasa Melayu yang normal. Anda akan mendapat hasilnya iaitu kualiti dialog dalam kartun Saladin ni, hehe!

Nah, itu yang sedihnya ni. Ini produksi tempatan. Tapi sayangnya dibina dengan minda barat. Maksud aku ialah dibina dengan berorientasikan "animasi barat" (memang dasar "wannabe"). Ya memanglah nak dipasarkan ke antarabangsa (kononnya) maka penggunaan Bahasa Inggeris adalah perlu (kononnya juga). Kalau nak buat dalam Bahasa Inggeris seratus peratus terus pun lagi bagus, buat la, tak kisah punya. Tapi kalau dah ada hati nak buat dalam Bahasa Melayu jugak tu, sekurang-kurangnya TOLONGLAH buat dialog yang bersesuaian!

Anda bayangkan anda sedang menonton kartun Amerika yang ditayangkan di TV9, yang dialihsuara ke Bahasa Melayu. Nah, macam tu la rasanya menonton kartun Saladin ni. Tang mana nak rasa macam produksi Malaysia ni? Rasa macam tengok kartun "omputeh" yang didub ke Bahasa Melayu pulak tu! Padahal kualiti dubbing terhadap kartun orang putih tu jauh lebih bagus daripada kualiti dialog dan lakonan suara untuk kartun Saladin ni.

Kalau anda tonton kartun Saladin ni, anda akan dapati cubaan buat lawak oleh watak tertentu dalam kartun ni tidak akan menjadi, malah akan rasa seperti ada yang tak kena. Sebabnya ialah lawak berkenaan hanya akan jadi "kelakar" kalau dituturkan dalam Bahasa Inggeris. Lawak macam tu tak akan berkesan kalau diterjemah secara bulat-bulat ke dalam Bahasa Melayu. Aku tak reti nak bagi gambaran macam mana, tapi kalau anda layan dan faham benar macam mana lawak dalam Bahasa Inggeris beroperasi, maka mungkin anda dapat faham apa yang aku maksudkan. Maka kita kalau nak tengok kartun Saladin ni, kita kena set minda kita agar menjadi penterjemah ke Bahasa Inggeris. Dengan cara itu saja kita akan faham bukan saja lawaknya, malah keseluruhan dialog dalam kartun ni.

Ni yang buat aku sedih ni. Animasi Malaysia yang mengetepikan bahasa kebangsaannya sendiri. Teringat aku pada kartun KAMPUNG BOY, sama juga halnya. Nama saja kartun Malaysia kononnya, padahal bukannya dianimasikan atau diterbitkan di sini pun! Cuma pakai rekabentuk watak Lat, dan dibuat dengan berorientasikan Bahasa Inggeris jugak! Dialog Bahasa Melayu hanyalah sekadar dialog dub, diterjemah bulat-bulat ke dalam Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Oh, terlupa pulak, KAMPUNG BOY diterbitkan oleh produksi luar negara terus, bukannya terbitan tempatan! Tak apa la jugak kan? Tapi Saladin ni dihebahkan sebagai produksi ANAK MALAYSIA!

LAKONAN SUARA
Lakonan suara pun hambar. Nazruddin Rahman (Abang Naz, yang sekarang jadi hos THE BREAKFAST SHOW tu), dia yang buat suara Saladin. Tapi aku tak pasti sama ada dia buat untuk kedua-dua versi atau hanya untuk versi Bahasa Inggeris (yang lebih diutamakan tu!).

Lakonan suara Saladin dan kesemua watak dalam kartun ni "tidak mengena" kerana yang paling utamanya ialah berpunca daripada kualiti "terjemahan" untuk dialog mereka. Kalau dah cakap Melayu pakai uslub Inggeris tu, mana nak datang 'feel'nya? Pernah tengok iklan INDAH WATER? Dialog "aku tengah minum ni kau cakap pasal tandas"? Perasan kan nada mamat tu cakap dalam iklan tu tak kena? Sebab intonasi sebegitu hanya sesuai untuk ayat dalam Bahasa Inggeris (seperti dalam iklan yang sama versi Bahasa Inggeris). Ha, macam itulah kedengarannya dialog-dialog dalam kartun ni.

Kemudian ada la satu watak tu, pelakon suaranya, bagi yang peka, memang akan perasan bahawa kita pernah dengar suaranya dalam iklan-iklan di TV. Ya, pelakon suara untuk produk dalam iklan TV. Boleh bayangkan nada suara yang mempromosi dan menceritakan faedah produk yang diiklankan tu? Contohnya iklan susu Dumex, dia cerita habis ada Enfagrow la, vitamin ABC pa semua tu ada belaka. Ha, nada dan intonasi yang sama jugak yang dia pakai untuk lakonan suaranya. Akibatnya kita bukannya dengar dia "bercakap", tapi seperti dengar iklan! Kesimpulannya, suara macam ini akan kedengaran monotonous, tak ada emosi, macam dengar robot yang bercakap.

Terus terang cakap, siri animasi Malaysia yang "cikai" macam yang kita dok tengok kat TV kita tu, yang bajet rendah tu, lagi memiliki "emosi" daripada kartun Saladin ni.

LAIN-LAIN
Sebagai orang Islam pula, aku jadi bertambah kecewa dengan kartun Saladin ni. Kononnya nak angkat tokoh orang Islam yang terkemuka. Tapi apa kejadahnya tak ada sorang pun dalam kartun ni yang hidup atau berkelakuan seperti seorang Muslim pun?

Untuk pengetahuan, sepanjang aku menonton episod pertama tu (episod kedua aku tak tengok jadi aku tak tau), tak pernah SEKALIPUN aku dengar ada mana-mana watak ucap "Assalamu`alaikum" pada orang lain. Saladin balik rumah pun cakap "hai, saya dah balik" (ni mesti terjemah dari dialog asal iaitu "hi, I'm home").

Kalimah ALLAH tu jauh sekali la, tak pernah dengar pun. Aku faham la kot-kot kalau dialog dalam Bahasa Inggeris, mungkin kalimah tu diganti dengan perkataan GOD (maksud sama juga), atau mungkin nak jaga "sensitiviti" agama lain la kononnya kot. Tak apalah, kita "beralah". Tapi ini versi Bahasa Melayu, jadi apakah salahnya menyebut ALLAH instead of TUHAN? Kan semua watak dalam kartun tu Muslim? Jadi secara kebiasaannya seorang Muslim akan sebut ALLAH untuk merujuk pada TUHAN. Ni nak jaga hati sapa pulak la ni? Nak sebut ALLAH pun berat sangat ka?

Hmm... tak kisah la, bagi orang lain mungkin ni hal kecik ja, tapi bagi aku ni hal agak serius. Lainlah kalau kartun ni menampilkan tokoh "fiksyen" atau "dongengan" lain. Tapi, macam aku kata tadi, ini tokoh yang benar-benar wujud. Tokoh Muslim pulak tu. Nama dia memang, secara lumrahnya, sinonim dengan Islam. Jadi tindakan sebegini sangat tidak wajar.

Paling tak tahan tu, pada penghujung kredit tu (iaitu ketika terpaparnya nama pelakon suara, nama kru dan sebagainya tu), lepas terpaparnya logo MOSTI tu, terpampang, dengan "bangganya" la tu, kalimah "BUATAN MALAYSIA". Adoi, ni nak kata apa ni? Tak sanggup pulak nak gelar "poyo", tapi apa perlukah kita selalu sangat jaja kepada dunia bahawa kita ni "BOLEH" la, itu la ini la? Sedangkan kualiti tak seberapa, harap "sorak" ja yang lebih, tak ada rasa rendah diri (baca: TAK MALU) ka?

Pernah ka kita tengok pada kredit penutup animasi terbitan Barat atau Jepun atau Korea atau negara-negara lain punya animasi, yang dihujungnya terpapar (dengan "poyo"nya) kalimah "Made in USA/Japan/Korea/etc"?

Kesimpulan

Maka kesimpulannya, berdasarkan poin-poin aku di atas, maka aku mengatakan aku "tidak bersetuju" dengan animasi ini. Tak ada markah atau pujian yang boleh aku bagi.

Yang aku nampak ialah akibat daripada terlampau ingin mendapat pengiktirafan daripada Barat (melalui "pembaratan" watak dan dialog dalam kartun Saladin ni), serta keinginan yang mendalam untuk "menjulang" kalimah "BOLEH" kita, sepertimana "projek-projek mega" kita yang lain yang di'sugar-coat'kan sebagai hebat dan berkualiti tinggi dan bertaraf dunia, sedangkan hasilnya cuma "kulit" saja yang lebih... isi tarak!

Anda boleh cuba cari di Youtube, tonton dua episod terawal siri kartun ni, dan nilai sendiri. Bagi aku sendiri, bak kata orang putih, "I'm not impressed"...

7 ulasan:

  1. Hamba ni, bila baca blog tuan hamba ni, buat hamba rasa yang tuan hamba patut mengkhususkan untuk buat blog yang mempunyai niche "Multimedia dan Islam".

    Kot-kot boleh bongkar bagaimana mesej Islam disampaikan di seluruh dunia, melalui medium multimedia (teks, audio, filem, animasi, etc) sejak dulu sampai sekarang.

    Haa..cuba le!

    BalasPadam
  2. Haha, terima kasih atas cadangan. Tengoklah macam mana. Buat masa ni biarlah ianya menjadi blog "berkongsi minat dan pandangan" dulu.

    Nak tetap² niche ni, hamba takut nanti kena writer's block pulak nanti, tak ka naya! Dah la tak reti "menulis" pun, hahah! ;P

    Oh ya, hamba ada jumpa blog yang ada selit sedikit info mengenai "Islam in Science Fiction", "Islam in Fantasy". Menarik jugak tu, menyenaraikan serba sedikit karya² fiksyen (tak kira dalam apa medium) yang memaparkan Islam dan Muslim, dan bagaimana kita (Muslim) digambarkan oleh pengkarya berkenaan.

    Tapi hamba lupa pulak URLnya buat masa ni, heheh!

    BalasPadam
  3. Salam alaik..sirru ala barakatillah.Hmm...from ur review bout this movie..mengecewakan.x sangka lak camtu film ni..bru je smangat nk tngk kat utube..hihi...

    BalasPadam
  4. saya baca review saudara ni selepas saya dah tengok 2 episod awal saladin di youtube dan saya sangat bersetuju dgn pendapat saudara. agak pelik dengan watak saladin "muda" yang sangat jolly. salahuddin al-ayyubi adalah seorang tokoh yang pernah hidup, yang benar2 hidup pada satu masa dahulu. bagi saya, x patut kisah hidup beliau di'dongeng'kan. adakah tarik, anisa dan duncan benar2 wujud dalam susur galur hidup beliau? :/

    BalasPadam
  5. ha.saya dah tgk 2 epsod t'awal saladin ni,rasa pelik gak.pastu jumpa lak komen anda.and it seems that u r rite.asal citer dye cam x betul je..bkan ke salahuddin al-ayyubi ni zuhud orgnya sjk kecil lagi...

    BalasPadam
  6. Itu yang sedih tu. Sebab nak sangat kot pada pengiktirafan Barat, maka berlakulah "pembaratan" bagi sebuah watak yang Islamik ini. Namun tak menghairankan sangat, sebab sedangkan Nabi² yang diutuskan kepada mereka yang maksum pun digambarkan dengan gambaran yang menjelekkan dalam kitab² mereka, apa lagi watak yang bukan dari kalangan Nabi, nak pulak tokoh Islam, mestilah lagi mereka nak buruk²kan.

    Dok tertunggu² jugak ni. Dah nak lebih tiga tahun dah ni (atau mungkin lebih), tak siap² lagi ka? Filem GENG: PENGEMBARAAN BERMULA dah lama dah potong depa dalam kategori filem animasi 3D pertama tempatan ni, dah nak keluar filem kedua dah ni, SALADIN ni plak pa cerita? Hehehe...

    BalasPadam
  7. sebab kbanyakan yg terlibat@juruanimasi smuanya cina n director pon rasenye 'English-man', filem animasi Muhammad Utusan Terakhir bagus...even director die org barat...tpi bg sye kualiti animasi agak hebat gak lar n agak mbanggakan cuma kisah hidup Salahuddin mmg xbtul la..watak3 yg lain tu fiksyen je...cume pakcik yg mengajar dia ilmu perang tu yg betul, tpi selagi xlihat seluruh episod, xleh nk 'judge' la kot huhu

    BalasPadam

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang