Rabu, 9 Januari 2008

Selamat Tahun Baru 1429 Hijriah!

Masuk hari ini (sepertimana pada tarikh aku publish entri ini) maka genaplah 1429 tahun setelah junjungan mulia kita, Baginda Rasulullah SAW berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Aku tertarik dengan logo "Ma`al Hijrah" kita ni! Huruf 'ha' dengan berlatarbelakangkan sawang/sarang labah-labah (macam Spider-Man la pulak ya?). Ada signifikannya sarang lelabah tu dengan peristiwa Hijrah tu kan? Menurut riwayat, sarang lelabah inilah yang membuatkan Musyrikin Mekah yang memburu Saidina Rasulullah SAW serta sahabatnya Saidina Abu Bakr AS "tak jadi" masuk ke gua tempat mereka bersembunyi, sebab menurut mereka, mustahil gua berkenaan dimasuki orang kerana satu-satunya pintu guanya itu masih dipenuhi sawang. Maka demikianlah Allah SWT melindungi hamba-hambaNya itu daripada ditemui oleh mereka, iaitu dengan mengutuskan labah-labah agar membina sarangnya di pintu gua berkenaan.

Hoho, "canggih" juga logo kita tu kan? Setiap tahun kita akan pakai logo yang sama tanpa perlu menukar rekabentuknya. Aku rasa tak ada negara lain di dunia ni yang ada logo sempena Tahun Baru Hijriah yang sebegitu canggih macam kita ni!

Haha, sebetulnya aku bukanlah nak cakap apa sangat pun, bukan nak berceramah atau apa (sebab aku yakin mesti dah banyak blog lain yang lebih berkelayakan yang akan berbuat demikian), cumanya saja aku nak merenung kembali, bahawa hakikatnya kalau diukur umur aku menggunakan kalendar Hijrah ni, rupanya umur aku sudah pun setahun lebih tua daripada umur aku kalau menggunakan kalendar Gregory!

Tu kalau yang baru lahir sekitar 20 tahun yang lalu, bagaimana pula bagi yang dah lahir 40, 50 atau 60 tahun yang lalu? Rasanya mungkin ada yang sudah menjangkau tiga tahun lebih tua daripada umurnya dalam kiraan kalendar Gregory! Haha, sedarlah, rupanya kita ini sudah lebih TUA daripada yang kita sangkakan!

Ha, bagi yang tidak tahu tarikh lahir anda dalam kalendar Hijriah, cuba anda masuk ke laman web IslamicFinder ini (ataupun di sini juga boleh), masukkan tarikh serta tahun lahir anda dalam kiraan kalendar Gregory, dan kemudian hitunglah dari tahun Hijriah yang anda lahir itu, sehingga ke tahun ini, sudah berapa usia anda.

Hmm... tema bagi sambutan Ma`al Hijrah untuk tahun ini ialah "Menjana Ummah Gemilang". Seperti kebiasaan, pada malam tahun baru, biasanya boleh kata semua masjid, malah kerajaan sendiri menerusi JAKIM juga menganjurkan majlis seperti bacaan doa awal dan akhir tahun, dan seterusnya disusuli dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil.

Seperti kebiasaan juga, akan ada suatu golongan yang akan menentang amalan ini dengan alasan ianya amalan yang bid`ah lagi menyesatkan dan boleh membawa ke neraka. Mujurlah Majlis Agama kita bukanlah terdiri daripada golongan ini. Aku bersyukur kerana, biarpun "sejelik" mana pun Malaysia ini (menurut pandangan individu tertentu), namun Majlis dan Jabatan Agama kita bukanlah terdiri atau diketuai oleh golongan "pembid`ah orang lain" yang ternyata memecahbelahkan umat dengan menimbulkan isu-isu atau perkara-perkara khilafiyah yang sudah disepakati akan halnya (tak perlulah aku ulas panjang akan hal ini, hehe!), malah terdapat usaha untuk membanteras fahaman/anasir ini daripada menular ke pemikiran umat Islam di negara kita yang berfahaman Ahlus Sunnah Wal Jama`ah ini.

Oh ya, kalau tahun baru orang selalu sebut pasal "azam baru", iaitu melihat ke masa hadapan semata, tapi aku teringat dan tertarik dengan kata-kata Dato' Abu Hasan Din Al-Hafiz dalam rancangan KELUARGA DI 9 di TV9 sehari sebelum tahun baru 2008 yang lalu, iaitu kita seharusnya membuat "muhasabah" diri, iaitu bukan sekadar melihat ke masa hadapan sahaja, sebaliknya perlu merenung ke "masa lalu" kita, iaitu merenung kembali amalan kita, apakah dosa yang kita pernah buat, serta bertekad untuk memperbaiki diri, untuk "masa hadapan". Ha, benar juga, macam ini baru kena dengan konsep "azam baru", sekaligus menepati kalimah "hijrah" itu sendiri...

Ahaks, sekianlah "celoteh" Tahun Baru aku ni. Selamat Tahun Baru! 8)

2 ulasan:

  1. Apakah makna sebenar sarang labah-labah ini? Dia nak suruh kita ingat bahawa "With great power comes great responsibility". Tu pun kalau faham pengajaran filem Spiderman le..haha.

    Tapi bagus juga penerangan tuan hamba. Tak pernah pula terfikir sebelum ni untuk mengaitkan logo tu dengan peristiwa labah-labah membuat sarang di pintu gua tu! ;)

    BalasPadam
  2. "With great power comes great responsibility"? Hahah, itu pun betul jugak tu! Hamba pulak yang tak terfikir pasal ni!
    * Nota geek: Nak eja "Spider-Man" WAJIB ada simbol - yang memisahkan "Spider" dan "Man"... ;o)

    Ai, takkan selama ni hamba sorang saja yang "nampak" kaitan logo sarang lelabah tu dengan peristiwa tu? Hmm...

    Apahal pun, salam Ma`al Hijrah! :D

    BalasPadam

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang