Selasa, 4 Mac 2008

Dari Kacamata Hitam Horatio Caine

Biarpun berkongsi tajuk yang sama, namun setiap daripada siri CSI ini mempunyai perbezaannya yang tersendiri. Dan yang pasti, siri CSI telah menjadi salah satu daripada siri TV yang paling diminati di seluruh dunia.

Pengaruh siri police procedural ini telah mencetuskan fenomena yang dipanggil sebagai "CSI Effect", yang, secara ringkasnya, telah memberi impak kepada bagaimana sesuatu kes dikendalikan dalam dunia sebenar kita (dek kerana terpengaruh dengan siri ini). Antaranya ialah mahkamah kini lebih menitikberatkan aspek bahan bukti forensik, tak macam dulu.

Malah kat Malaysia kita ni pun turut terkena "efek" ini. Anggota polis kita khabarnya baru mula memiliki alat-alat yang selalu digunakan oleh anggota-anggota CSI pada tahun SETELAH tayangan pertama siri itu di kaca TV. Drama polis kita pun turut terjangkit, di mana selain daripada munculnya drama-drama polis baru yang mengisahkan aspek ini, siri yang sedia ada (GERAK KHAS) pun turut mengimplementasikannya.

Apahalpun, aku sebenarnya nak mengatakan betapa aku paling meminati siri CSI: MIAMI (laman sesawang rasminya) berbanding siri-siri CSI yang lain. Tak macam "abangnya" CSI: CRIME SCENE INVESTIGATION (laman rasmi) dan "adiknya CSI: NY (laman rasminya), ada beberapa ciri menarik yang buat aku lebih tertarik dengan CSI: MIAMI. Ini tidaklah bermakna aku tak minat dengan yang lagi dua tu, tapi CSI: MIAMI tetap nombor satu kalau nak disenaraikan ikut urutan.

Memanglah setiap daripada siri ini mempunyai ciri uniknya tersendiri. Kalau CSI: CRIME SCENE INVESTIGATION stailnya lebih kepada "science geek", dan CSI: NY pula lebih kepada cerita polis yang biasa yang dingin, CSI: MIAMI pula kelihatan pada watak-watak dan cara bekerja mereka itu lebih cool daripada yang lain. Lebih bombastik. Aku tak tahu kenapa aku rasa macam itu, tapi memang itu yang berlaku.

Kalau dalam CSI: CRIME SCENE INVESTIGATION tona warnanya agak normal tapi gelap sebab majoriti babak ialah pada waktu malam (dah memang kesemua watak utamanya itu bekerja syif malam pun), dan CSI: NY punya tona warna kebiruan (pada musim 1 sahaja, seterusnya tona), CSI: MIAMI punya tona warna kekuningan/kejinggaan yang sesuai dengan suasana Miami yang panas.

Kalau CSI: CRIME SCENE INVESTIGATION memaparkan tempat perjudian di Las Vegas, sementara CSI: NY memaparkan kawasan kota metropolitan New York, CSI: MIAMI pulak memaparkan kawasan pantai, parti liar dan gadis-gadis seksi yang... ehem... tapi ini BUKAN sebab utama aku minat siri ini ya!

Dan siri CSI: MIAMI lebih banyak menampilkan babak aksi, terutamanya babak tembak-menembak dan kejar-mengejar, berbanding CSI: NY, dan terutamanya CSI: CRIME SCENE INVESTIGATION (yang hampir tiada langsung babak sebegitu).

Kalau CSI: CRIME SCENE INVESTIGATION menampilkan Dr. Gil Grissom (doktor ja pun, bukannya polis betul), dan CSI: NY menampilkan Detektif Mac Taylor, CSI: MIAMI pula menampilkan Leftenan Horatio Caine (ya, pangkat Leftenan tu, sama dengan pangkat Inspektor dalam polis kita).

Membela orang

Ya, kalau nak dibandingkan dengan Gil Grissom (lakonan William Petersen) yang skema (terlampau ikut peraturan) dan nerd dan Mac Taylor (Gary Sinise) yang skema dan tegas, yang tidak teragak untuk memecat anak buah mereka jika mereka melakukan kesalahan, Horatio Caine (David Caruso) pula jauh lebih cool daripada mereka sebab dia tegas tapi fleksibel. Tak macam mereka berdua, dia sanggup buat apa saja untuk melindungi anak-anak buahnya (atau orang yang dipercayainya) sungguhpun terang-terang mereka melakukan kesilapan (kecil yang tak seberapa pun sebenarnya, adakalanya sebab tak sengaja atau dianiaya).

Contohnya, kalau ada pihak tertentu yang ingin melaporkan kesalahan tertentu yang dilakukan oleh anak buahnya, Horatio akan berusaha mencari (dan biasanya memang ada) kesalahan atau korupsi yang dilakukan oleh pihak yang menuduh tadi, dan memperguna maklumat berkenaan dengan mengugut akan turut melaporkan kesalahan itu, dan pihak yang menuduh ini (biasanya) akan bersetuju untuk sama-sama mendiamkan saja kesalahan masing-masing.

Dia tegas pada penjenayah, dan ekstra tegas (dan sangat ANTI) pada penjenayah yang mengakibatkan kematian (terutamanya kalau yang mati itu anggota polis), atau yang membuat jenayah ke atas kanak-kanak (bayangkan kalau kat Malaysia ada polis macam ini, mesti tak berani penjenayah kita nak culik bebudak), tapi lembut pada anak buahnya. Biarpun dia taklah kelihatan mesra sangat dengan anak-anak buahnya, tapi mereka menyenangi dan menghormatinya, dan setia padanya tanpa banyak soal, agaknya disebabkan oleh sikap Horatio yang banyak kali melindungi dan membela seperti yang aku sebut tadi.

Aku paling suka pada moral watak Horatio ni, berbanding "ketua-ketua" CSI yang lain. Dia lebih mementingkan nilai kemanusiaan daripada peraturan. Apabila perlu, dia boleh bertindak di luar peraturan dan undang-undang (contohnya dia pernah ke Brazil dan akhirnya membunuh seorang penjenayah yang sangat berbahaya tapi tidak disabitkan kesalahan atas sebab-sebab tertentu), dan tidak seSKEMA watak ketua CSI dari siri yang lain.

Membunuh orang

Cakap pasal bunuh, rasanya dialah satu-satunya watak ketua CSI yang telah membunuh paling ramai orang (penjenayah la). Gil Grissom tu pakai pistol pun tak reti, hah! Tapi biarpun dia kelihatan macam tak ada perasan sesudah membunuh orang, sebenarnya ramai yang tak tahu bahawa dia berasa teramat bersalah kerana telah mengambil nyawa orang. Pernah ditunjuk bahawa dia akan melutut sebelah kaki, "bertafakur" (agaknyalah) di hadapan orang yang dibunuhnya itu, kemudian mencalitkan darah si mati itu ke tangannya, dan seterusnya akan ke sebuah gereja dan membuat pengakuan di hadapan seorang paderi. Paderi tu pun dah kenal sangat dengan Horatio, dan dah jenuh dah dia kata padanya bahawa tindakan Horatio itu tidak salah sebab memang itu tugasnya, dan dosanya boleh diampunkan dengan perbuatan-perbuatan baik yang lain yang Horatio dah buat selama dia menjadi polis ini.

Ya, begitulah sebenarnya Horatio, dia sangat "terpukul" dengan kematian. Sebab tu dia sangat marah pada penjenayah yang membunuh orang. Setiap kali mayat seseorang ditemui, terutamanya mayat orang yang sudah dijanji akan dilindunginya sebelum ini, dia akan minta anak-anak buahnya yang sudah selesai memproses mayat itu di tempat kejadian supaya meninggalkannya bersendirian bersama mayat itu untuk seketika, dan mereka pun faham dan menurut permintaannya. Horatio kemudian akan melutut sebelah kaki (sepertimana yang dia buat pada orang yang ditembak matinya) untuk seketika sambil berjanji akan menangkap penjenayah yang bertanggungjawab.

Faktor 'cool'

Selain itu, dia juga merupakan watak yang paling cool (dah berapa kali aku guna perkataan ni aa?) berbanding yang lain. Dia punya cara dan perawakan tersendiri. Dia adakalanya kelihatan langsung tak melakukan kerja-kerja hands-on, malah dia macam tak buat apa-apa langsung, sebab tangannya biasanya dan selalunya hanya akan digunakan untuk mencekak pinggangnya atau memegang kacamata hitamnya! Tapi cukup dengan melihat (adakalanya dari jarak yang agak jauh) dan mendengar penerangan anak-anak buahnya (ini perkataan pun berapa kali aku guna daa). Lepas tu siap boleh bagi idea/cadangan (sebenarnya arahan la sebab dia tu ketua) lagi pada mereka mengenai apa lagi yang perlu dicari/diselidiki dan di mana nak mencarinya.

Dia juga mempunyai tabiat suka muncul dari tempat yang tak disangka dan biasanya orang takkan perasan kemunculannya, tahu-tahu dia dah ada di belakang! Anak-anak buahnya seolah sudah biasa dan langsung tak terkejut apabila secara tiba-tiba bilik tempat mereka memproses bahan bukti itu berbunyi suara pertanyaan dari Horatio (yang tiba-tiba muncul) sedangkan sebelum ini dia tiada di situ. Heh, tapi musuh/penjahat/penjenayah selalu kantoi bila Horatio buat macam ni pada mereka (muncul tiba-tiba dengan pistol terhunus di hadapan muka mereka)! Aku namakan teknik ini sebagai "teknik muncul dari belakang kamera"!

Selain itu lagi, aku juga paling suka cara dia menyoalsiasat suspek. Dia biasanya akan menggunakan ayat-ayat berbentuk ugutan yang sungguh meyakinkan. Berbeza pula bila dia berhadapan dengan keluarga mangsa, dia akan memujuk dengan pujukan yang sangat menyenangkan mereka mendengarnya, dan berjanji akan menangkap penjenayah yang bertanggungjawab.

Dan yang paling membezakan Horatio Caine dengan "ketua-ketua" CSI yang lain ialah pada "ayat-ayatnya". Heh, aku tak tahu apa terjemahannya dalam Bahasa Melayu, tapi ianya dikenali sebagai "one-liner". Dia selalu akan mengakhiri perbualannya, tak kira dengan siapapun, menggunakan "teknik" ini.

Dan yang paling membuatkan "teknik" ini menarik ialah, dia menyertakannya dengan kacamata hitamnya. Ya, Horatio Caine tak dapat dipisahkan dengan kacamata hitamnya! Ini yang membuatkan "meter coolnya" itu bertambah.

Seperti sebuah "ritual" yang wajib dilakukan, Horatio Caine akan mengakhiri ayat-ayatnya itu dengan mengenakan kacamata hitamnya. Selain itu, kerap juga kelihatan bila dia menghabiskan "ayat-ayatnya" itu, dia akan terus "blah" dari situ, tanpa menantikan "balasan" daripada individu yang baru diakhiri perbualannya itu.

Menurut Jim Carrey (dipetik daripada videonya kat bawah sekali tu), berkemungkinan Horatio takut kalau individu berkenaan dapat bagi "comeback", "memulangkan buah paku keras" padanya. Jadi, sebelum apa-apa, baik dia cabut dulu, hehe!

Biasanya kita boleh lihat babak sebegini pada awal-awal sesuatu episod, sebelum bermulanya lagu pembukaan bagi siri tu. Setiap kali ayatnya berakhir, akan bermulalah bunyi jeritan daripada lagu "Won't Get Fooled Again" (lagu tema CSI: MIAMI).

Hehe, kalau anda tak percaya, sila lihat "kompilasi one-linernya" ni:


Stail ini turut dijadikan bahan jenaka oleh Jim Carrey dalam rancangan LATE SHOW WITH DAVID LETTERMAN:


Hehe, biar apapun yang terjadi, Horatio Caine tetap yang paling best!

2 ulasan:

  1. SETUJU!!!
    sgt2 setuju psl Horatio ni..
    Cool sgt..
    kdg2 nmpk cam ngarut pon ada disbbkn ke'cool'annya itu..
    Cool sgt..
    Tapi seriusly, dia mmg lain trus dgn Grissom dan Mac..

    cool tapi smart

    finiqz@yahoo.com

    BalasPadam
  2. Dia bukan saja paling cool, malah dia juga yang paling human, kalau nak dibandingkan dengan Gil Grissom yang macam robot dan Mac Taylor yang macam tentera tu.

    Horatio Caine lebih bersifat kemanusiaan. Tak caya, cuba tengok babak tertentu yang memaparkan dia memujuk orang yang kematian ahli keluarga. Cuba perhatikan bagaimana cara dia pujuk? B-)

    Ohoho, maaf sebab terlewat benar merespon kepada komen ini! ;)

    BalasPadam

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang