Selasa, 22 Januari 2008

Ayat-Ayat Temuduga

22 Januari 2008. Pagi tadi, selepas solat Subuh, aku bersarapan dengan bihun goreng semalam, dan segelas air kosong. Tak mahu minum Nescafé la kononnya, takut nanti sakit perut. Heh, yang pi bantai bihun goreng semalam tu tak takut pulak!

Lepas makan, terus aku menyarungkan pakaian "rasmi" untuk ditemuduga. Kemeja putih beserta seluar hitam dan tali leher... aku tak pasti warnanya, haha! Oh, tak lupa juga sepasang blazer hitam untuk dipadankan dengan semua tu.

Masa untuk bertolak keluar...

Ooop, sebelum keluar, aku periksa lagi segala keperluan untuk ditemuduga. Sijil asli dan fotostat, resumé. Yeah, semua dah sedia lagi lengkap. Cangak apa lagi kan? Bertolak!

Elok lalu kat gerai jual suratkhabar di tepi jalan, maka berhentilah daripada perjalanan untuk membeli akhbar hari ni. Akhbar Berita Harian menjadi pilihan. Iyalah, orang bagi panduan, kalau hari temuduga tu, bacalah akhbar pada hari berkenaan, mana tau kot-kot yang nak ditanya oleh panel ialah apa yang tersiar dalam akhbar pada hari tersebut.

Tiba ke destinasi, jam 7.55 pagi. Menurut surat panggilan, waktu temuduga ialah 8.00 pagi. Awal sungguh, ofis pun tak buka lagi! Mujurlah betul tempat yang aku tuju tu, tak salah baca di surat tu, kalau tidak jenuh la nak kena "terbang" dari satu tempat ke satu tempat, macam yang selalu terjadi kat sesetengah orang tu. Alhamdulillah, setakat ni belum pernah lagi la aku buat kesilapan macam tu, untuk janji temu penting atau peperiksaan.

Kelihatan ada tiga orang, dua orang lelaki dan seorang perempuan, dah tiba lebih awal daripada aku. Aku pun berjaya mengecam salah seorang daripada lelaki tu, aku pernah berkenalan dengan dia ketika menghadiri sesi assessment pada 2 November 2007 yang lalu.

Baru sempat berjabat tangan dengan dia, dah dipanggil pula oleh kerani bertugas supaya masuk ke bilik menunggu. Wah, debaran makin terasa! Tetiba terbayang babak-babak klise sesi dalam rancangan TV realiti waktu sesi ujibakat di hadapan juri.

Sebelum apapun, kerani berkenaan meminta kami mendaftar kehadiran sebelum memeriksa susunan kandungan item-item. Aku pun dengan "bijaksananya" pi jadi orang yang pertama yang menandatangani. Kerani kedua (yang jaga senarai tu) pun suruhlah aku letak nombor '1' sebagai nombor giliran aku.

Hoaaa? Aku calon pertama? Hahaha!

Dalam terkejut aku bersyukur, sebab jadi orang pertama maknanya aku tak perlu tunggu lama dan tak sempat nak panik ka apa saja rasa yang tak enak di perut tu.

"Yang ini tak perlu. Yang itu tak payah. Bawak satu saja sudahlah.", kata si kerani bertugas. Haha, aku bawa dua resumé dalam dua bahasa, dan ternyata yang dipilih hanyalah versi Bahasa Melayu.

Kelihatan tiga orang panel masuk ke bilik temuduga. "Yang duduk di tengah tu bergelar Datuk", si kerani memberi peringatan kepada kami.

Aku kira, ada dua belas orang calon temuduga pada hari ni. Yang kedua belas tu, entah macam mana, namanya tiada dalam senarai di situ sungguh surat panggilannya menunjukkan dia perlu berada di situ. Tapi tak lama kemudian, selesailah kebuntuan.

Buku MALAYSIA KITA (baru dibeli dua hari sebelum temuduga, haha!) yang aku bawa dalam beg tu, tiada berguna pada saat itu. Aku tahu, studi minit terakhir macam tu bukannya ada makna pun, tapi saja aku bawak jugak. Eleh, suratkhabar yang dibeli tadi tu pun tak sempat baca jugak!

Loceng berbunyi, tanda aku kena masuk ke bilik temuduga. Surah Al-Fatihah, ayat Kursi, tiga surah Qul, doa Nabi Musa AS, semua yang aku teringat aku dah baca. Dengan konfidennya, aku mengetuk pintu tiga kali sebelum membuka pintu bilik temuduga.

"Apa itu Keluhuran Perlembagaan? Apa itu PERLEMBAGAAN?"
"Kalau anda ditugaskan oleh bos anda untuk menangani kemiskinan tegar, bagaimana anda nak melaksanakannya?"
"Setuju atau tidak kerajaan menghentikan bayaran subsidi untuk minyak dan duit itu disalurkan untuk pembangunan dan sebagainya?
"Negeri ni negeri pertanian, bagaimana nak memajukan negeri ini?"
"NCER?"

Tu dia, soalan memang mengancam. Aku cukup tak suka soalan fakta macam "apa itu... bla bla bla...", memang aku surrender la. Aku ni dah la tak suka menghafal fakta, aku juga ada masalah mencampur-adukkan fakta bila ditanya secara mengejut. Kalau dah tercampur aduk tu, mesti salah punya jawapan kita, haha!

Tapi itulah masalahnya. Panel pertama, berpangkat Datuk tu, dah la tanya soalan macam itu, tanya pulak berkali-kali, memang sengaja nak bagi kita panik lagi cuak dan gabra. Dah la nak jawab soalan dia pun banyak kali aku bunyi "aaa.." dan "ngaa...", hahah! Dalam hati aku rasa "oh, beginilah kesudahanku...".

Tapi aku tak dapat terlupa apa yang aku nampak. Waktu panel kedua punya giliran menanya aku, aku terperasan bahawa panel pertama, iaitu yang berpangkat Datuk tu, sedang tersengguk. Eh, takkan dah bosan kot dengan aku? Aduh!

Panel kedua punya soalan, bukanlah senang juga, tapi tak susah nak aku jawab. Soalan berbentuk pendapat ni, aku goreng semasaknya. Bukan omongan kosong la, tapi memang pendapat aku berdasarkan pendengaran aku mengenai pengalaman orang pun, hehe. Aku juga diperingatkan bakal ditanya dalam Bahasa Inggeris. Mujurlah soalan dalam bahasa tu ditanya pada waktu terakhir, dan cuma ada satu, jadi aku pun jawablah semahunya, haha!

Elok habis soalan dalam BI tu, Datuk berkenaan mengucapkan terima kasih pada aku. Oh, dah selesai rupanya? Tak terasa panjang pun sesi tu. Aku ambil folder yang berisi segala dokumen asli aku, dan aku ucap terima kasih dan memberi salam pada mereka semua.

Keluar saja, nah bertalulah orang bertanyakan aku. Almaklumlah, orang pertama beb! Aku pun bagitahulah apa yang aku ingat.

Sementara nak balik tu, sengajalah aku tunggu seketika, nak menemani kawan-kawan yang belum sampai giliran. Saja nak tenangkan hati merekalah kononnya tu!

Tengah seronok bersembang, tetiba aku dipanggil bapak aku. Ooops, henset yang aku set dalam mod senyap tu lupa nak diset ke normal balik. Dah ada 13 misscall rupanya!

Maka dengan "sayu" aku meninggalkan teman-teman aku tu. Ada yang baru kenal waktu sesi assessment dulu, dan ada pula yang aku dah pernah kenal dulu-dulu, sorang tu pernah kenal (dan sekelas) di Matrikulasi, dan sorang lagi kawan sekelas tuisyen Bahasa Arab zaman tingkatan 5 dulu. Entah bilalah boleh berjumpa lagi kan? Mujurlah ada SMS buat pengganti diri. Alamak, jiwang karatnya bunyi!

Nak dapat atau tidak kerja ni, aku berserah sepenuhnya kepada Allah. Allah dah mengatur semuanya, yang terbaik bagi aku, Dia dah tetapkan, dan tugas aku ialah berusaha dan tidak dilupakan, untuk memohon dan meminta kepadaNya, kerana Dia Maha Memberi.

Secara jujur, aku dah bersyukur sangat dapat sampai ke tahap ni pun. Nak pohon jawatan ni bukannya senang. Memula kena hadiri peperiksaan khas (ai, nak kerja pun ada periksa beb! Menghafal lagilah kita! Tak boleh lari dari orientasi peperiksaan). Yang ini pun ramai kenalan aku di kiri dan kanan yang tak lepas, berkali-kali ambil dan dok gagal juga. Syukur aku ambil pertama kali dan lulus, sementara ada kenalan yang ambil bersama aku, tapi dia sudah kali kedua, dan gagal.

Lulus peperiksaan, ada pula program assessment yang dijalankan selama tiga hari. Macam kursus la. Waktu inilah kita akan dinilai dari pelbagai segi, fizikal, mental, dan entah apa "al" lagi. Penampilan mau kemas. Bagaimana kita bergerak dalam kumpulan. Tak boleh terlampau pasif, dan tak boleh pula terlampau menonjol dan mendominasi. Fizikal, kena lari 2.4km dalam masa kurang dari 20 minit. Hah, bab ni pun aku no comment! Banyak lagi aktiviti "pelik" waktu assessment, tapi nak cerita pun, waktu tu aku belum ada blog, nak cerita sekarang dah tak releven lagi la kan?

Peringkat assessment ni pun orang kata susah juga. Rakan sekelas tuisyen Bahasa Arab aku tu, pernah sampai peringkat assessment tahun lepas, dan dia "tak lepas". Tahun ni, Alhamdulillah, dia berjaya. Dan aku yang first timer ni pun berjaya juga. Syukur. Dapat ke peringkat temuduga. Itupun memang dah cukup bagus dah buat aku.

Lulus atau tidak? Itu belum dapat diketahui lagi, bukan sekarang.

Sekianlah kisah ini...

P/S: Sebahagian kecil kisah ini sudah "difiksyenkan"...

3 ulasan:

  1. Salam. Ya Tuan Ku Keng, berbesarnya hati saya Tuan sudi singgah dan komen di blog saya ni. :D

    Saya pergi temuduga jawatan perkhidmatan awam yang paling menjadi rebutan di Malaysia ni. Jawatan "pegawai" Tee dan Dee... ;)

    BalasPadam
  2. no wonder la soalan datuk tu bkn main fakta !

    BalasPadam

Komen ja. Tak kisah punya...

Terkini dalam Ilmiah

Terkini dalam Laman Suka²ku

Entri Terkini Blog Orang